Anda di sini

Pelangi Damai di Langit Kaabah 

Advertisement
 
 

Oleh: Jais Sahok

PERTEMUAN singkat Hussain dan Ismail di Mekah secara tidak langsung telah banyak mengajarnya tentang erti kehidupan. Lebih banyak daripada pengalaman hidup di tanah air. Pengalaman daripada dimensi yang lain.

     Dia kian insaf. Sikap kerjasama dan bertolak ansur dalam kehidupan sebenar sebagai seorang Muslim menyuburkan ladang kalbunya. Sesekali dia berbahasa dalam diri, inilah kehidupan dalam pemikiran.

     Langit Kaabah yang direnungnya agak lama, bersama-sama arakan awan, bagai bermadah kepadanya. Itulah puncanya. Dia ingat. Satu rahmat, dalam tafsirannya.

     Hussain mula insaf akan setiap tindakan yang dilakukannya selama ini terutama dalam urusan perniagaan selepas pertemuannya dengan Ismail. Pertemuan di Mekah itu sangat bermakna, kerana Ismail berjaya memberinya dorongan, motivasi dan panduan. Ismail sendiri ialah usahawan Melayu yang berjaya di Tanah Suci.

     Iktibar daripada hijrah Muhammad SAW turut menginsafkannya. Berkali-kali ingatannya didatangi maklumat dan tafsir makna peristiwa hijrah itu. Inti pati perbualannya dengan Ismail ialah hijrah. Jika bermasalah di sesuatu tempat, apa-apa sahaja masalahnya, berhijrahlah. Jika bermasalah dalam satu-satu perusahaan, berhijrahlah. Kemahiran berfikir dan kemahiran berfikir kritis perlu ada. Perlu diamalkan. Berhijrahlah!

     Meskipun hanya menjalankan perusahaan secara kecil-kecilan seperti menjual hasil tani dan perusahaan kerepek, Hussain akur bahawa untung dan rugi tetap menjadi keutamaan. Dia mesti merantingkan fikirannya ke arah itu. Perkiraan untung rugi mesti ada. Dia juga insaf bahawa ada kalanya penipuan tidak menimbulkan rasa bersalah, pada permulaan perusahaannya, lebih-lebih lagi apabila persaingan menjadi tema perniagaan mereka. Kerana nila setitik, banyak susu yang sudah cemar.

     Bantuan FAMA juga didapati sangat menguntungkan. Mereka berjaya membendung cengkaman orang tengah dalam pemasaran hasil tani. Sebilangan teman menjadi lokek dan tamak. Dalam persaingan, dia pun masuk ke kandang kambing, mengembek. Itulah fenomena, fikir Hussain dalam tenang.

     Subhanallah! Hussain mengeluh berat. Begitulah keluhan yang banyak dilepaskan di medan Kaabah, ketika kesempatan keemasan itu benar-benar berkilau. Sesekali diusahakannya mengosongkan fikiran, menggapai ketegangan.

     Apabila memasarkan hasil tani mereka di pasar Satok di Kubah, antara pesaing hebat Hussain dalam perniagaan hasil tani dulu ialah Miring. Memanglah Miring kawannya, tetapi tetap pesaingnya juga. Dan dalam perniagaan, dalam persaingan, tidak ada kawan. Begitulah kata Miring sendiri. Ketika itu lipatan-lipatan fikirannya ditenyeh kekeliruan yang membelenggu. Namun digagahinya fikiran dan taakul situasi dan fenomena – atas nama perniagaan!

     Persaingan ini ada kalanya mencetuskan perbalahan, tuduh-menuduh, fitnah-memfitnah sehingga ada ketikanya menjadi bara. Mulanya kecil sahaja. Mula membawang kiri dan kanan. Dosa pahala mula ditolak ke tepi. Itulah namanya persaingan. Persahabatannya dengan Miring condong ke arah itu. Dalam apa-apa perkara sekalipun mereka sentiasa ingin bersaing dan ada kalanya terpaksa saling menindas. Itulah budayanya. Itulah lazimnya. Seorang teman Hussain, Ah Kiong, menyatakan kebiasaannya, begitulah hakikat yang perlu diterima. 

     Maka dia akur.

     Pertemuan dengan Ismail di Masjidil Haram mengubah persepsinya, mendadak. Melulu. Bagai desah angin pasir yang tiupannya tiba-tiba sahaja meribut. Hussain terkesima. Sejak pulang dari mengerjakan haji tahun lalu, kehidupan Hussain sudah banyak berubah. Perubahan itu berlaku apabila dia mengenali Ismail. Ismail wujud bagai seorang guru dalam kehidupannya, berpengaruh, bertenaga, tekal waspada.

     Ismaillah teman sejati pengubah diri Hussain. Ismail cuma seorang usahawan hijrah yang berniaga kecil-kecilan pada mulanya, tetapi 10 tahun kemudian dia menjadi usahawan yang sangat berjaya di Mekah. Pada mulanya Hussain berasa aneh akan kejayaan Ismail. Kekaguman pun menggulung-gulung bungkusan hatinya.

     Ismail mengusahakan gerai masakan Malaysia. Pada mulanya cuma dengan Mi Kolok Sarawak. Perniagaan di lorong sempit laluan jemaah ke Masjidil Haram sahaja. Namun perusahaan Ismail berkembang kepada restoran masakan Malaysia. Nama Haji Ismail menjadi besar, tidak secara mendadak, tetapi dalam tempoh 10 tahun. Dalam kalangan para jemaah Indonesia pun nama Haji Ismail lazim meniti dari bibir ke bibir.

     Cogan kata pegangannya berhijrah untuk berubah. Cuma kebetulan sahaja Ismail ialah saudara baharu seperti Hussain juga. Begitulah kuasa Allah, pertemuan persahabatan yang direstukan, fikirnya. Kepelbagaian bangsa, keturunan, warna kulit serta kedatangan dari seantero dunia di Mekah lebih menginsafkannya bahawa dunia ini untuk semua insan.

     Ismail behijrah ke Mekah, melalui sebuah kumpulan pendakwah Malaysia yang ke Madinah untuk belajar agama sebagai usaha memperkukuh akidah dan dakwah mereka, semata-mata untuk berada lebih dekat dengan rumah Allah. Berhijrah untuk ilmu Allah. 

     Perubahan Hussain ini bukan sahaja dirasai oleh anak dan isterinya sendiri malah Miring juga. Misalnya, ketika meraih hasil tani daripada orang lain, Hussain lebih banyak mengalah dalam urusan bidaan. Dia lebih bertimbang rasa ke atas perit jerih usaha para petani. Dia tidak mahu menekan harga para petani hingga menjual hasil tani dengan harga yang terlalu rendah. Baginya biarlah para petani memperoleh hasil dan kepuasan daripada titik peluh masing-masing.

     Dia menghentikan amalan sebahagian besar orang tengah tani. Dia tidak memberi tekanan harga melalui pemberian hutang atau ancaman pasaran sempit dan sebagainya. Malahan sikap Hussain yang dahulunya sangat berkira dalam soal bayaran kini suka melebihkan bayaran, melebihkan sedekah dan menjaga hati mereka yang berurus niaga dengannya. Katanya, berkongsi rezeki Allah dengan orang lain, dan cogan katanya, tangan yang memberi, lebih baik daripada tangan yang menerima menjadi pemanis fikiran dan sikapnya. 

     Suatu hari, Miring menghadapi masalah kewangan yang berat kerana terpaksa membayar hutang pinjaman daripada Ah Long. Dia berhutang kerana mahu menambah kuasa beli sebagai orang tengah tani.

     Sebelum keadaan menjadi bertambah parah kerana bunga daripada duit pinjaman, akhirnya Miring tidak mempunyai pilihan selain menjual perusahaan membuat tebaloinya di Mukah. 

     Berita tersebut telah sampai ke telinga Hussain. Hussain menyatakan bahawa dia sudi dan sanggup membeli perusahaan tersebut kerana beberapa sebab. 

     Pertama kerana mengenangkan Miring ialah sahabatnya walaupun mereka sering bersaing sehingga berlaku perbalahan dan permusuhan. 

     Kedua, Hussain merasakan bahawa perusahaan Miring mampu pergi lebih jauh jika Miring sendiri yang mengusahakannya, kerana Miring memang mempunyai kepandaian dalam perniagaan.

     Selain menyatakan kesanggupan dan kesudian membeli perusahaan Miring, Hussain juga menetapkan syarat. Setelah dia memiliki perusahaan Miring kelak, dia mahu Miring tetap menguruskannya seperti biasa tetapi secara perkongsian saham syarikat. Dalam bahasa mudahnya Miring akan menjadi pekerjanya. 

     Tiga pertemuan membuahkan hasil perundingan yang bagi Haji Hussain mendatangkan kesan menang dan menang. Dia setuju, dan mendoakan restu Allah agar Miring selamat dan sejahtera. 

     Akibat terdesak dan takut akan ugutan demi ugutan daripada Ah Long, Miring pula setuju menjual perusahaannya kepada Hussain dan menyatakan bahawa apabila dia sudah memiliki sejumlah wang yang mencukupi hasil daripada dia bekerja, dia ingin membeli semula perusahaannya, atau mereka akan terus kekal sebagai shareholder dalam syarikat. 

     Hussain bersetuju. Dia semakin masak dengan selok-belok perniagaan. Pembelian saham atau buy over syarikat memamg mainan perniagaan. Pelbagai kursus yang diikutinya memberikan pengetahuan yang lebih mendalam.

     Kata sepakat dicapai dan termerai dalam perjanjian bertulis melalui seorang peguam.

     Selepas perusahaan Miring sah menjadi milik Haji Hussain, melalui pegangan saham yang lebih banyak, Haji Hussain telah melakukan penjenamaan semula dalam semua produk jualannya. 

     Meskipun tidak bersetuju, namun Miring terpaksa akur dan hal segala ketidakpuasan hati sering diluahkannya kepada sahabatnya, Garok. 

     Garok ialah sahabat baik Miring. Garok telah menghasut Miring untuk melakukan pelbagai penyelewengan khususnya dalam soal kewangan agar Miring dapat menebus perusahaannya lebih cepat dan boleh pula membuat penjenamaan sendiri. Garok juga mencadangkan pengauditan yang menampakkan kerugian yang dahsyat dalam urusan syarikat tebaloi itu.

     Suatu hari yang malang, Miring termakan hasutan dan menyeleweng sejumlah kecil wang daripada perusahaan mereka. Dia melakukannya sebagai buat cuba-cuba sahaja. Kalau Haji Hussain tidak terkesan, dia akan mengulang dan melakukan penyelewengan yang lebih besar. Lagipun, Garok menjanjikannya kerja di kilangnya, jika dia gagal, atau tertangkap.

     Penyelewengan tersebut berjaya dihidu oleh anak Haji Hussain yang menguruskan hal-hal perakaunan perusahaan mereka. Latifah Hussain bekerja menguruskan perakaunan empat buah kilang hiliran tani milik bapanya sejak lulus perakaunan dari UNIMAS.

     Haji Hussain memanggil Miring untuk bertanyakan hal sebenar melalui kaedah coaching. 

     Miring menafikan tuduhan Haji Hussain. 

     “Saya tak tuduh kamu Miring.” 

     “Haji sengaja menuduh saya agar saya teraniaya. Haji tahu saya hendak beli semula semua saham syarikat ini satu hari nanti kan?”

     Walaupun bukti sudah jelas dan nyata, Miring tetap menafikan dengan sekeras-kerasnya. Namun Haji Hussain tetap bersabar menangani masalah dan kerenah Miring. Di setiap solat fardunya, doa kesejahteraan Miring dan semua pekerjanya sama ada yang beragama Islam atau yang bukan Islam didoakannya. Kesejahteraan mereka sangat penting bagi Miring.

     Pada suatu hari Garok telah datang kepada Miring dengan hasrat hendak meminjam sedikit wang untuk perbelanjaan anaknya melanjutkan pelajaran ke luar negara dalam bidang kejuruteraan. Dia kekurangan sebanyak RM10 ribu.

     Miring tidak dapat membantu Garok kerana turut tidak mempunyai wang yang mencukupi. Malah dia baharu sahaja menyelesaikan masalah belenggu Ah Long.

     Dalam diam perbualan Miring dan Garok didengar oleh Saifuddin, iaitu anak Haji Hussain yang kelima, yang kebetulan sama bersekolah dengan anak Garok di sekolah asrama penuh SAKURA di Kuching. 

     Meskipun kedua-dua ibu bapa mereka tidak mempunyai hubungan yang akrab namun mereka tetap berkawan baik di sekolah. Mereka berada dalam satu pasukan ragbi sekolah. Pasukan mereka pernah mengalahkan pasukan SHOAW dan Kolej Abdillah. Nama mereka terjulang dan terkenal di seluruh sekolah.

     Seperti anak Garok, suatu ketika dahulu, Saifuddin juga mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke luar negara, iaitu ke Mesir dalam bidang perubatan. Dia tahu akan hasrat temannya itu. Mereka sama-sama bercita-cita tinggi.

     Saifuddin menceritakan hal itu kepada bapanya, Haji Hussain. Haji Hussain telah berpakat dengan seorang guru di sekolah anaknya untuk menemui Garok dan menyatakan hasrat bahawa ada individu yang tidak dikenali sudi menaja segala perbelanjaan anaknya.  

     Tercengang Garok seketika. Terkebil-kebil matanya. Sukar sekali dia hendak percaya akan khabar itu.

     Tidak lama selepas pemergian Saifuddin dan anak Garok ke luar negara, isteri Miring jatuh sakit dan disahkan menghidap sakit jantung serta memerlukan pembedahan segera. 

     Miring pula kebingungan kerana memikirkan perihal kos pembedahan tersebut. Lima hari dia bercuti. Masalahnya belum selesai.

     Pada mulanya, dia hendak meminjam wang daripada Haji Hussain. Hatinya berat. Hutang dalam bentuk saham syarikat perkongsian mereka pun belum terbayar sepenuhnya. 

     Terfikir juga dia hendak melakukan penyelewengan lagi, namun dia takut benar-benar tertangkap. Kali ini Garok pun sudah menasihatinya supaya tidak melakukan kejahatan terhadap orang lain.

     Garok beranggapan tindakan seseorang yang masih belum diketahuinya, membiayai kos pemergian anaknya ke luar negara, walaupun tidak sepenuhnya, menginsafkannya. Ada sesuatu keajaiban telah berlaku. Miracle, katanya.

     Haji Hussain menyedari situasi dan keadaan Miring. Akauntan syarikat yang memaklumkan perkara itu kepadanya. Kos pembedahan isterinya sebagai full paying patient di PJ HUS Samarahan ialah RM32 ribu.

     Keesokannya apabila Miring kembali bekerja, Haji Hussain memanggil Miring untuk menemuinya secara bersemuka di pejabat. 

     Ketika di pejabat, Haji Hussain tidak menyatakan apa-apa sebaliknya terus menyerahkan sekeping cek bertulis amaun RM32 ribu untuk pembedahan isterinya. Dia menatap wajah Miring penuh syahdu dan sayu.

     Miring memandang Haji Hussain dengan penuh tanda tanya. Bergenang air jernah memenuhi kelopak matanya, tanpa suara.

     Haji Hussain menjelaskan bantuan itu. Bukan untuk menjadikan Miring terus terhutang kepadanya, sebaliknya itu ialah duit hasil titik peluh Miring sendiri. “Zakat pendapatan syarikat kita,” ujar Haji Hussain.

     Menggigil Miring mendengar penjelasan itu.

     Secara tiba-tiba sahaja Miring gagal mengawal sebak tangisnya. Dia menangis di hadapan Haji Hussain. 

     Baginya selama ini dia telah banyak menyusahkan hidup Haji Hussain dengan melakukan pelbagai onar. Dalam tangisnya yang menyendat, Miring juga mengaku bahawa dia memang pernah melakukan penyelewengan malahan pernah mencuri wang tunai di pejabatnya. 

     Haji Hussain tenang sahaja mendengar pengajuan sahabatnya itu. Kemudian dia menyatakan bahawa dia tahu akan perihal itu kerana dia ada memasang kamera litar tertutup di pejabatnya tanpa pengetahuan sesiapa. Dia memilih untuk tidak bertindak dengan segera kerana percaya bahawa balasan Allah ada ketikanya datang segera, ada kalanya perlahan-lahan dan ada kalanya sangat lambat.

     Dia mempunyai bukti yang cukup untuk membawa Miring ke muka pengadilan, tapi dia masih bersabar dan mengharapkan dengan segala kesabaran dan kebaikan yang dilakukannya, Miring akan berubah. Akan perkara itu dinyatakannya perlahan-lahan dan satu persatu kepada Miring.

     Sesuai dengan kehendak dan saranan agama yang dianutinya, iaitu tidak membalas kejahatan dengan kejahatan sebaliknya balaslah dengan kebaikan.

     Akan perkara yang dilaluinya itu, telah dikongsikan sekali lagi oleh Miring bersama Garok. Miring menyatakan segala penyesalannya di hadapan Garok dan berasa malu atas segala perbuatan yang telah dilakukanya terhadap Haji Hussain. 

     Dalam masa yang sama, Garok juga turut menyatakan rasa menyesal kerana telah menjadi batu api dan penghasut agar Miring melakukan pelbagai penyelewangan dalam syarikat Haji Hussain. Malah Garok juga berasa malu apabila identiti rahsia individu yang telah membantu menampung kos pemergian anaknya ke luar negara telah terbongkar. 

     Pada suatu petang, Miring dan Garok sepakat untuk menemui Haji Hussain di rumah. 

     Ketika itu Haji Hussain sedang bersantai-santai di anjung rumahnya. Mereka berdua diterima baik di rumahnya. Dalam pertemuan itu, Garok dan Miring mengakui segala kesilapan dan memohon maaf atas segala perkara yang telah dilakukannya. 

     Miring sempat bertanya, mengapakah Haji Hussain masih mahu menolong dia dan Garok walaupun mereka berdua banyak berbuat salah kepadanya.

     Haji Hussain cuma menjawab, “Walaupun kita berbeza agama, tetapi agama yang saya anuti tidak menghalang saya membantu orang lain meski berbeza agama. Lagipun jika awak melakukan kesalahan pada hari ini, tidak semestinya esok awak akan melakukan kesalahan juga.’

     Haji Hussain berjeda agak lama. “Malah agama yang saya anuti sekarang sangat menggalakkan saya melakukan kebaikan. Haji Ismail ...,” dia teringat akan sahabatnya di Mekah. Dia terasa sebak. Dia melukiskan semula pelangi damai di langit Kaabah itu dalam wayang mindanya. Sebak dadanya kian berat.

     Dalam senguk-sengak tangisnya, Haji Hussain memaksakan ujaran keduanya, “Harta, kekayaan, wang, pangkat dan darjat di dunia tidak boleh dibawa mati.” Dia berjeda lagi, untuk mengatur nafasnya. “Semua itu akan ditinggalkan dan digunakan untuk kebaikan, dan kesejahteraan orang lain juga.” 

     “Haji,” ujar Miring tiba-tiba. 

     Haji Hussain melihatnya dengan pandangan kabur kerana matanya berair. “Ajar saya, saya mahu masuk Islam. Saya akan bawa semua keluarga saya meenjadi orang Islam.”

     “Alhamdulillah, hijrah,” ujar Haji Hussain.

     Keesokan harinya mereka bertiga menghantar anak Garok ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching untuk ke luar negara kerana melanjutkan pelajaran.

 
 
Advertisement