Anda di sini

ESSCOM cadang ESSZONE dinamakan kawasan sejahtera

Advertisement
 Victor ketika hadir dalam Sesi Libat Urus ESSCOM bersama Komuniti ESSZONE Daerah Kinabatangan.
HADIR: Victor ketika hadir dalam Sesi Libat Urus ESSCOM bersama Komuniti ESSZONE Daerah Kinabatangan.

KINABATANGAN: Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) mencadangkan supaya menukar peta Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) kepada warna putih dan menamakannya kawasan kesejahteraan.

Komander ESSCOM, Datuk Victor Sanjos berkata, cadangan ini sekali gus mengangkat semula imej ESSZONE sebagai kawasan selamat dan sejahtera ke peringkat antarabangsa.

“ESSCOM mengangkat cadangan kepada kerajaan untuk menukar peta ESSZONE yang kini menggunakan warna merah kepada warna putih.

“Selain itu, menamakannya sebagai kawasan kesejahteraan bagi meningkatkan keyakinan bahawa kawasan pantai Timur Sabah adalah selamat untuk semua,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sesi Libat Urus ESSCOM bersama Komuniti ESSZONE Daerah Kinabatangan di Dewan Sri Lamag, di sini, semalam. Turut hadir Pegawai Daerah Kinabatangan, Willey Lampaki.

Menurutnya, pihak ESSCOM juga berusaha memanggil duta-duta asing datang melawat ke kawasan pantai Timur Sabah dan merasai sendiri keindahan dan kesejahteraan di ESSZONE.

Mengulas lanjut, Victor berkata, tujuan libat urus diadakan adalah untuk meneliti penerimaan masyarakat dan kumpulan sasar terhadap langkah penjenamaan semula Perintah Berkurung kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ESSZONE Sabah.

“Selain itu, mengenal pasti ancaman sedia ada dan mengkaji hala tuju dari segi pengecilan kawasan PKP ESSZONE Sabah atau memansuhkan perintah berkenaan secara menyeluruh atau hybrid.

“Seterusnya, kajian ini akan turut meneliti mekanisme alternatif bagi menggantikan arahan berkenaan sekiranya diputuskan untuk dimansuhkan pelaksanaannya,” katanya.

Sehubungan itu, Victor mengajak warga Kinabatangan yang hadir ke sesi libat urus ini supaya menjawab soal selidik mengenai kajian PKP ESSZONE Sabah sebaik mungkin.

“Ia supaya kajian yang dijalankan mendapat hasil yang komprehensif demi manfaat bukan sahaja negeri Sabah tetapi Malaysia amnya,” katanya.

Terdahulu, kajian PKP ESSZONE Sabah yang dilaksanakan Kementerian Dalam Negeri, diselaraskan oleh ESSCOM dengan kerjasama Universiti Malaysia Sabah itu turut diadakan di lima lagi daerah iaitu Semporna, Sandakan, Beluran, Kunak dan Lahad Datu.

Turut diadakan ketika libat urus penyampaian sumbangan kepada 50 golongan asnaf dari sekitar Kinabatangan sempena bulan Ramadan yang mulia ini.

  • oleh
  • Advertisement