Anda di sini

Didik, jangan sisih remaja 'terlanjur'

Advertisement
Gambar hiasan
Gambar hiasan

Oleh Balkish Awang

APABILA anak remaja hamil luar nikah, ada ibu bapa yang pantas menghukum, antaranya dengan menghantar si anak ke pusat perlindungan bagi menyembunyikan apa yang mereka anggap sebagai ‘mengaibkan’.

Berdepan dengan stigma atau pandangan buruk masyarakat terhadap kes anak luar nikah membuatkan ibu bapa dibelenggu perasaan malu bercampur marah dan melihat jalan keluar dengan mengasing atau mengeluarkan anak mereka daripada lingkungan masyarakat setempat.

Namun, perlu juga diteliti punca yang mengheret remaja perempuan ‘terlanjur’ dan mungkin memeranjatkan apabila ada juga yang berlaku di depan mata ibu bapa sendiri, tanpa disedari.

Ini adalah antara situasi yang dikongsi seorang ahli panel program sesi bual bicara bertajuk "Mencegah Kehamilan Remaja Adalah Tanggungjawab Bersama" di Menara Felda baru-baru ini. Kes berkenaan berlaku tiga bulan lepas mengenai seorang remaja berusia 13 tahun yang dihantar ke Raudhatus Sakinah terletak di Batu Caves dengan keadaan sudah sarat mengandung lapan bulan.

Raudhatus Sakinah adalah sebuah pusat perlindungan dan bimbingan remaja puteri, ditubuhkan pada April 1998.

Lebih memeranjatkan apabila mendapat tahu ibu remaja terbabit adalah suri rumah sepenuh masa, namun langsung tidak menyedari akan perubahan fizikal anak perempuannya.

Program sesi bual bicara ini sempena pelancaran "Remaja Selamat Portal TownHall Teens & Parenthood: Empowering Teenagers Well-Being" anjuran pasukan Rising Star (di bawah Yayasan Sime Darby) dengan kerjasama UKM-GSB, Yayasan Sime Darby dan Yayasan Felda.

CABARAN SAMPAIKAN MESEJ

Memandangkan kes luar nikah melibatkan remaja yang tidak berpenghujung, baik remaja perempuan mahupun lelaki perlu didedahkan dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi berhubung pendidikan seksualiti serta kesihatan reproduktif.  Ini supaya mereka lebih bersedia dan bertanggungjawab untuk tidak terjerat dengan perbuatan hamil luar nikah.

Namun apa yang menjadi kekangan adalah apabila penyampaian sesuatu mesej dan ilmu yang ingin diberikan kepada golongan remaja ini tidak sampai sepenuhnya kepada mereka.

Mengulas perkara ini, Ketua Sub-Unit Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Remaja (PEKERTI) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Dr Wan Nur Baiti Sudin berkata, dalam memberikan penerangan, pihaknya lebih berhati-hati apabila memberikan ilmu serta pendedahan kepada para pelajar semasa menyampaikan ceramah terutama dalam program di sekolah.

Antara cabarannya adalah perlu mengehadkan perkataan atau membuat batasan selain perlu berhati-hati dalam menyebut perkataan yang digunakan bagi memastikan kandungan yang cuba disampaikan itu selamat dalam pemikiran remaja.

"Maka apa yang terjadi adalah mesej itu tidak sampai sebenarnya kepada pelajar. Pendidikan kesihatan reproduktif yang komprehensif dan tepat perlulah mengikut kesesuaian umur dan kematangan minda kanak-kanak tersebut," katanya semasa sesi bual bicara berkenaan.

Program seumpama ini yang selalunya dijalankan di sekolah mengumpulkan seramai mungkin pelajar daripada semua peringkat umur dan dengan harapan pemudah cara atau fasilitator boleh menyantuni serta menyampaikan maklumat yang sama kepada semua pelajar. 

"Modaliti ini dijalankan bagi pengetahuan kesihatan reproduktif yang tidak spesifik dan general kepada semua dan mungkin tidak menyentuh mengenai tingkah laku seksual yang berisiko serta mengenai kehamilan kerana pengetahuan ini spesifik untuk remaja yang lebih berusia," jelasnya.

Menurut beliau lagi, antara penyebab kepada penyampaian sesuatu mesej itu kurang berkesan kepada kumpulan sasar adalah sikap tabu masyarakat berkaitan kesihatan seksualiti yang melihat ianya sebagai mengajar perilaku hubungan seks semata-mata. 

Selain itu, katanya, terdapat tenaga pengajar yang mungkin kurang selesa dalam berbicara berkaitan kesihatan reproduktif dan ini menyebabkan penyampaian itu menjadi kurang berkesan.

Dr Wan Nur Baiti berkata, di LPPKN, pihaknya membangunkan modul pendidikan kesihatan reproduktif dengan mengambil kira gaya pembelajaran yang berbeza dalam diri remaja bersesuaian dengan umur dan perkembangan minda kanak-kanak. 

"Aktiviti dalam modul tersebut membuka ruang kepada remaja untuk bertanya dan memberi respons bagi setiap topik yang diajarkan. Melalui pengalaman kami melaksanakan program ini di sekolah, pelajar memang secara proaktif ingin melibatkan diri dan memberi respons dan ada juga yang berkongsi pengalaman dengan kami tentang apa yang terjadi kepada dia dahulu, dan selepas program baru dia sedar yang apa yang dilakukan itu adalah berbahaya untuk dirinya," katanya.

Melalui program yang dilakukan, remaja turut diberi ruang untuk mendapatkan bantuan melalui fasilitator di LPPKN.

"Selain itu guru yang secara proaktif melibatkan diri dalam program ini juga mendapati  mereka lebih tenang dan fokus dalam menangani masalah remaja kerana mereka diberikan pendedahan," katanya.

UBAH STIGMA, PENDIDIKAN REPRODUKTIF

Ibu bapa dan masyarakat lazimnya akan memberikan perspektif yang berbeza atau serong kepada remaja terlanjur.

Mengulas lanjut Dr Wan Nur Baiti berkata, sikap masyarakat yang gemar merendahkan martabat atau mendiskriminasikan remaja yang terlanjur memberi kesan negatif kepada remaja serta keluarganya.

"Stigma negatif ini menyebabkan keluarga remaja yang terlanjur berasa malu untuk berdepan masyarakat dan seterusnya memberi kesan kepada remaja tersebut. Pada kebanyakan masa, keluarga remaja yang terlanjur akan memilih sama ada berhenti atau menunda persekolahan, menghantar ke pusat pemulihan atau perlindungan atau menghalau anak mereka," katanya.

Justeru beliau berkata, tiadanya sokongan daripada ibu bapa dalam menghadapi dugaan itu akan memberi tekanan tambahan kepada remaja berkenaan selain menghalang peluang pendidikan.

"Sokongan ibu bapa dan masyarakat adalah teras utama bagi memastikan remaja ini diberi peluang kedua dan mampu kembali menjalani hidup dengan baik dan produktif. Jika masyarakat sedar akan situasi remaja masa kini, pasti masyarakat juga akan sedar mengenai kepentingan menerapkan pendidikan kesihatan reproduktif atau pendidikan seksualiti kepada anak-anak bermula dari kecil di rumah.

"Ibu bapa juga perlu sedar, anak-anak zaman kini makin cepat membesar dan perkembangan mental mereka juga semakin laju berbanding zaman dahulu. Ini kerana mereka mendapat akses kepada teknologi dan tanpa pengawasan ibu bapa dalam penggunaan internet, nescaya anak-anak berisiko untuk mengakses kepada maklumat yang salah dan menjurus kepada perlakuan yang tidak berakhlak," katanya.

Walau apa pun, beliau berkata, Malaysia tetap masih mengamalkan sikap ketimuran dan sopan santun dalam sesuatu pendekatan yang cuba disampaikan.

"Untuk mengajar mengenai pendidikan kesihatan reproduktif secara bersasar dan meliputi perkara berkenaan kehamilan dan penyakit jangkitan seksual contohnya, kita perlu telusuri dan mengenal pasti golongan remaja yang cenderung dan terlibat dalam mengamalkan tingkah laku seksual yang berisiko.

"Dengan itu, maklumat yang tepat boleh disampaikan kepada kumpulan sasar yang betul dan ini mampu mengurangkan kadar remaja yang terlibat dengan isu sosial seperti keterlanjuran, kehamilan remaja dan juga penyakit jangkitan seksual," katanya menambah, sikap keterbukaan perlulah bertempat dan berada pada situasi yang betul.

Pendidikan kesihatan reproduktif yang komprehensif, jelas beliau, perlulah tepat dan bersesuaian dengan umur kanak-kanak berkenaan. Selain itu pengajar mestilah tidak prejudis dalam memberikan maklumat kepada remaja dan tidak menghakimi remaja yang terlibat dalam tingkah laku berisiko.

"Inilah yang dipanggil stigma dan ini akan menjauhkan remaja daripada mendapatkan maklumat dari sumber yang betul," katanya.

PERLU CUKUP ILMU

Dengan ledakan teknologi, tahap penjelajahan remaja juga tiada batasnya dan sebagai ibu bapa di zaman moden, mereka perlu juga meneroka ilmu pengetahun sebaik mungkin termasuk hal berkaitan bidang seksualiti agar berupaya memberikan pencerahan kepada anak-anak apabila ditanya mengenai perkara itu.

Apa yang menggusarkan pada masa kini adalah tahap pengetahuan kebanyakan ibu bapa yang tidak punya ilmu serta persediaan secukupnya.

Dalam hal ini, Dr Wan Nur Baiti berkata, ibu bapa adalah orang yang pertama mendampingi anak dan menjadi sumber rujukan bagi anak-anak.

"Kebanyakan ibu bapa dengan anak kecil tidak menyangka mereka akan ditanyakan oleh anak mereka mengenai perkara berkaitan kesihatan reproduktif. Oleh sebab itu, mereka tidak bersedia dari awal mengenai apa yang harus diterangkan jika ditanya oleh anak.

"Berbanding dengan ibu bapa yang proaktif, mereka akan terus mengajarkan kepada anak kecil mereka mengenai tubuh badan dan kemahiran keselamatan diri bermula dari anak boleh memahami pertuturan," katanya.

Beliau berkata, maklumat serta panduan untuk ibu bapa mengenai pendidikan kesihatan reproduktif yang sesuai untuk dibicarakan bersama anak boleh didapati secara percuma daripada pelbagai sumber yang sahih, tidak kira melalui program fizikal atau atas talian.

"LPPKN juga ada menyediakan modul pendidikan kesihatan reproduktif yang dikhaskan untuk ibu bapa dengan anak remaja iaitu Modul Cakna Diri dan juga menyediakan inti pati maklumat kesihatan reproduktif untuk rujukan pengajar dan ibu bapa dalam portal LPPKN iaitu www.modulace.lppkn.gov.my untuk diakses oleh orang awam secara percuma," katanya.

Dalam memberikan pendedahan dan penerangan, beliau berkata, ibu bapa juga perlu jelas menyatakan peraturan dan nilai dalam keluarga dan pada masa sama, memberi anak ruang untuk memberi pandangan selain  ibu bapa perlu bersedia untuk menyesuaikannya mengikut keperluan. 

"Pada kebanyakan masa, ibu bapa tidak bersikap terbuka dan mengelak daripada berbicara mengenai kesihatan reproduktif. Ini menyebabkan anak remaja akan berahsia dan akan belajar daripada sumber lain disebabkan sifat ingin tahu mereka yang tinggi. Keadaan akan menjadi lebih rumit apabila mereka ingin mencuba apa yang mereka pelajari daripada sumber salah," katanya.

Beliau menambah, seiring dengan peredaran masa dan peningkatan akses teknologi dalam kalangan anak remaja, semua pihak harus berganding bahu menangani isu sosial remaja yang semakin meningkat. 

"Tugas mendidik anak remaja kita bukan hanya terletak kepada guru, ibu bapa dan kerajaan. Ia juga tugas kepada semua masyarakat termasuk badan korporat. Anak remaja adalah aset negara yang akan menjadi tenaga kerja bagi menggerakkan serta memimpin negara kelak. "Bentuklah anak remaja kita bukan hanya dari segi pendidikan dan pengetahuan, namun sahsiah dan adab perlakuan diri agar mereka terus berada di jalan yang betul," katanya.

Beliau juga meminta ibu bapa dan masyarakat untuk lebih terbuka dan sedar akan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif kepada golongan remaja agar tidak terjerumus dalam kancah isu sosial yang boleh merosakkan masa depan mereka.

Menurut beliau, kempen yang dijalankan oleh LPKKN adalah lebih kepada pendekatan mesra remaja dan mereka boleh datang ke Pusat Remaja KafeTEEN yang terletak di Putrajaya dan  objektif penubuhannya adalah sebagai pusat peneraju penyebaran pendidikan kesihatan reproduktif dan sosial kepada remaja di Malaysia.

PERLU EFEKTIF

Sementara itu, Ketua Unit Pendidikan Seksualiti dan Reproduktif I-Medik Dr Anayasmin Azmi berkata, corak pendidikan seksualiti kepada golongan remaja perlu lebih efektif agar apa yang ingin disampaikan kepada kumpulan sasaran tercapai.

"Sampaikan dalam cara yang kreatif sesuai dengan ciri remaja yang gemarkan aktiviti yang memberikan ‘dopamine reward’ iaitu pendidikan seksualiti diselitkan dengan aktiviti yang mencabar seperti aktiviti lasak berkumpulan bagi membina asertif, kepimpinan dan ‘self-regulation’ yang hadir bersama ilmu pendidikan reproduktif, " katanya yang juga pensyarah di Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Menyentuh tentang stigma terhadap remaja yang terlanjur ini, beliau berkata, perkara paling penting adalah untuk ibu bapa membuang stigma negatif berkaitan pendidikan seksualiti sebagai pencegahan kehamilan remaja.

"Kini kita perlu beralih kepada ‘preventive more than curative’ dan langkah pertama adalah ‘kita dahulu baharu remaja’. Sebenarnya ibu bapa yang merupakan tonggak keluarga perlu merasai bahawa betapa pendidikan seksualiti ini penting dan relevan," jelasnya.

Beliau turut menegaskan, pendidikan seksualiti perlu diberikan sejak awal usia bersesuaian dengan  perkembangan anak-anak dan berterusan bukan hanya sekadar ‘touch and go’.

"Dalam hal ini pendekatan juga harus bersesuaian dan selari dengan lokaliti Malaysia serta agama selain budaya kita yang berpegang kepada ‘protective factors’ bukan sebaliknya. Selain itu didikan berhubung pendidikan seksualiti ini juga perlu hadir dengan rasa hormat dan penuh tanggungjawab," katanya.

Dr Anayasmin yang mengendalikan pelbagai kes berhubung isu remaja hamil berkata, berdasarkan Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2022, daripada kajian terhadap 2,512 responden, kadar prevalen yang mengaku pernah melakukan hubungan seks adalah seramai 190 orang atau 7.6 peratus dan daripada jumlah itu 62 orang atau 32.8 peratus permah melakukan hubungan seks sebelum berumur 14 tahun. - BERNAMA 

Advertisement