Anda di sini

Dimensi Ekonomi Berwawasan dalam Hikayat Panglima Nikosa

Advertisement
 
 

Oleh: Sara Beden

Pengenalan

TENAS EFFENDY (2000) menyatakan bahawa pemimpin itu lazimnya, dalam masyarakat Timur, ialah orang yang dituakan. Orang yang dituakan ialah tokoh yang dipilih dan dilantik untuk memegang teraju pemerintahan atau menjadi pucuk pimpinan. Pemimpin dan kepimpinan itu pula adalah dua perkara yang sungguh berbeza. Pemimpin ialah orang yang diberi kedudukan sebagai ketua, manakala kepimpinan merujuk kepada pengaruh dan pengaruh ini tidak memerlukan kedudukan atau pangkat mahupun status. Sementara Kamus Dewan Edisi Keempat (2019) pula memerihalkan kepimpinan sebagai keupayaan memimpin. Kepimpinan ialah perkataan terbitan daripada kata dasar “pimpin” yang membawa erti bimbing, pandu atau tunjuk. Oleh itu, dapat disimpulkan bahawa kepimpinan membawa pengertian keupayaan atau kebolehan seseorang yang dilantik sebagai ketua untuk memandu dan memerintah golongan atau rakyat yang telah memilihnya dalam sesebuah organisasi sama ada besar atau kecil. Apabila diberi mandat untuk memerintah, maka pemimpin harus menunjukkan kewibawaan dan keabsahan kepimpinannya agar memberikan kesejahteraan dan keberkatan kepada seluruh umat. Pemimpin yang berkaliber ialah pemimpin yang mampu menaungi, memayungi, melindungi dan membela kepentingan serta kebajikan rakyat. Pemimpin sewajarnya memiliki pemikiran berwawasan agar berupaya merancang semua aspek pentadbiran dengan bijaksana.

     Secara rangkumannya, makalah ini membincangkan idea dan ciri wawasan seorang pemimpin dalam bidang ekonomi berdasarkan novel Hikayat Panglima Nikosa (HPN) dengan menggunakan Prinsip Kepimpinan dalam Pendekatan Pengurusan yang diketengahkan oleh Mohamad Mokhtar Abu Hassan (2013). Hikayat Panglima Nikosa dianggap novel Melayu terawal karangan Ahmad Shawal Abdul Hamid dan diterbitkan pada tahun 1876 atau lebih tepat dicetak batu (litografi) pada 30 Jun 1876 di Bukit Persinggahan, Kampung Boyan Kuching. Novel ini telah berusia 147 tahun pada tahun 2023.

Dimensi Ekonomi dalam Prinsip Kepimpinan

Mohamad Mokhtar Abu Hassan (2013) telah mengemukakan suatu pendekatan baharu dalam dunia kritikan sastera yang dikenali sebagai Pendekatan Pengurusan. Pendekatan Pengurusan dalam kritikan kesusasteraan berasaskan kepada ilmu pengurusan (Mohamad Mokhtar Abu Hasan, 2016). Harold Koontz dan Heinz Weihrich (1997) mentakrifkan pengurusan sebagai proses merancang dan memelihara persekitaran apabila individu bekerja bersama-sama dalam kumpulan, mencapai matlamat terpilih dengan berkesan. Pendekatan ini mengandungi lima prinsip, iaitu Prinsip Perancangan, Prinsip Kepimpinan, Prinsip Pengorganisasian, Prinsip Penstafan dan Prinsip Kawalan.

     Makalah ini dibataskan dengan menggunakan Prinsip Kepimpinan. Prinsip Kepimpinan ada empat dimensi, iaitu (i) Dimensi Pentadbiran, (ii) Dimensi Pendidikan, (iii) Dimensi Tanggungjawab Sosial dan (iv) Dimensi Ekonomi. Walau bagaimapun, makalah ini hanya mengaplikasikan Dimensi Ekonomi sebagai landasan perbincangan.

     Dimensi Ekonomi merujuk kepada sistem ekonomi yang dipraktiskan pemimpin dalam pentadbirannya bagi mensejahterakan bidang ekonomi. Dasar ekonomi sewajarnya dapat membantu meningkatkan pendapatan kerajaan melalui kutipan cukai daripada perniagaan yang mencatat keuntungan, meningkatkan kemudahan, pengangkutan dan perhubungan, mewujudkan peluang pekerjaan dan mengurangkan kadar kemiskinan rakyat. Pemimpin harus peka dengan situasi sosioekonomi rakyat agar mereka tidak berada dalam kemiskinan. Pemimpin yang bijaksana memiliki wawasan dalam perancangan ekonomi untuk membantu rakyat dengan memberdayakan tahap sumber dan tenaga yang sedia ada agar kehidupan rakyat lebih sejahtera.

     Analisis terhadap teks HPN ini memberikan fokus kepada aspek struktur teks seperti peristiwa dan watak yang bertindak menggerakkan plot dalam peristiwa yang berkaitan dengan idea-idea tentang wawasan ekonomi. Dalam HPN, idea tentang perancangan ekonomi amat signfikan dan diberi penekanan oleh pengarangnya, yang mencerminkan bahawa pengurusan dalam bidang ekonomi sudah wujud sejak zaman silam dalam persuratan Melayu.

Wawasan Ekonomi dalam HPN

Wawasan ekonomi dalam HPN memanifestasikan kepimpinan seseorang pemimpin berdasarkan watak utamanya, Panglima Nikosa, setelah berjaya mengalahkan musuh dan menjadi pentadbir di Jalanan Baharu. Dimensi ekonomi diperlihatkan menerusi ciri kepimpinan beliau sebagai perancang ekonomi berwawasan yang mengupayakan keberhasilan, sekali gus membebaskan rakyat daripada kemiskinan.

 

Dimensi Ekonomi dalam HPN ditelusuri berdasarkan dasar perancang ekonomi berwawasan menerusi watak Panglima Nikosa. Dasar ini dirincikan melalui tindakan dan strategi beliau dalam usaha membantu Pilina (dari Sungai Tuku) untuk mengatasi kemiskinannya. Perancang ekonomi berwawasan memanifestasikan tindakan seorang pemimpin dalam mengatur strategi ekonomi yang efisien dan realistik serta mengambil kira risiko pada masa depan sehingga membawa keberhasilan.

     Panglima Nikosa merancang strategi ekonomi yang harus dilaksanakan oleh Pilina jika hendak mentransformasikan tahap kehidupannya. Strategi dan kaedah yang dirancang oleh Panglima Nikosa adalah bersifat realistik dalam tempoh 12 tahun (12 anak tangga) bagi Pilina mencapai kemajuan. Strategi perancangan berwawasan Panglima Nikosa untuk membantu Pilina terdapat pada halaman 22 hingga 27 dan dirumuskan dalam rajah berikut:

 

Strategi perancangan berwawasan oleh Panglima Nikosa bertujuan untuk membantu menyelesaikan isu kemiskinan hidup Pilina suami isteri yang datang mengadu papa kedana. Panglima Nikosa meminta Pilina mencari pekerjaan untuk mendapatkan upah sebanyak dua puluh ringgit dengan syarat bukan meminjam dan berhutang. Pilina diminta untuk bekerja mendapatkan upah (makan gaji) atau menjual kayu api atau melakukan pekerjaan yang baik. Pilina diminta meneruskan usaha mendapatkan gaji (tidak berhenti) dan seterusnya menyimpan dua puluh ringgit gaji yang diperoleh setiap bulan sebagai tabung, iaitu tidak boleh dibelanjakan semuanya. Tersiratnya, Panglima Nikosa tidak mahu Pilina dibebani hutang yang memungkinkannya menjadi miskin semula sehingga tidak dapat mencapai keberhasilan dan mengubah tahap kehidupannya. Panglima Nikosa juga memintanya untuk berjimat cermat dan menabung.

     Seterusnya, Panglima Nikosa meminta Pilina mendapatkan tanah seratus depa persegi untuk menanam padi dengan keluasan 50 depa dan 50 pasuk padi di samping mencari ikan dan burung serta bertanam tanaman lain sementara padi masak seperti menanam buah-buahan (salak, pisang dan engkalak). Setelah padi dapat dituai, padi dimakan selain disimpan dan dijual sebagai persediaan pada tahun ketiga. Dalam konteks ini, ternyata Panglima Nikosa memperlihatkan ciri wawasannya dalam membimbing Pilina yang miskin untuk membangunkan ekonomi secara berterusan.

     Strategi seterusnya, Pilina diminta membeli sepasuk biji mulong dengan jualan sepasuk padi dan menanam 12 anak pokok mulong sahaja setelah disemai sebagai permulaan dan diulang pada tahun berikutnya. Panglima Nikosa meminta Pilina menanam 12 pokok mulong sahaja kerana beliau tidak mahu Pilina terbeban untuk menjaganya selain bermotifkan agar Pilina fokus menjaga 12 pokok tersebut. Walaupun jumlahnya banyak, jika tidak dijaga dengan baik, maka tidak akan menguntungkannya.

     Panglima Nikosa juga meminta Pilina menggunakan strategi penanaman padi secara berulang-ulang setiap tahun supaya sumber makanan dan rezeki Pilina tidak terputus dari setahun ke setahun. Begitu juga perihalnya dengan penanaman pokok mulong yang ditambah 12 pokok setiap tahun. Pada tahun ke-12 pokok mulong boleh ditebang dan dijual. Buah-buahan yang ditanam sekeliling rumah juga sudah menguntungkan dan memberikan pendapatan. Pilina boleh berehat kerana ada sumber pendapatan daripada pokok mulong dan buah-buahan. Halaman rumah juga cantik dengan pokok-pokok mulong (yang ditanam mengikut angka genap - 12 pokok setiap tahun) dan pokok buah-buahan sebagai perhiasan sekeliling rumah. Strategi perancangan ini memperlihatkan kejayaan sebagaimana dalam petikan berikut:

Arakian maka Pilina pun membuatlah bagaimana-bagaimana yang telah diajar oleh Panglima Nikosa itu. Maka belum sampai dua belas tahun adalah ia menyimpan wang serta dengan cukup barang-barangnya. Maka banyaklah orang-orang lain pula mengikut dengan yakinnya bagaimana perbuatan Pilina itu. Maka apabila hampir-hampir dua belas tahun Pilina pun memuatkan lemantaknya di dalam empat buah perahu dengan saratnya serta berlayar ke negeri Jalanan Baharu. Maka di situlah ia berjual lemantaknya. Maka ada juga ia naik ke balai tuan Panglima serta memberi salam kepadanya. Maka pakaian Pilina itu pun dengan sempurnanya dan tiada ia bemafas seperti susah atau meminta tolong dan jauh berlainan rupanya seperti merdeka benar serta menaruh hati. [halaman 29]

Keberkesanan daripada perancangan ekonomi berwawasan tersebut dipaparkan dalam petikan di atas yang memperlihatkan kemajuan ekonomi yang dikecapi Pilina suami isteri seperti berikut:

Pilina dapat menyimpan wang dan barangannya mencukupi.

Perancangan ini berjaya mempengaruhi orang lain untuk menggunakan strategi sama agar mengecapi kejayaan dalam bidang ekonomi setelah menyaksikan kejayaan Pilina hasil daripada strategi perancangan berwawasan Panglima Nikosa.

(iii) Pilina dapat menjana sumber pendapatan daripada jualan buah-buahan dan pada tahun ke-12, Pilina dapat menjual lemantak sebanyak empat buah perahu yang asalnya daripada modal berjumlah dua puluh ringgit.

(iv) Akhirnya, objektif perancangan ekonomi ini tercapai kerana Pilina merdeka daripada kemiskinan. Pilina telah berniaga lemantak (tepung daripada pokok mulong) ke negeri Jalanan Baharu.

     Kerelevanan Dimensi Ekonomi berdasarkan idea transformasi ekonomi Panglima Nikosa sebagai perancang ekonomi berwawasan memanifestasikan impak luar jangka berikut, iaitu berlakunya transformasi minda atau idea dalam bidang ekonomi bagi memperkasakan ekonomi masyarakat Melayu pada era tersebut. Permulaannya dengan mencari kerja dan mendapatkan upah, seterusnya berladang/berkebun dan akhirnya berniaga. Transformasi ini menepati slogan “Pertanian adalah Perniagaan”. Sekarang Sarawak juga memberikan penekanan terhadap slogan ini. Seterusnya, strategi perancangan ekonomi yang dipraktiskan adalah rasional, realistik dan futuristik serta membawa kemaslahatan pada era tersebut malahan relevan pada era kini. Tersiratnya, perancangan (strategi) harus dibuat dengan sebaik-baiknya dan berupaya dicapai.

     Idea tentang landskap menerusi strategi menanam pokok mulong dan pokok buah-buahan di sekeliling rumah sebagai hiasan merupakan idea yang ideal. Tindakan ini merupakan idea serampang dua mata, iaitu untuk menjana pendapatan dan mewujudkan keindahan. Jumlah genap 12 pokok mulong mengkomunikasikan idea yang sistematik yang mampu menggambarkan susunan landskap yang teratur. Kempen berjimat cermat dan amalan menabung untuk kesejahteraan hidup lebih-lebih lagi jika seseorang berada dalam kepompong kemiskinan juga relevan dengan arus zaman sekarang. Akhirnya, idea memperkasakan warisan tradisi nenek moyang, iaitu peribahasa “berjagung-jagung dahulu sementara padi masak”, amat signifikan bagi mengatasi masalah ekonomi demi meneruskan kelangsungan hidup. Penggunaan peribahasa ini memanifestasikan bahawa usaha harus dilakukan secara berterusan tanpa putus asa. Peribahasa ini memanifestasikan akal budi Melayu yang “tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas” kerana berupaya menginspirasikan sebuah kehidupan yang sejahtera.

Impak Wawasan Ekonomi dalam HPN

Wawasan kepimpinan Panglima Nikosa sebagai perancang ekonomi mengimplikasikan gaya kepimpinan dalam usaha seorang pemimpin menjadi pentadbir yang memakmurkan rakyatnya. Gaya kepimpinan merujuk kepada cara atau pendekatan yang digunakan oleh seorang pemimpin dalam mengarahkan, memotivasi, dan memimpin individu atau kumpulan untuk mencapai matlamat tertentu. Berdasarkan HPN, didapati beberapa gaya kepimpinan yang menyerlah dan diaplikasikan oleh watak Panglima Nikosa setelah dilantik menjadi ketua atau pemimpin di Jalanan Baharu. Gaya kepimpinan ini dikenal pasti berdasarkan buku Leadership Coaching (2010) terbitan London Philadelphia. Pertama, Gaya Transformasi atau Futuristik (Visionary Style). Pemimpin menambah baik kemahiran mereka dalam memimpin dengan menginspirasi pekerja atau individu lain untuk mencapai matlamat dalam bidang ekonomi. Berdasarkan HPN, Panglima Nikosa menginspirasikan Pilina yang miskin agar berfikiran jauh ke hadapan dalam melakukan sesuatu pekerjaan sehingga mencapai kemajuan. Idea transformasi menyebabkan masa hadapan Pilina semakin cerah. Kedua, Gaya Arahan (Directive Style), iaitu pemimpin memberikan arahan dan panduan yang jelas dan spesifik tentang tindakan dan cara melaksanakan strategi untuk memastikan kejayaan. Panglima Nikosa memberikan arahan yang jelas kepada Pilina tentang strategi untuk memugar kejayaan dalam bidang ekonomi. Panglima Nikosa merincikan langkah-langkah yang harus diambil oleh Pilina jika hendak berjaya mentransformasikan ekonomi. Ketiga, Gaya Bimbingan (Coaching Style), iaitu proses memberikan sokongan kepada individu agar berupaya mencapai matlamatnya selain membangunkan potensi mereka untuk mendepani cabaran. Panglima Nikosa memberikan sokongan dan bimbingan kepada Pilina yang masih muda dan bertenaga (berusia 25 tahun) untuk membangunkan potensinya dalam bidang ekonomi sehingga mencapai matlamatnya walaupun Pilina seolah-olah patah semangat pada awalnya. Panglima Nikosa menggunakan strategi empati, pujukan, nasihat dan bimbingan agar Pilina mudah menerima dan melaksanakannya. Keempat, Gaya Perancangan (Planning Style) yang merujuk kepada proses perancangan dalam membantu individu membangunkan strategi yang efektif bagi mencapai matlamatnya. Langkah menetapkan matlamat, mengenal pasti cabaran, memilih strategi, tindakan dan pelaksanaan serta pengukuran dan penilaian amat penting. Langkah-langkah ini diajar oleh Panglima Nikosa kepada Pilina untuk mencapai keberhasilan dalam tempoh 12 tahun. Setiap langkah yang dirancang oleh Panglima Nikosa memperlihatkan motif tersendiri agar perancangan tersebut berjaya menjadi realiti. Akhirnya, Pilina berjaya membebaskan dirinya daripada belenggu kemiskinan dan menjadi manusia yang pemurah.

Kesimpulan

Tenas Effendy (2000) menyifatkan bahawa pemimpin memiliki tanggungjawab untuk menjaga kebajikan sosial rakyatnya menerusi perumpamaan “Bagai kayu besar di tengah padang, rimbun daunnya tempat berteduh; Kuat dahannya tempat bergantung; Kukuh batangnya tempat bersandar; Besar akarnya tempat bersila”. Ungkapan tersebut mengkomunikasikan bahawa pemimpin umpama penyelamat apabila rakyat ditimpa musibah dan kesusahan. Gagasan dan ungkapan Tenas Effendy tersebut menepati ciri-ciri kepimpinan berwawasan dalam HPN menerusi watak Panglima Nikosa yang merancang pelan ekonomi untuk Pilina yang mengalami kemiskinan. Hikayat Panglima Nikosa mencerminkan sebuah naskhah yang memperlihatkan gaya kepimpinan berwawasan sebagai perancang ekonomi demi kesejahteraan rakyat. Buah tangan Ahmad Shawal yang lahir pada tahun 1876 memperlihatkan ketinggian daya intelektual dalam mentarbiyahkan nilai-nilai dan idea-idea kepimpinan yang realistik dan futuristik dalam memajukan ekonomi. Hikayat Panglima Nikosa juga memprojeksikan pemikiran kemasyarakatan dan sosioekonomi yang wajar diteladani dan relevan dengan masa kini. Tuntasnya, buah tangan Ahmad Shawal pada tahun 1876 ini memiliki inspirasi untuk membangunkan falsafah “Malay Power” agar orang Melayu bangkit berjuang demi kemajuan tamadun bangsa.

 
 
Advertisement