Anda di sini

Macron ikrar tangani krisis dadah di Marseille

Advertisement

Ribuan pegawai polis dikerahkan setiap minggu di Marseille dan kawasan sekitarnya: Media

Pegawai polis dilihat berkawal semasa lawatan mengejut Macron ke Marseille yang dicengkam krisis pengedaran dadah dan pembunuhan oleh kumpulan samseng. — Gambar AFP
Pegawai polis dilihat berkawal semasa lawatan mengejut Macron ke Marseille yang dicengkam krisis pengedaran dadah dan pembunuhan oleh kumpulan samseng. — Gambar AFP

MARSEILLE: Presiden Perancis Emmanuel Macron kelmarin berikrar akan melancarkan “operasi yang belum pernah dijalankan sebelum ini” menentang kegiatan pengedaran dadah di Marseille semasa lawatan mengejut ke bandar pelabuhan selatan yang dicengkam pembunuhan oleh kumpulan samseng.

“Di Marseille dan bandar lain di Perancis, kami telah melancarkan operasi yang belum pernah dijalankan sebelum ini untuk menghentikan pengedaran dadah dan memastikan keamanan republik,” tulis Macron di media sosial X selepas tiba di bandar itu.

Operasi itu, menurut laporan akhbar, menyaksikan ribuan polis dikerahkan setiap minggu untuk menamatkan krisis yang telah mengancam keselamatan di Marseille dan merosakkan reputasinya.

Macron memulakan lawatannya dengan berjalan kaki di daerah utara La Castellane, bercakap dengan penduduk di kawasan yang telah menjadi salah satu kawasan paling teruk terjejas bahawa operasi itu akan “berlangsung beberapa minggu”.

“Matlamatnya adalah untuk cuba memusnahkan rangkaian dan penyeludup dan melenyapkan orang yang menyusahkan kehidupan anda,” katanya.

Menurut berita harian Le Figaro, 4,000 pegawai polis akan digerakkan setiap minggu di Marseille dan kawasan sekitarnya. Kira-kira 170 “sasaran” telah dikenal pasti.

Korban dalam perang untuk mengawal laluan perdagangan lumayan di Marseille itu mencecah paras tertinggi baharu pada 2023, dengan 49 orang terbunuh – kebanyakannya pembunuhan berkaitan dadah – dan 123 orang cedera.

Empat daripada mereka yang terbunuh tidak mempunyai kaitan dengan perang dadah, secara tidak sengaja menjadi mangsa dalam tembak-menembak.

Operasi oleh pihak berkuasa Perancis itu dibuat selepas ketua geng dadah utama dari Marseille ditahan di Maghribi minggu lalu.

Felix Bingui, 33, ditahan di bandar pelabuhan Casablanca.

Bingui ialah ketua Yoda, salah satu geng dadah terbesar Marseille, yang telah terlibat dalam perang dengan puak utama lain yang dikenali sebagai DZ Mafia.

Menangani isu itu adalah penting bagi pihak berkuasa Perancis memandangkan Marseille memegang peranan dalam Sukan Olimpik musim panas ini di ibu kota Paris.

Marseille dijangka untuk menyediakan latar belakang yang menakjubkan selaku penganjur acara pelayaran Olimpik dan stadium legenda Velodrom juga akan menganjurkan beberapa perlawanan dalam kejohanan bola sepak Olimpik. — AFP 
 

Advertisement