Anda di sini

Pemuda main judi di tempat awam didenda RM1,000

Advertisement
 

MIRI: Seorang pemuda didenda RM1,000 atau dua minggu penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini kerana kesalahan bermain judi di tempat awam.
    
Hukuman itu dijatuhkan Majistret Randu Rangen setelah Ting Wen Long, 25, dari Kuching mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
    
Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh didenda sehingga RM5, 000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
    
Menurut keterangan kes, sekitar jam 9 malam, 1 April lalu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Miri telah pergi ke sebuah lot di kawasan Quadruplex Bandar Baru Permyjaya untuk  mengesan aktiviti perjudian jenis judi dalam talian.
    
Setiba di lot itu, mereka telah menahan seorang lelaki yang sedang bermain telefon bimbit untuk tujuan pemeriksan.
    
Hasil pemeriksaan ke atas telefon pintar milik tertuduh mendapati ia ada memaparkan aplikasi judi dalam talian.
    
Berikutan itu, telefon bimbit teruduh kemudian dirampas untuk dijadikan barang kes dan tertuduh ditangkap untuk tindakan lanjut.
    
Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya.
    
Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement