Anda di sini

Harga naik ketika hujan kebiasaan

Advertisement

Siasatan akan dijalankan jika ada aduan kenaikan harga sayur di pasaran

KUCHING: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Kuching tidak menafikan terdapat kenaikan harga sayur-sayuran yang dijual di sini.

Pengarah PPDNKK Sarawak Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman ketika dihubungi semalam bagaimanapun berkata, peratusan kenaikan harga terbabit belum dapat dipastikan setakat ini.

“Ini perkara biasa yang berlaku setiap kali musim hujan, harga sayur-sayuran naik apabila tidak terdapat bekalan tetapi banyak pula permintaan di pasaran oleh pengguna.

“Tetapi, pihak kita tidak mengawal harga sayur-sayuran ini,” katanya ketika diminta mengulas aduan pengguna tentang harga sayuran mahal.

Namun demikian, Wan Ahmad Uzir berkata pihaknya tidak akan teragak-agak untuk menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan kenaikan harga sayuran oleh pengguna.

Jelas beliau, pihaknya tidak mahu pengguna menanggung beban harga yang terlalu tinggi.

“Kita akan hanya bertindak sekiranya terdapat aduan dan kita belum lagi menerima sebarang aduan mengenainya.

“Sebelum ini memang kita ada buat siasatan, tetapi buat masa ini semuanya masih lagi terkawal dan belum ada apa-apa lagi,” katanya.

Wan Ahmad Uzir turut meminta agar pengguna membuat aduan melalui portal aduan kementeriannya iaitu [email protected].

Pihaknya juga membuka talian khidmat pelanggan yang dilancarkan tahun lepas bagi pengguna yang teraniaya atau tertipu menerusi talian 1-800-886-800.

Advertisement