Anda di sini

12 sekolah rendah masih ditutup ekoran banjir

Advertisement

RISIKO BANJIR: Pekarangan beberapa rumah di Kampung Baru, Kota Samarahan dinaiki air ekoran fenomena air pasang besar.

Penutupan yang menjejaskan 1,347 murid melibatkan sembilan sekolah asrama, tiga sekolah harian

KUCHING: Sebanyak 12 sekolah rendah di negeri ini masih ditutup ekoran dilanda banjir dan terputus hubungan sekali gus menjejaskan sesi persekolahan seramai 1,347 murid.

Setakat jam 10 pagi semalam, Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) memaklumkan penutupan itu membabitkan sembilan sekolah asrama dan tiga sekolah harian.

Pengarah JPN Sarawak Datu Abdillah Adam berkata, kesemua sekolah terjejas ditutup kerana dinaiki air dan jalan masuk ditenggelami banjir.

Antara sekolah yang terjejas ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tagageng, Subis (103), SK Kampung Klid/Lajau, Dalat (89), Daerah Selangau, SK St Mark (M) (62), SK Nanga Selangau (305), SK Kuala Lemai (44), SK Nanga Tajam (104), SK Nanga Nirok, Kanowit (54) dan SK Nanga Serau, Julau melibatkan 75 murid. Empat lagi sekolah yang terjejas ialah SK Pangtray, Daro (153), SK Jalan Deshon, Sibu (275), SK Nanga Bon, Sibu (83) dan SK Metalun, Belaga.

Abdillah memberitahu, bagi SK Metalun kesemua guru dan pelajarnya dipindahkan dan beroperasi di SK Tegulang. “Hanya sekolah sahaja ditutup kerana kawasan sekolah masih dinaiki banjir. Setakat ini seramai 1,347 murid dari 11 sekolah masih terjejas akibat banjir di seluruh Sarawak.

“Dua buah sekolah di Sibu iaitu SK Nanga Bon dan SK Jalan Deshon pula para guru dan murid tidak dapat akses ke sekolah kerana jalan ditenggelami banjir,” katanya menerusi kenyataan akhbar semalam.

Manakala di SK Nanga Nirok, Kanowit pula, beliau menjelaskan warga sekolah berusaha membersihkan kawasan sekolah dan banyak harta benda sekolah rosak termasuk kemudahan asrama.

Sementara itu, berdasarkan laporan yang dikeluarkan Jabatan Penerangan Sarawak, setakat jam 10 pagi semalam, jumlah keluarga yang terjejas akibat banjir adalah seramai 1,505 keluarga melibatkan 11,690 orang. Daripada jumlah itu, seramai 86 keluarga dipindahkan ke pusat pemindahan melibatkan 347 orang iaitu Kampung Rimba Padi, Samarahan (8 keluarga), bahagian Bintulu pula Kampung Dagang (20), Kampung Seberang Pasar (7) dan Kampung Hulu Tatau (1).

Bahagian Miri pula melibatkan Kampung Iran (21 keluarga), Kampung Sungai Ridan (1) dan Kawasan Setinggan Bakong seramai 28 keluarga melibatkan 129 orang.

Sepanjang kejadian banjir di seluruh negeri, dua kes kematian dicatatkan iaitu kes kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun lemas di Rumah Belinsing Sungai Naman dan kes seorang warga Indonesia berusia 30 tahun juga lemas di Pantai Bungai Bekenu, Sebuti.

Laporan kaji cuaca yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) Cawangan Sarawak sekitar 8.30 pagi semalam memaklumkan hujan kelmarin lebih tertumpu di bahagian Limbang dan Miri dan semakin reda awal pagi semalam.

“Pada pagi ini (semalam) keadaan mendung di kawasan perairan bahagian Kuching dan Samarahan dan petang nanti (semalam) dijangka ribut petir berserta hujan di beberapa tempat berlaku di kebanyakan bahagian dan dijangka berterusan hingga malam.

“Secara amnya keadaan cuaca di Sarawak masih dijangka lembap untuk beberapa hari yang akan datang tetapi tidak selebat hari-hari sebelumnya,” kata jurucakap JMM. Sehubungan itu, JMM akan sentiasa memantau keadaan cuaca dan mengemas kini maklumat cuaca bagi keselamatan negara dan kesejahteraan orang awam.

Advertisement