Anda di sini

Sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014 bermula

Advertisement

SELAMAT DATANG : Sekitar 50 peserta ‘Flash Mob’ yang mengalu-alukan kedatangan 90 pelancong asing di LTAK, semalam.

Talib menyambut ketibaan 90 pelancong asing di LTAK sebagai simbolik bermulanya sambutan

KUCHING: Menteri Muda Pelancongan Datuk Talib Zulpilip semalam menyambut ketibaan sekitar 90 pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) sebagai simbolik bermulanya sambutan Tahun Melawat Malaysia  (TMM) 2014 khususnya di negeri ini.

Ketibaan pelancong-pelancong itu dimeriahkan lagi dengan gimik istimewa, ‘Flash Mob’ yang disertai sekitar 50 orang terdiri daripada penari, kakitangan pelbagai jabatan dan agensi seperti polis bantuan, juruterbang, pramugari, pramugara dan lain-lain.

Acara sambutan khas itu yang dianjurkan oleh Lembaga Penggalakan Pelancongan di 37 pintu masuk negara, bagi mengalu-alukan kedatangan pelancong ke Malaysia sempena TMM 2014 yang berlangsung secara serentak di seluruh negara.

Menurut Talib, sambutan khas itu adalah untuk memastikan para pelancong merasai keistimewaan sambutan TMM 2014.

“Sambutan TMM 2014 diadakan serentak di semua pintu masuk utama negara dan di Sarawak, disambut di Pintu Sempadan Darat Sungai Tujuh di Miri dan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching,” katanya pada sidang media di sini, semalam.

Pintu Sempadan Darat Sungai Tujuh di Miri menyasarkan bas-bas pelancong dari Brunei Darussalam.

LTAK merupakan salah satu daripada 37 pintu masuk negara yang mengadakan acara sambutan khas tersebut selain Pusat Imigresen Sungai Tujuh di Miri, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, Terminal Skypark Subang, Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT), Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan lain-lain.

Manakala pelancong yang menggunakan perhidmatan kapal pesiaran ke Malaysia disambut di Pusat Kapal Pesiaran Pelabuhan Klang pada hari yang sama.

TMM 2014 dengan tema ‘Celebrating 1Malaysia Truly Asia’ yang akan berlangsung kali ini menjanjikan kemeriahan mengagumkan dengan pelbagai acara istimewa dan menarik bakal disajikan sepanjang tahun.

Advertisement