Anda di sini

53 maut dalam konflik antara puak di Papua New Guinea

Advertisement

Keupayaan tentera dan polis terhad, mengadu gaji sangat rendah

Gambar serahan Konstabel Diraja Papua New Guinea semalam menunjukkan pegawai polis berkawal dekat pekan Wabag, 600 kilometer barat laut bandar utama Port Moresby.  — Gambar AFP
Gambar serahan Konstabel Diraja Papua New Guinea semalam menunjukkan pegawai polis berkawal dekat pekan Wabag, 600 kilometer barat laut bandar utama Port Moresby. — Gambar AFP

PORT MORESBY: Seramai 53 orang terkorban dalam konflik puak di kawasan tanah tinggi Papua New Guinea, demikian menurut pihak polis mengenai kejadian terkini kematian beramai-ramai yang dikaitkan dengan permusuhan berpanjangan di wilayah tersebut.

Pesuruhjaya Polis David Manning menyatakan pada Ahad bahawa pihak berkuasa dan anggota tentera telah menuntut semula mayat 53 orang lelaki itu.

Mereka dipercayai telah dibunuh berhampiran pekan Wabag, 600 kilometer barat laut bandar utama Port Moresby.

Penyebab sebenar kematian masih belum jelas, namun pihak polis menyatakan terdapat laporan mengenai tembak-menembak yang sengit di kawasan itu.

Insiden itu dikatakan mempunyai kaitan dengan satu konflik antara penduduk puak Sikin dan Kaekin.

Pihak polis menerima video grafik dan gambar yang kelihatan seperti dari tempat kejadian.

Mereka menunjukkan mayat yang tidak berpakaian dan berlumuran darah terbaring di tepi jalan dan ditimbun di belakang sebuah trak ‘flatbed’.

Puak tanah tinggi itu saling berperang antara satu sama lain di Papua New Guinea sejak beberapa abad, namun kemunculan senjata automatik telah membuat perbalahan semakin berbahaya dan berlanjutan menjadi keganasan.

Kerajaan Papua New Guinea telah cuba bertindak tegas, mengadakan rundingan, memberi pengampunan serta pelbagai lagi strategi lain bagi mengawal keganasan, namun hanya sedikit kejayaan dicapai.

Pihak tentera telah mengarahkan kira-kira 100 anggota tentera ke kawasan itu, namun keberkesanan mereka terhad dan perkhidmatan keselamatan masih kekurangan anggota dan senjata.

Pembunuhan sering berlaku dalam komuniti terpencil tersebut, dengan penduduk puak melancarkan serangan atau serang hendap bagi membalas dendam untuk serangan sebelum itu.

Warga awam, termasuk wanita mengandung dan kanak-kanak, turut menjadi sasaran sebelum ini.

Pembunuhan dilakukan dengan sangat kejam, dengan mangsa ditetak menggunakan kapak, dibakar, dikerat atau diseksa.

Pihak polis telah mengakui bahawa mereka tidak memiliki sumber bagi menangani konflik dan akibat kadar upah mereka yang teruk, ada sebahagian daripada senjata pasukan polis jatuh ke tangan anggota puak.

Penentang kerajaan Perdana Menteri James Marape pada Isnin menyeru agar lebih banyak anggota polis dikerahkan dan meminta pesuruhjaya polis meletak jawatan.

Populasi di Papua New Guinea telah meningkat lebih dua kali ganda sejak 1980, menambahkan lagi ketegangan terhadap tanah dan sumber serta memburukkan lagi permusuhan puak. — AFP
 

Advertisement