Anda di sini

Pohon untuk Arthropoda, Unchas dan Elun

Advertisement
 
 

Oleh: Benedict Samling

UNCHAS dan Elun, nama-nama yang tidak pernah gagal mengirimkan dedaun ke dalam peti merpati milik Attacus, namun nama-nama itu terus gagal dalam percubaan mencuri perhatian Attacus. Dan, bakul sampah di bawah meja Attacus tidak dapat lagi menampung daun-daun daripada Unchas dan Elun. Entah mengapa setiap kali menerima dedaun daripada Unchas dan Elun, dia akan teringat tong sampah di bawah mejanya dan teringat juga akan Brookania, rama-rama yang lemah lembut tutur katanya tetapi setiap kata yang terpacul dari bibirnya yang semerah delima itu seakan-akan menusuk pangkal jantungnya.

     Attacus menarik nafas dengan dalam kemudian dilepaskan dengan laju, seperti hembusan nafasnya itu mengusir segala beban yang bertakung di dalam dadanya. Walau berkali-kali dia mengosongkan ruang dadanya, dia masih merasakan dadanya terhimpit padat. Setiap dedaun yang diterima daripada Unchas dan Elun seperti jutaan kepompong bersarang di dalam salur pernafasannya. Attacus segera membuka sayapnya dan terbang ke perdu pohon mawar merah yang ditanam di pusat bangunan yang menjadi igauan para beluncas, rama-rama mahupun kupu-kupu. Setiap hari dia akan menatap dahan-dahan mawar merah itu, mencari-cari kalau ada tunas baru. Malangnya, setiap dahan mawar hanya tergantung daun-daun milik rama-rama tua.

     Satu demi satu daun gugur dari pohon mawar merah. Disusuli deraian bunga lalang. Attacus, rama-rama bersayap kepala ular, masih setia membelek-belek daun-daun yang dikirim kepadanya dan hampir semua daun-daun itu tertera nama Unchas dan Elun. Dia yang ditemani senja dan angin puyuh dari puncak Gunung Tahan, menggeleng-geleng. Huh! Coretannya tetap sama, dia berbisik kepada dirinya.

     Bukanlah niatnya untuk tidak meletakkan dedaun yang dikirimkan oleh Unchas dan Elun pada pohon mawar merah, namun coretan pada dedaun itu tidak cukup untuk memuaskan dahaganya malah coretan Unchas dan Elun itu seperti menggeletek anak tekaknya. Attacus tiada pilihan selain membakulsampahkan daun-daun yang dikirimkan oleh Unchas dan Elun kepadanya untuk digantungkan pada pohon mawar, pohon yang diidam-idamkan oleh para Arthropoda demi secebis kemahsyuran.

     ‘Rumah Sastera?’ desis Attacus ketika terbaca coretan Unchas dan Elun di dalam warkah yang dituju kepadanya. ‘Apakah mereka tidak dapat membezakan di antara rumah dan istana? Tidakkah mereka sedar tempat ini adalah Istana Sastera Tanah Besar?’ Attacus memberengut.

     Kepala Attacus seperti dihempap ratusan dedaun yang dikirimkan oleh Unchas dan Elun. Setiap kali dedaun dilayangkan oleh larva hijau itu memasuki peti merpatinya, setiap kali itu juga Attacus akan menjadi teramat mengantuk, seakan-akan tubuhnya dibanjiri hormon melatonin (mujur dia bukan manusia). Pada saat ini, Attacus membulat tekadnya untuk menolak kesemua dedaun yang diluncurkan oleh haiwan berabdomen itu. Attacus mendongak. Dia menarik nafas dengan dalam lalu dihembus dengan amat perlahan sehingga penghujung hembusan disusuli desiran yang berbutir-butir. Sesungguhnya, dedaun daripada Unchas dan Elun benar-benar menyeksa dan menyesakkan benaknya. 

     Langit menanggalkan jubah jingganya dan perlahan-lahan dadanya dibaluti jendela malam. Dia termangu menatap daun-daun tertera nama Unchas dan Elun. Walau sudah menghisap nektar dari berkuntum-kuntum bunga mawar, namun kantuk tetap bergayutan pada kelopak matanya. Daun-daun daripada Unchas dan Elun bagaikan nektar dari bunga sawit yang ditapaikan, memabukkan sesiapa sahaja yang menghirup, seperti dirinya yang sedang bergelut untuk mencelikkan kelopak matanya untuk terus menelusuri setiap coretan di atas dedaun yang dikirimkan oleh Unchas dan Elun. Jika diikutkan hatinya, dedaun yang kekuningan itu dilibas sahaja dengan sayapnya yang seperti kepala ular, lalu berterbangan dan tidak menyesakkan mejanya.

     Sedetik, dia teringat akan amaran dari sahabatnya, Brookania, si rama-rama betina bersayap hijau yang menjaga Istana Sastera di Wilayah Kenyalang, ketika persidangan Rama-rama Istana Sastera Seantero Wilayah di Balai Utama Istana Sastera Wilayah Kenyalang.

     “Beri ruang secukupnya kepada beluncas-beluncas dari Wilayah Kenyalang di dalam Istana Sastera Tanah Besar,” tegas Brookania menatap jauh ke dalam mata Attacus. Pandangan Brookania yang setajam pedang ilang itu seperti menusuk ke dalam jantung Attacus. Nafas Attacus seperti terhenti tatkala ditatap Brookania.

     “Pintu sudah dibuka seluas-luasnya,” jawab Attacus membiarkan matanya bergayutan pada wajah Brookania yang semanis nektar bunga mawar. Sambung Attacus lagi, “tanpa berkompromi dengan kualiti.”

     “Kendurkan standardmu,” tingkah Brookania.

     “Bukan standard tetapi kualiti,” jawab Attacus dengan tegas.

     “Huh! Kualiti atau kroni?” bentak Brookania. Tatapan mata Brookania pada ketika itu bukan lagi setajam pedang ilang tetapi seperti kelopak mawar ketika dipancar sinar matahari pagi. Jelingan sinis Brookania itu seperti anak sumpit yang menusuk dada lalu menembusi jantungnya. 

     Tidak semena-mena, dentuman yang kuat dari peti merpati menyentap lamunan Attacus lalu segera memadamkan wajah Brookania. Cepat-cepat dia melebarkan sayapnya lalu terbang ke arah peti merpati. Dia menjengah ke dalam peti yang menjadi tempat penerimaan dedaun dari warga Arthropoda. Seperti yang dijangkakan, di dalam peti merpati itu ada berikat-ikat dedaun hijau segar. Dua ikat daripada daun-daun itu amat dia kenal akan ikatannya.

     ‘Haruskah aku membuka dan menelaah coretan di atas daun kiriman Unchas dan Elun itu?’ Attacus memberengut. Dia membelek-belek longgokan daun di dalam peti merpati itu. Entah mengapa matanya seperti dipukau lalu terpaku pada seikat daun keladi yang sehijau rimbunan lalang di atas padang yang terbiar. Cepat-cepat Attacus mencapai daun keladi itu dan dengan berhati-hati, dia membuka ikatan benang sutera yang melilit gulungan daun keladi itu.

      Dia melongo. Matanya terbuka besar, sebesar kepompong yang membaluti larvanya dahulu sebelum dia membesar menjadi rama-rama bersayap kepala ular. Coretan di atas daun keladi itu kekuning-kuningan dan bersinar-sinar seperti ketulan emas di bawah cahaya matahari. Di atas daun keladi itu, matanya menelusuri setiap kata, terukir:

Attacus,

Penjaga Istana Sastera Tanah Besar.

Tujuan daun ini dilayangkan adalah untuk memintal perhatian Attacus sebagai Penjaga Istana Sastera Tanah Besar. Beluncas-beluncas di Istana Sastera Wilayah Kenyalang kini sedang merancang untuk berpaling tadah terhadap satu-satunya Istana Sastera di wilayah ini. Kamu pasti tahu, tanpa beluncas-beluncas itu, Istana Sastera Wilayah Kenyalang akan lengang, seterusnya berhadapan dengan risiko pembubaran. Andai fenomena ini berjangkit ke Istana Sastera Tanah Besar, dikhuatiri semua Istana Sastera di negara ini akan terkubur. Kamu pasti tahu apa akibatnya kepada penjaga Istana Sastera dan para rama-rama andai ia benar-benar berlaku.

Attacus,

Apakah kamu sudah lupa, suatu ketika dahulu kamu juga bermula dari seekor beluncas? Bezanya kepompong kamu dieram di dalam ruangan terkawal ditumbuhi pucuk-pucuk mulberi yang membuatkan pembesaranmu begitu sempurna? Beluncas-beluncas di sini, pihak Istana Sastera Wilayah Kenyalang hanya menyajikan mereka dengan daun-daun liar dan seadaanya.

Attacus yang dihormati,

Adakah benar perkhabaran yang dibawa angin sendalu tentang wujudnya kasta di dalam Istana Sastera Tanah Besar? Apakah kamu sudah lupa “Istana Sastera milik semua”? Bukankah cogan kata itu direkaciptakan oleh kamu? Atau ia hanyalah retorik untuk menampakkan kewujudan pemikiranmu di Istana Sastera Tanah Besar.

Segelintir beluncas mulai mempersoalkan kredibiliti kamu sebagai penjaga Istana Sastera. Ada yang mengatakan kamu memilih bulu beluncas dalam soal penerimaan dedaun. Ada juga menyentuh tentang beluncas-beluncas di Istana Sastera Tanah Besar adalah di kalangan sahabat-sahabat dan anak didikmu. Apakah benar perkhabaran yang dibawa oleh angin? Aku mengharapkan ia hanyalah khabar bawaan angin.

Attacus, kembalilah kepada fitrah rama-rama, menari bersama angin kerana angin mengajar kita erti kejujuran. Fikirkan, Attacus.

Yang Beramanah,

Brookania, Trogonoptera

Penjaga Istana Sastera Wilayah Kenyalang

     “Cis! Ini satu tohmahan liar,” bentak Attacus. “Aku bukan tidak mahu menggantungkan dedaun Unchas dan Elun pada pohon mawar di dalam Istana Sastera, tetapi apa yang mereka sajikan terlalu jauh dari lingkungan sastera.”

     Dada Attacus kini seperti dilibas ekor matahari. Kepanasan yang tiada taranya membuatkan nafasnya tersekat. Sepasang sesungutnya tercacak seperti duri rotan. Dia menggenggam daun keladi yang diutuskan oleh Brookania dengan kuat. Sayapnya terbuka luas. Sisik-sisik pada sayapnya bergetar. Ingin sahaja dia meluncur ke Istana Sastera Wilayah Kenyalang bertemu dengan Brookania, kekasih hatinya suatu ketika dahulu lalu memperjelaskan akan sebab-sebab penolakan daun-daun dari beluncas Istana Sastera Wilayah Kenyalang. Andai sahaja Angin Monsun berhenti menghembus amarahnya di Laut China Selatan, sudah tentu aku akan ke tanah seberang, fikir Attacus yang masih menggenggam daun keladi kiriman Brookania.

     Suatu ketika dahulu, Attacus sering menyebarang Laut China Selatan untuk mendampingi para beluncas di Istana Sastera Wilayah Kenyalang. Kunjungannya ke Wilayah Kenyalang bukan untuk menyedut nektar-nektar dari bunga matahari, kemboja mahupun mawar gunung tetapi untuk mempersiapkan para beluncas menjadi rama-rama yang akan meluncur membelah angin lalu hinggap di pohon mawar di dalam Istana Sastera Tanah Besar, istana yang menjanjikan kemegahan dengan syarat memenuhi ilmu di dada dan keluar dari lingkungan kebiasaan.

     “Andai kita menggantungkan dedaun Unchas dan Elun pada pohon mawar di dalam Istana Sastera, ia akan mencemarkan nama Istana Sastera,” tegas Attacus ketika dia menghadap Raja Sastera di Istana Sastera Wilayah Kenyalang.

     “Usah risau, pengikut mereka ramai, tentu nama Istana Sastera kita akan naik,” jawab Raja Sastera sambil membelai-belai sayap birunya.

     “Kalau pengikut menjadi kayu ukur, lebih baik kita masukkan Kabinet Puisi ke dalam Istana Sastera,” ujar Attacus. “Kabinet Puisi pasti bersukacita menggantungkan dedaun andai beluncas mempunyai pengikut yang ramai.”

     Setiap kali nama Kabinet Puisi melintasi telinganya, dadanya bagaikan disimbah air yang panas menggelegak. Kabinet Puisi yang kononnya membawa suara-suara baru daripada beluncas dan rama-rama seperti sengaja melanggar hukum-hukum yang ditetapkan oleh Istana Sastera. Buktinya, bahasa-bahasa yang dicoret di atas daun dicampur aduk dengan bahasa penjajah. Apa kurangnya bahasa kita yang selama ini dijaga rapi oleh Istana Sastera? Oh! Kerana inginkan kemahsyuran maka segala hukum bahasa yang ditetapkan Istana Sastera perlu dilanggar? 

     Mengapa Unchas dan Elun tidak berguru dengan Pitpit untuk mencoretkan dedaun? Walaupun Pitpit meletakkan harga bagi setiap kata, mungkin dapat membantu coretan Unchas dan Elun mendapat tempat di Istana Sastera. Dengan moto, “Tulis Apa Sahaja”, pasti coretan Unchas dan Elun akan lebih tinggi falsafahnya. Benarkah begitu? Kebenarannya ada pada Pitpit sahaja!

     “Tidak akan saya biarkan beluncas-beluncas di Istana Wilayah Kenyalang bertemu Pitpit. Dia selicik ular,” tegas Brookania ketika Attacus menyampaikan cadangannya di dalam Seminar Penjaga Istana Sastera. “Apakah kamu tidak tahu Pitpit menerbitkan daun-daun daripada beluncas tanpa menyunting? Apakah kamu juga tidak tahu setiap daun yang dikirimkan oleh beluncas diminta bayaran?” Persoalan yang bertubi-tubi rama-rama mongel itu seperti titisan hujan menghentam sayapnya.

     Bagaikan dipanah petir, Attacus tersentak. Lamunannya yang berjela-jela seperti dipotong oleh parang ilang yang setajam Pisau Stiletto, pisau tertajam di dunia membelah apa sahaja yang menghalang laluannya. Di hadapannya adalah Brookania, rama-rama betina yang begitu anggun dengan sayapnya yang bercorak hijau terang seperti memancarkan cahaya lalu menghalau kegelapan. Dada Attacus seperti gong yang dipalu bertubi-tubi, degap jantungnya seperti bergema di dalam telinganya.

     “Bagi mereka peluang,” ujar Brookania dengan tegas.

     “Tapi, coretan mereka tiada keterujaan. Berpusing-pusing di dalam ruang lingkup yang sama. Malah, tiada perubahan. Seperti tidak mahu berubah.” Tingkah Attacus.

     “Sampai bila kamu akan menolak daun-daun dari mereka?” tanya Brookania. Pada kali ini, dia mengibas sayapnya dengan kuat sehingga daun-daun di atas meja Attacus berterbangan.

     “Sehingga mereka kenal akan rama-rama dan kupu-kupu!” Tegas Attacus mempertahankan keputusannya menolak coretan Unchas dan Elun.

     “Huh! Akan aku pastikan mereka menjadi rama-rama yang hebat tanpa masuk ke dalam Istana Sastera Tanah Besar,” Brookania memberengut.

     “Andai kamu memaksa mereka keluar dari kepompong walau belum cukup tempoh matang, mereka akan lebih hodoh daripada kupu-kupu,” ujar Attacus.

     Attacus menatap wajah Brookania. Mata Brookania digeledah sedalam-dalamnya sehingga ke bertemu dengan hatinya dan seperti menemui cinta kudus, Attacus menguntum senyum. Brookania mengerut keningnya. Dia yang seperti beluncas kepanasan, ditatap sebegitu tajam oleh Attacus cepat-cepat melontarkan pandangannya ke arah daun-daun yang menimbuni meja Attacus.

     Sedetik, Attacus berkata, “Kita akan tanam pokok Oxalis triangularis untuk menggantungkan coretan-coretan para beluncas, kupu-kupu atau rama-rama yang baru ingin mencoret.”

     “Idea yang bagus,” Brookania menyetujui kata-kata Attacus. “Tapi, kenapa memilih pokok yang daunnya seperti rama-rama?”

     Attacus tersenyum dan segera melebarkan sayapnya lalu terbang ke udara kemudian meluncur ke arah Brookania. Dia terbang mengelilingi Brookania yang terpinga-pinga. Hati Attacus berbunga-bunga seperti bunga mawar di dalam Istana Sastera Tanah Besar yang kembang mekar.

     “Soalan itu adalah jawapan kepada coretanmu di atas daun keladi,” ujar Attacus. Tawanya meletus di udara. Brookania tersipu-sipu.

Catatan editor: Benedict Samling ‘membalas’ cerpen “Kisah Sang Beluncas” karya Johari A. Julaihi yang tersiar dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera, akhbar Utusan Sarawak, 29 November 2023. Cerpen tersebut boleh diakses secara dalam talian melalui pautan: utusansarawak.com.my/?p=49089 

 
 
Advertisement