Anda di sini

Lelaki bantu sembunyi, lupus harta curi dipenjara 18 bulan

Advertisement
 

MIRI: Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan membantu menyembunyikan dan melupuskan harta curi.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Randu Rangen setelah meneliti beberapa aspek termasuk pengakuan salah dan rayuan tertuduh, keterangan fakta kes, berat kesalahan yang dilakukannya serta mengambil kira kepentingan awam.
    
Tan Wei Sing, 34, dari Jalan Terusan 3, Pujut 4 di sini, telah didakwa atas dua tuduhan mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak melebihi tujuh tahun serta denda, jika sabit kesalahan bagi setiap tuduhan dihadapi.
    
Menurut keterangan kes yang pertama, tertuduh didapati dengan sengaja telah melupuskan harta curi iaitu empat biji tayar jenama Nissan kepunyaan Chan Hong Fui, 34.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 8 pagi, 31 Mac tahun ini di Tamu Muhibbah di sini.
    
Manakala dalam kes kedua, tertuduh didapati dengan sengaja telah membantu menyembunyikan harta curi iaitu empat biji rim berserta tayar kepunyaan Samson Enterprise yang pernah dilaporkan hilang di Balai Polis Lutong.
    
Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh pada jam 6 petang, 4 April lalu di sebuah lot di Tudan Fasa 6 di sini.
    
Bagi kesalahan pertama, tertuduh dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan berkuat kuasa mulai tarikh tangkapan pada 12 April lalu.
    
Manakala bagi kesalahan kedua, tertuduh turut dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan mulai tarikh jatuh hukuman semalam dan mahkamah memerintahkan kedua-dua hukuman itu berjalan secara berasingan.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement