Anda di sini

Robert Lau Hui Yew bersara sebagai Ahli Majlis MPS

Advertisement

Robert

SIBU: Pengerusi Jawatankuasa Tetap Trafik dan Kerja Raya Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Robert Lau Hui Yew bersara selepas berkhimat selama 10 tahun sebagai Ahli Majlis MPS.

Beliau dalam ucapan perpisahannya kelmarin menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menyesal berhabis tenaga dan masa berkhidmat bersama MPS demi rakyat Sibu amnya.

Mengimbau kenangannya sepanjang bersama MPS, Lau yakin beliau telah melakukan yang terbaik sejak dilantik sebagai ahli majlis pada Februari 2004.

“Pertama sekali saya mengucapkan terima kasih kepada Mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang banyak membimbing sehingga ke pelantikan saya sebagai ahli majlis.

“Saya juga berterima kasih kepada beliau kerana terus memberikan kepercayaan kepada saya walaupun kadangkala kami tidak sependapat mengenai isu-isu tertentu,” ujarnya.

Menurut Lau, beliau bermula sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam yang diketuai oleh Kaunselor Wong Chu Chuan.

Beliau berkata Wong telah memberi kepercayaan kepadanya untuk melaksanakan pelbagai program dan yang paling menarik dalam tugas tersebut ialah meningkatkan kualiti tandas awam di Sibu.

“Beberapa tahun kemudian, kita bukan sahaja mempunyai satu tetapi banyak tandas lima bintang di Sibu selain memiliki dua tandas terbaik peringkat sekolah rendah dan menengah di Malaysia.

“Sibu turut dilantik menjadi tuan bagi penganjuran  2nd National Toilet Expo and Forum (NATEF) pada tahun 2006,” katanya sambil menyatakan bahawa ekspo tersebut dianjurkan bersama oleh Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan dan Qualiti Restroom Association of Malaysia ( QRAM ).

Beliau berkata pencapaian paling membanggakan beliau ialah pengenalan ‘Ground Settlement Guidelines’ pada 2010 sebelum dilaksanakan pada tahun 2011.

Garis panduan tersebut jelas beliau diwujudkan untuk menangani masalah tanah mendap kerana keadaan tanah yang lembut.

Dengan adanya garis panduan tersebut, apa-apa jenis pembangunan yang hendak dilaksanakan di kawasan tanah yang berisiko mendap perlu menyediakan penyelesaian terperinci.

Dalam pada itu, beliau berharap ahli majlis pada masa depan tidak akan mengubah garis panduan berkenaan.

Advertisement