Anda di sini

386 PTI dihantar pulang ke negara asal

Advertisement
 Semua PTI berkenaan dihantar pulang ke negara asal menerusi laluan laut.
USIR: Semua PTI berkenaan dihantar pulang ke negara asal menerusi laluan laut.

TAWAU: Seramai 386 pendatang tanpa izin (PTI) dihantar pulang ke negara asal menerusi Pelabuhan Tawau, di sini semalam.

Semua PTI yang ditahan di Depot Imigresen Kota Kinabalu, Papar, Tawau dan Sandakan itu dipindahkan menggunakan pengangkutan laut ke Pelabuhan Nunukan, Indonesia.

Pengarah Jabatan Imigresen Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, pemindahan itu membabitkan seramai 291 lelaki dan 72 wanita.

Selain itu katanya, JIM Sabah turut menghantar pulang 23 kanak-kanak berusia 12 tahun kebawah termasuk seorang bayi.

“Ini adalah program pemindahan siri 6 untuk kategori usir melalui laut bagi tahun 2024 ke negara asal masing-masing.

“Semua PTI yang ditahan di Depot Imigresen ini melakukan pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan–Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

SH Sitti Saleha berkata, hukuman yang dikenakan adalah berdasarkan Akta Imigresen dan proses perundangan negara sehingga ke tindakan pemindahan keluar dari negara.

Sehubungan itu, SH Sitti Saleha mengingatkan semua warga asing supaya sentiasa memastikan diri memiliki dokumen perjalanan sah dan permit kerja yang dibenarkan.

Menurutnya, Jabatan Imigresen Sabah akan terus melakukan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Semua agensi penguatkuasaan di negeri Sabah juga akan sentiasa mengambil tindakan tegas kepada mereka yang tidak mematuhi peraturan dan undang-undang negara.

“Operasi Pemindahan ini adalah merupakan sebahagian daripada operasi berterusan yang dilakukan oleh JIM Sabah bagi tahanan warga asing yang ditempatkan di semua Depot Imigresen di seluruh negeri,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement