Anda di sini

Gaduh: Pemuda diperintah jalani bon berkelakuan baik 12 bulan 

Advertisement
 

KUCHING: Seorang pemuda diperintah menjalani bon berkelakuan baik selama 12 bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah bergaduh di tempat awam sehingga mengganggu ketenteraman orang ramai.

Hukuman dijatuhkan oleh Majistret Mason Jaro Lenya Barayan terhadap pemuda berusia 20 tahun itu setelah meneliti fakta, keterangan kes dan mendengar laporan sosial yang dikemukakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini.

Mason memerintahkan tertuduh yang tidak diwakili peguam berkenaan untuk diberi jaminan RM500 (tidak didepositkan) dengan ibunya sebagai penjamin. 

Terdahulu, tertuduh dan rakan tertuduh berusia 16 tahun iaitu pengadu bagi kes ini, masing-masing mengaku bersalah sebaik didakwa mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan.

Seksyen berkenaan membawa hukuman maksimum penjara enam bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. 

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan kes pengadu disebut semula pada 15 Februari 2024 untuk mendengar laporan akhlak dikemukakan oleh pihak JKM. 

Berdasarkan kertas pertuduhan, pengadu dan tertuduh didakwa secara bersama melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Kampung Matang, Jalan Matang Batu 10 di sini pada 20 Oktober 2023, sekitar jam 12.30 tengah hari. 

Mengikut keterangan kes, pengadu melaporkan bahawa ketika dia sedang menunggu tertuduh di hadapan rumah terbabit, tertuduh tiba-tiba datang dan bergurau dengan cara menendang kaki pengadu. 

Pengadu bagaimanapun berasa tidak berpuas hati dan menendang semula tertuduh secara kuat. Keadaan ini menyebabkan berlaku pergelutan antara kedua-dua individu terbabit. 

Beberapa rakan-rakan mereka yang menyaksikan kejadian tersebut turut cuba meleraikan pergelutan itu. 

Difahamkan, pengadu mengalami sedikit kecederaan di pergelangan tangan akibat pergelutan itu. 
Susulan itu, pengadu membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.

Hasil siasatan seterusnya mendapati pengadu dan tertuduh telah menimbulkan huru-hara di kawasan awam dan telah mendatangkan suasana tidak aman. 

Oleh itu, pengadu dan tertuduh kemudiannya masing-masing didakwa melakukan gaduh gempar di kawasan awam.

Pendakwaan dilakukan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Merylene Lindan Andrew Mang. 
 

Advertisement