Anda di sini

Sibu perlu perbanyak kemudahan mesra OKU

Advertisement

Agensi kerajaan seperti MPS, MDLBS perlu sedia lebih banyak kemudahan yang mesra OKU

Chieng (dua kanan) bersama peserta setelah tamat program tersebut semalam.
Chieng (dua kanan) bersama peserta setelah tamat program tersebut semalam.

"Di Sibu terutama di kawasan pusat bandar, kita menghadapi masalah di mana kebanyakan kemudahan yang ada tidak mesra OKU, sebagai contoh kemudahan di tempat melintas di persimpangan lampu isyarat.”

Joseph Chieng
ADUN Bukit Assek 

Oleh Reno Benjamin

SIBU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek Joseph Chieng mahu lebih banyak kemudahan mesra golongan orang kurang upaya (OKU) disediakan di sekitar bandar ini.

Menurut Chieng, agensi kerajaan seperti Majlis Perbandaran Sibu (MPS) dan Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) perlu menyediakan lebih banyak kemudahan yang mesra OKU.

"Di Sibu terutama di kawasan pusat bandar, kita menghadapi masalah di mana kebanyakan kemudahan yang ada tidak mesra OKU, sebagai contoh kemudahan di tempat melintas di persimpangan lampu isyarat.

"Kita perlu menyediakan kemudahan dan menjadikan persimpangan lampu isyarat ini lebih mesra OKU agar mereka mempunyai akses untuk ke seluruh bandar ini," ujarnya ketika berucap pada Taklimat Proses Pemilikan Lesen Memandu bagi Individu OKU di sebuah hotel di sini, semalam.

Taklimat tersebut dianjurkan oleh Sibu Spinal Cord Injury Association dan Independent Living Centre (ILC) serta mendapat kerjasama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Chieng berkata, kemudahan tempat parkir yang mencukupi juga perlu disediakan bagi memudahkan golongan OKU yang mempunyai kenderaan.

Ordinan Bangunan yang baharu katanya, mewajibkan pemaju atau pemilik bangunan menyediakan kemudahan yang mesra OKU seperti laluan masuk dan tandas.

"Jika dahulu kita sering meninggalkan golongan OKU ini di rumah, menyebabkan mereka sering duduk di rumah atau dalam bilik sahaja.

"Namun kini keadaan sudah berubah di mana mereka juga boleh memandu dengan kriteria-kriteria tertentu yang perlu dipatuhi," jelasnya. 

Oleh itu katanya, taklimat yang dianjurkan itu amat penting untuk pihak berkuasa berkongsi kriteria dan proses bagi golongan istimewa ini memohon lesen memandu.

"Ini satu permulaan yang baik dan saya menyeru agar lebih ramai OKU yang layak memohon mendapatkan lesen memandu," ujar Chieng sambil menambah, agar lebih banyak agensi kerajaan menyertai taklimat pada masa akan datang.
 

Advertisement