Anda di sini

JPAM Betong arah 500 pegawai, sukarela bersedia hadapi banjir

Advertisement

BETONG: Dalam menghadapi kemungkinan berlakunya gelombang kedua banjir di bahagian ini, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengerahkan kira-kira 500 orang pegawai serta anggota sukarela dalam situasi bersiap siaga sepanjang masa untuk dipanggil bertugas.

Pegawai JPAM Betong, Azamshah Apearal berkata selain persiapan aspek keanggotaan, pihaknya turut bersiap sedia penyediaan jentera bagi menghadapi banjir seperti lori, kereta pacuan empat roda dan bot.

“Fokus operasi dan lokasi yang menjadi pemantauan utama pihak kami terhadap tiga kawasan utama yang rendah dan kerap dilanda banjir iaitu daerah Betong, Saribas dan Kabong.

“Persiapan tenaga manusia dan logistik penting bagi membolehkan gerakan menyelamat dan penghantaran bantuan dilakukan dengan pantas.

“Anggota sukarelawan yang menjadi tunjang kepada operasi JPAM bukan sahaja terlatih, malah berpengalaman mengendalikan operasi ketika banjir,” katanya ditemui di sini semalam.

Tambahnya, fokus JPAM ialah menyelamat mangsa banjir dan membawa mereka ke tempat selamat di pusat penempatan mangsa banjir ditetapkan.

Sementara itu, latihan asas pertahanan awam tetap diteruskan kerana JPAM bukan hanya membantu mangsa banjir, tetapi bencana lain seperti kemalangan jalan raya.

“Latihan penting kerana tugas mereka amat mencabar dan membabitkan nyawa manusia.

Hanya kemahiran tinggi melalui latihan berterusan akan membolehkan mereka menjalankan tugas dengan cekap,” katanya.

Beliau memberitahu, setakat ini pihaknya tidak menerima sebarang laporan banjir besar selain banjir kilat di Kampung Debak dan tiga buah rumah panjang di Maludam baru-baru ini.

“Dengan ini, saya mengingatkan orang ramai terutama pada musim hujan ini agar menghubungi jabatan (sekiranya banjir) di talian 083-472861 kerana penting untuk kami bertindak,” katanya.

Azamshah turut mengingatkan orang awam agar mengutamakan keselamatan diri apabila berhadapan dengan situasi tersebut serta menyimpan segala dokumen penting di tempat selamat.

“Kita mohon orang ramai dilanda banjir agar mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh petugas keselamatan bagi mempermudah usaha menyel amat,” katanya.

Advertisement