Anda di sini

Sudah serik usaha berdamai

Advertisement

WONG

Wong bertegas tidak akan beri komen lagi sehinggalah ROS umumkan nasib SUPP

KUCHING: Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Sibu Dato Sri Wong Soon Koh su­dah serik untuk meneruskan usaha perdamaian beliau dengan puak yang diketuai oleh Presiden Tan Sri Peter Chin Fah Kui.

Ini kerana, menurut Wong, beliau bersama puak yang diketuainya telah melakukan yang terbaik untuk berdamai, namun menemui kegagalan disebabkan sikap dan tindakan Chin serta puaknya yang bert­entangan dengan jalan penye­lesaian yang dicadangkan.

Justeru, beliau bertegas tidak akan memberi sebarang komen mengenai pergolakan dalaman dan masa depan SUPP selepas ini sehingga menerima keputusan mukta­mad daripada Pendaftar Per­tubuhan (ROS) berhubung status parti itu.

“Dua tahun lepas, 14 cawan­gan SUPP mengemukakan aduan kepada ROS mengenai Perhimpunan Delegasi Tiga Tahun Sekali (TDC) sebagai tidak sah.

“Namun sehingga seka­rang, ROS belum membuat sebarang keputusan mengenai perkara ini kerana ROS mahu memberi peluang kepada parti untuk menyelesaikan masalah secara dalaman.

“Saya telah melakukan yang sebaik mungkin untuk mem­bantu menyelesaikan masalah parti, tetapi semuanya tidak berhasil dan apa yang boleh dilakukan sekarang hanyalah menunggu keputusan dari­pada ROS,” ujarnya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di pejabat beliau yang terletak di Ting­kat 7, Bangunan Masja di sini, semalam.

Jelas Wong lagi, beliau dan Chin pernah berbin­cang mengenai perkara itu sebanyak dua kali dan beliau mengemukakan dua cadangan iaitu membubarkan barisan kepimpinan sedia ada dan mengadakan pemilihan sem­ula mengikut senarai delegasi pada tahun 2011.

Cadangan kedua ialah mana-mana pemimpin yang kontroversi seperti beliau dan Chin serta pemimpin lama serta kalah dalam pilihan raya tidak turut serta dalam pemi­lihan tersebut, jelasnya.

“Beliau (Chin) bersetuju dengan cadangan tersebut dan meminta sedikit masa untuk beliau memujuk pengikutnya bagi membolehkan perkara ini dilakukan.

“Namun beliau gagal melaku­kannya, sama ada beliau tidak boleh tinggalkan parti atau tidak boleh melakukannya.

“Lebih mengejutkan selepas perbincangan dan persetujuan itu, mereka mengadakan me­syuarat Jawatankuasa Pusat (CC) dan memutuskan untuk mengambil tindakan disiplin ke atas saya dan empat lagi yang lain.

“Jika Chin ikhlas untuk ber­damai, beliau tidak sepatutnya mengadakan mesyuarat CC dan mengambil tindakan disi­plin ke atas kami,” ujarnya.

Tambah Wong, Chin dan puaknya tidak boleh men­yalahkan 14 cawangan yang bertindak mengemukakan aduan kepada ROS kerana aduan dibuat akibat ber­lakunya kesalahan.

“Kita hanya boleh menung­gu keputusan daripada ROS sekarang dan mereka tidak boleh menyalahkan kami tetapi salahkan diri sendiri,” tambahnya.

 

Advertisement