Anda di sini

Kanak-kanak perempuan kekal dilarang sertai sekolah menengah di Afghanistan

Advertisement
Pelajar lelaki menghadiri kelas pertama selepas sekolah-sekolah di Afghanistan dibuka untuk tahun akademik baharu kelmarin. — Gambar AFP
Pelajar lelaki menghadiri kelas pertama selepas sekolah-sekolah di Afghanistan dibuka untuk tahun akademik baharu kelmarin. — Gambar AFP

KABUL: Sekolah-sekolah di Afghanistan dibuka untuk tahun akademik baharu kelmarin, namun kanak-kanak perempuan dilarang daripada menyertai sekolah menengah untuk tahun ketiga berturut-turut.

Pihak berkuasa Taliban melarang kanak-kanak perempuan daripada menyertai sekolah menengah pada Mac 2022, selepas kembali berkuasa pada 2021 dan menggunapakai undang-undang Islam dengan ketat, mengakibatkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melabelkan ia sebagai “apartheid jantina”.

Pada pagi kelmarin, budak lelaki berpakaian seragam membawa bendera Taliban hitam dan putih ketika mereka berbaris di pintu masuk sekolah Amani di Kabul, di mana pegawai tempatan tiba untuk upacara permulaan tahun persekolahan.

Tetapi Zuhal Shirzad, 18, remaja perempuan Kabul terpaksa tinggal di rumah apabila loceng sekolah berbunyi.

“Setiap tahun apabila abang saya pergi ke sekolah, saya berasa sangat kecewa,” katanya kepada AFP.

“Saya gembira untuknya tetapi sedih untuk diri saya sendiri,” katanya.

“Musim sejuk ini, abang saya sedang belajar dan bersiap untuk peperiksaan kemasukan universiti,” tambahnya.

“Saya memandangnya dengan rasa putus asa dan berkata jika saya dibenarkan pergi ke sekolah, saya juga akan membuat persediaan untuk peperiksaan kemasukan universiti sekarang.”

Afghanistan ialah satu-satunya negara yang mengharamkan pendidikan kanak-kanak perempuan selepas sekolah rendah.

Kelas dalam talian telah dimulakan sebagai tindak balas kepada sekatan tetapi kekurangan komputer dan Internet, serta pengasingan pembelajaran melalui skrin, menjadikan ia langkah pengganti yang lemah untuk pembelajaran secara bersemuka, kata pelajar dan guru.

Kementerian pendidikan mengumumkan tahun persekolahan baharu pada Selasa, sehari sebelum permulaan tahun baharu kalendar Afghanistan, dan jemputan media secara jelas melarang wartawan wanita daripada membuat liputan majlis perasmian di sekolah Amani.

Universiti juga baru memulakan tahun akademik baharu, tetapi wanita telah ditegah daripada menghadirinya sejak Disember 2022.

Di bawah Taliban, wanita telah diasingkan daripada banyak aspek kehidupan awam. Salun kecantikan ditutup dan wanita dihalang dari taman, pesta ria dan gim.

Hak wanita masih menjadi penghalang utama kepada masyarakat antarabangsa untuk mengiktiraf kerajaan Taliban, yang masih belum diiktiraf oleh mana-mana negara.

Misi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Afghanistan (UNAMA) menyeru pihak berkuasa untuk “menamatkan larangan yang tidak wajar dan merosakkan ini”. — AFP
 

Advertisement