Anda di sini

Tiga warga Pakistan maut dilanggar kereta terbabas

Advertisement
Gambar IPD Kampar
Gambar IPD Kampar

IPOH: Hajat enam warga Pakistan untuk mengerjakan solat sunat Aidilfitri tidak kesampaian apabila tiga daripada mereka maut selepas dilanggar kereta yang terbabas di Kilometer 16, Jalan Teluk Intan-Bidor, Teluk Intan, semalam.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata dalam kejadian jam 8.10 pagi itu, kesemua mangsa sedang berjalan ke masjid berdekatan apabila sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah terbabas dan melanggar pejalan kaki tersebut.

"Hasil siasatan mendapati kereta dipandu lelaki warga tempatan berusia 36 tahun itu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri bahu jalan dan melanggar enam pejalan kaki yang melalui bahu jalan tersebut," katanya dalam kenyataan malam ini.

Katanya mangsa maut berusia antara 20 hingga 35 tahun manakala tiga lagi yang cedera parah dirawat di Hospital Teluk Intan dengan kesemua mangsa mempunyai permit kerja dan dokumen perjalanan yang sah.

Katanya saringan awal air kencing pemandu kereta berkenaan didapati positif dadah jenis ganja dan ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu semasa di bawah pengaruh dadah dan menyebabkan kematian.

Menurutnya pemandu kereta berkenaan bekerja sebagai pembantu kedai makan di kawasan Teluk Intan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu supaya membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes Inspektor Mohd Amirrudin Shafiei di talian 013-9126959 atau 05-612 2222. - BERNAMA

Advertisement