Anda di sini

Lelaki cederakan teman wanita didenda RM1,500

Advertisement
 

SIBU: Gara-gara mendatangkan kecederaan terhadap teman wanitanya, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Benny Tiang, 36, dijatuhi hukuman denda itu setelah mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan di hadapan Majistret Flavian Edward Henry.

Mengikut pertuduhan, Tiang didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap teman wanitanya yang berumur 46 tahun di sebuah bilik rumah tumpangan di Lorong Tun Ahmad Zaidi Adruce 39 pada 9 Januari 2024, kira-kira jam 10 pagi.

Untuk pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga satu tahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, Tiang bertindak menampar muka, kepala serta tangan mangsa menggunakan tangan kerana berpendapat teman wanitanya itu ada hubungan dengan lelaki lain.

Selain itu, tertuduh juga bertindak menendang kaki kanan dan kiri mangsa serta mencekiknya.

Tertuduh juga memarahi mangsa serta membaling telefon bimbit miliknya ke arah mangsa, di samping mengugut hendak membunuh ahli keluarga mangsa.

Akibat perbuatan tertuduh itu, mangsa mengalami sakit di bahagian muka, bibir, belakang kepala, kaki kanan dan kiri selain lebam di mata kanan dan bahu kanan.

Mangsa kemudian membuat laporan polis serta mendapatkan rawatan di Hospital Sibu.

Siasatan juga mendapati tertuduh dan mangsa telah menjalinkan hubungan sebagai kekasih sejak bulan November 2023 sehingga kini. 

Ketika hari kejadian, mangsa memberitahu tertuduh yang dia ingin memutuskan hubungan mereka, menyebabkan tertuduh menyangka mangsa ada hubungan dengan lelaki lain.

Ini menyebabkan tertuduh marah sebelum bertindak memukul dan mencekik mangsa, selain mengeluarkan kata-kata berbau ugutan. 

  • oleh
  • Advertisement