Anda di sini

Kerajaan jamin kebebasan beragama di Sarawak: Daud

Advertisement

KUCHING: Kerajaan memberi jaminan rampasan terhadap Kitab Injil Bahasa Malaysia dan dalam Bahasa Iban atau Bup Kudus tidak akan berlaku di Sarawak.

Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri (Hal Ehwal Islam) Datuk Daud Abdul Rahman berkata, ini kerana Sarawak mengamalkan kebebasan beragama dan toleransi antara kaum.

Menurutnya, umat Kristian di Sarawak telah menggunakan kitab tersebut lebih daripada 100 tahun dan tidak pernah berlaku sebarang rampasan dilakukan terhadap Al Kitab itu di negeri ini.

“Saya berharap umat Kristian di negeri ini tidak terpengaruh dengan apa yang berlaku di Semenanjung Malaysia.

“Ini kerana kita sejak dari dahulu lagi meniktikberatkan semangat toleransi,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) merampas 350 salinan Kitab Injil Bahasa Malaysia dan Bahasa Iban, baru-baru ini.

Turut dirampas 20 salinan Luke Gospel dalam Bahasa Malaysia di Damansara.

Sehubungan itu, Daud berharap masyarakat berbilang kaum di negeri ini tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh menggugat keharmonian kaum.

“Kita tidak mahu apa yang berlaku di Semenanjung menular ke negeri ini,” ujarnya.

Pada masa sama, Daud mengingatkan pihak pembangkang agar tidak menjadikan perkara tersebut sebagai modal politik di negeri ini.

“Apa yang berlaku (rampasan) tidak melibatkan negeri ini. Jadi, pihak pembangkang jangan cuba mengapi-apikan rakyat negeri ini dengan isu terbabit,” jelasnya.

Advertisement