Anda di sini

20 Mei pengurusan kes lelaki kekalkan pengakuan tidak bersalah cabul budak

Advertisement
 

MIRI: Mahkamah Sesyen hari ini menetapkan 20 Mei depan untuk pengurusan kes seorang lelaki yang mengekalkan pengakuan tidak bersalah terhadap tuduhan mencabul kehormatan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
    
Manakala perbicaraan lanjut pula ditetapkan selama dua hari bermula 12 hingga 13 Februari 2025.
    
Penetapan tarikh itu dibuat Hakim Azreena Aziz setelah membenarkan permohonan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Ihsan Jalaluddin.
    
Dalam permohonannya, Ihsan memberitahu bahawa kes ditetapkan untuk pengurusan dan serahan dokumen hari ini namun memohon tarikh baharu memandangkan dokumen yang berkaitan masih belum lengkap.
    
Tertuduh, 43, dari Kampung Pasir, Lutong telah didakwa mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dan dihukum di bawah Seksyen 14 akta yang sama.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
    
Berdasarkan pertuduhan kes, tertuduh telah didakwa melakukan serangan seksual secara fizikal ke atas seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun tiga bulan untuk tujuan seksual.
    
Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 7 pagi, 3 Mac lalu di rumahnya di Kampung Pasir, Lutong.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh yang ditahan lanjut setelah gagal mengemukakan wang jaminan RM5,000 berserta dua penjamin tempatan merayu kepada mahkamah agar jumlah wang jaminannya dikurangkan.
    
Hakim Azreena membenarkan permohonan itu dan memerintahkan tertuduh dibebas dengan jaminan (baharu) RM5,000 berserta dua penjamin tempatan dan membayar deposit RM3,000 sementara menunggu tarikh pengurusan lanjut kes.
    
Selain itu, mahkamah turut memerintahkan tertuduh melapor diri di balai polis berhampiran sekali sebulan dan pasportnya (sekiranya ada) ditahan sehingga kes selesai.

  • oleh
  • Advertisement