Anda di sini

Sekalung Hati Budi

Advertisement
 
 

Oleh: Tey Marzuki

MENGAH Stevilon menahan nafas dek berkejaran di koridor lantai pertama hospital, menuju ruang kecemasan. Derap langkahnya yang mencecah lantai senada dengan degup jantung yang kencang. Bertalun dalam pendengaran, biar sekelilingnya hingar dengan desiran mesin perakam segala gerak-geri hayat dan suara manusia yang saling bertingkahan. Langkahnya terhenti saat mata tertancap pada sepasang suami isteri dalam lingkungan usia lima puluhan menuani sebuah bangku di hujung koridor.

“Mak cik, pak cik.” Perlahan-lahan dia menderap mendekati.

“Stevilon.” Wanita itu menyahut dengan wajah penuh hiba, kemudian menyambut Stevilon dengan esak pilu.

“Apa kata doktor, mak cik?” Stevilon mendudukkan wanita tadi kembali ke bangku.

“Dia banyak kehilangan darah sebab kecederaan di kaki dan perut. Sekarang doktor sedang buat pembedahan kakinya yang patah dan perutnya yang tercedera.” Wanita itu teresak-esak memberikan jawapannya, sebelum menghamburkan raung tangis yang kuat. Suaminya datang menenangkan dan Stevilon tidak lagi melanjutkan pertanyaan. Dia tidak sanggup lagi hendak menambah hiba di hati seorang ibu yang sudah cukup pilu.

Dalam pada dia menanti di bangku, Stevilon mengeluarkan sesuatu dari saku seluar. Sebentuk kunci motosikalnya terletak kemas dalam genggaman tangan. Beberapa siri kenangan mula bergentayangan di layar memori, membawa kepada perkenalan pertama Stevilon dengan seorang remaja yang tidak lama kemudian menjalin tali persahabatan dengannya.

                                                                                             *******

“Aduh, kenapa tak boleh hidup pula motosikal ni?”

Stevilon menggerutu sambil kakinya menekan-nekan starter kaki motosikal Honda C70. Meski sudah beberapa kali dia mencuba, namun motosikal tua kepunyaan datuknya tetap juga tidak dapat dihidupkan. Stevilon berhenti seketika. Dia mengesat peluh yang bertitik di dahi dengan sapu tangan sambil mata mengerling jam di tangan. Dia berdecit kecil. Waktunya sudah semakin suntuk. Sekali lagi Stevilon mencuba menekan starter kaki, seraya mengharapkan keajaiban agar motosikalnya hidup dan dia dapat meneruskan kerja yang sudah tertunggak hampir 15 minit lamanya. Semakin lama dia di situ, semakin lama juga masa terbuang.

“Motor, okey ke?”

Stevilon spontan menoleh ke arah suara yang datang menyapa. Seorang remaja lelaki datang menghampiri. Dari kemeja-T berwarna merah jambu yang tersarung di tubuh, jelas dia juga bernaung di bawah syarikat penghantaran makanan yang sama.

“Tak tahu kenapa sejak tadi motor ni tak boleh hidup.” Stevilon menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Buntu mengenangkan motosikalnya yang tidak dapat dihidupkan sejak tadi.

Remaja tadi mengangguk-angguk. Dia mendekat lalu bertinggung mengadap bahagian depan motor. Tangannya diseluk ke dalam badan motosikal sambil dia meraba-raba sesuatu. Tidak lama kemudian sebuah plug dikeluarkan dari bahagian depan motor tersebut. “Rasanya plug motor kau ni dah rosak. Perlu diganti baharu.”

“Dekat mana bengkel yang terdekat?” Stevilon mengaju tanya seraya dia sendiri tertoleh-toleh di sekeliling, mencari kalau-kalau kelihatan bengkel di sekitar keberadaannya saat itu.

“Kalau dekat kawasan sini, paling dekat pun di Medan Jaya.” Remaja itu menjawab.

“Alamak, jauh tu.” Sekali lagi Stevilon menggaru-garu kepala sendiri. Situasi yang dihadapi semakin meresahkan jiwa. Sudahlah dia perlu menghantar pesanan makanan pelanggan dengan segera, motosikalnya pula meragam.

“Kalau macam tu, kau pakailah motor aku dulu. Motor kau ni biar aku yang bawa ke bengkel.” Remaja tadi menawarkan diri untuk membantu.

Bagaikan orang mengantuk disorongkan bantal, namun Stevilon tetap berasa tidak sedap hati. Remaja itu bukanlah seseorang yang dia kenali. Melihat motosikal berjenama mahal yang dipakainya, dia dapat mengagak bahawa remaja tersebut bukanlah orang sebarangan sepertinya. Pasti daripada keluarga yang senang. Sedangkan dia sudah dididik oleh datuk agar tidak meminjam barang orang dengan sesuka hati. Lebih-lebih lagi jika barang itu barang yang mahal harganya.

“Jangan risau. Motor kau ni, nanti aku dan kawan-kawan aku bawakan ke bengkel. Lagipun kau perlu hantar pesanan tu secepatnya, kan?” Remaja tadi menjuihkan mulut ke arah plastik di dalam bakul motosikal milik Stevilon yang mengandungi pesanan makanan daripada pelanggan yang harus dihantar dengan segera.

Stevilon tidak lagi dapat menolak. Masa juga sudah semakin suntuk dan dia perlu segera. Setelah mengambil bungkusan pesanan pelanggan dan bertukar nombor telefon dengan remaja yang membantunya itu, Stevilon menghidupkan motosikal mahal yang dipinjamkan lalu lekas-lekas berlalu menghantar makanan.

                                                                                           *******

“Motor kau dah siap. Spark plug dah diganti. Kata mekanik tadi, minyak hitam motor kau perlu ditukar juga. Macam lama betul dah tak ditukar. Jadi, aku suruh mekanik tukarkan sekali.” Kunci bertukar tangan.

“Terima kasih sebab tolong aku. Lega rasanya motor dah boleh hidup. Asai ka dibuai empeleman.” Stevilon mengurut dada kelegaan setelah melihat motosikal datuknya itu sudah siap dibaiki.

“Ha? Apa kau kata tadi?” Si remaja mengerutkan dahi selajur mengerdip-ngerdipkan mata. Tidak memahami butir-butir kata Stevilon baru tadi.

Stevilon tertawa kecil. “Asai ka dibuai empeleman. Rasa seperti dah dibuang debu dari mata. Lega rasanya.”

“Peribahasa bahasa Iban?”

Stevilon mengangguk, bangga. “Betul. Oh, ya? Berapa jumlah bayaran tukar spark plug dan minyak hitam tadi?” Stevilon mengeluarkan dompet dari saku belakang seluar.

“Tak payahlah. Tak mahal pun.” Si remaja tadi menolak bayaran Stevilon.

“Eh, jangan macam tu.” Stevilon mengeluarkan beberapa keping not RM10.00 dan menghulurkannya kepada remaja itu. Pun begitu, huluran wangnya tetap ditolak.

“Aku ikhlas nak tolong. Lagipun, kita sama-sama teman sekerja. Siapa lagi yang nak tolong kalau bukan sesama kita.” Si remaja tersenyum sambil mengunjukkan logo syarikat khidmat penghantaran pesanan makanan dan minuman yang mereka sama-sama bernaung.

Stevilon berasa terharu. “Kalau macam tu, kalau ada apa-apa hal nanti, kau mesti benarkan aku tolong kau juga. Anchur tubuh diperaka urat, budi manah meruan dikeingat.”

“Ah! Mesti maksudnya sama dengan peribahasa hancur tubuh dikandung tanah, budi baik dikenang jua?” Si remaja tadi meneka dengan matanya yang bersinar-sinar.

“Betul!” Stevilon mengetik jari, mengeyakan jawapan si remaja itu.

Mereka berdua kemudian sama-sama tertawa.

“Siapa nama kau?”

“Panggil aje Budi.”

                                                                                            *******

“Bagaimana keadaan anak saya, doktor?” Si ayah segera menghampiri doktor, tidak sabar hendak mengetahui perkhabaran anak lelakinya.

“Luka pada bahagian perutnya sudah siap dijahit dan bahagian kakinya yang patah juga sudah dibalut dengan sokongan sementara. Dia perlukan satu lagi pembedahan untuk dimasukkan besi ke dalam kaki kerana tulang di bahagian betisnya patah teruk akibat hentakan yang kuat. Buat masa sekarang, keadaannya masih belum stabil sepenuhnya. Kami akan tempatkan anak encik di unit rawatan rapi.”

Luluh rasa di hati saat mendengar jawapan daripada doktor. Beberapa orang jururawat keluar dari bilik bedah tidak lama kemudian, menyorong katil berserta mesin oksigen dan pemantau hayat.

“Budi …” Suara si ibu begitu pilu tatkala melihat anak lelakinya terbaring tidak sedarkan diri di atas katil, dalam keadaan yang cukup menyayat hati.

Stevilon hanya mampu memandang, melihat sekujur tubuh kaku Budi disorong para jururawat menuju ke bilik rawatan rapi. Sedangkan dia seorang sahabat saja sudah terasa sesak di dalam dada melihat keadaan Budi. Apatah lagi ibu dan bapa temannya itu yang menghidupkannya sejak kecil lagi. “Semoga Tuhan melindungi kau, Budi.”

                                                                                      *******

“Aku bercita-cita hendak menyambung pelajaran sehingga ke peringkat PhD. Aku nak jadi seorang profesor yang kelak akan membawa bahasa Iban sehingga ke mata dunia.”

Budi berkerdip-kerdip mata. Hirupan minuman ringannya terhenti. “Wah! Bukan main-main tinggi cita-cita kau ni.”

“Eh, mestilah! Datuk aku selalu berpesan, kalau hendak bercita-cita biar tinggi sampai ke bulan.” Stevilon tersengih-sengih.

“Patutlah kau bekerja keras. Sampai tengah malam pun kau masih ambil pesanan customer.” Budi mengangguk-angguk kekaguman.

“Aku orang susah, Budi. Di samping mengejar cita-cita, aku juga perlu menyara adik-adik dan datuk aku. Akulah tulang belakang mereka semua dan aku perlu bekerja keras untuk mereka. Cita-cita aku itu pun, untuk adik-adik aku juga. Supaya mereka kelak senang di kemudian hari. Besai periuk, besai ga kerak. Besai beliung, besai ga abak.”

“Ha, itu apa pula maksudnya?”

“Besar periuk, besar keraknya. Besar lesung, besar juga dedaknya. Besar cita-cita, besar jugalah usaha yang diperlukan untuk kau kejar impian kau. Adat dalam kehidupan, kalau kita berkehendakkan sesuatu, kita perlu berusaha dengan sebaik-baiknya untuk mencapai apa yang kita mahu. Bukan dengan cuma menunggu. Yang bulat tak datang bergolek …”

“Yang pipih tak datang melayang!” Budi terus mencelah, menyambung peribahasa yang disampaikan oleh Stevilon.

Mereka berdua kemudian sama-sama berdekah, sambil Stevilon menumbuk gurau bahu temannya.

“Aku kagum dengan kesungguhan kau, Stevilon. Aku ni, selalu juga dibebel oleh mak dan ayah aku. Kata mereka, tak pernah fikir tentang masa depan. Aku jadi penghantar makanan ini pun sebab mak dan ayah aku dah tak mahu menanggung perbelanjaan aku. Kata mereka, aku dah besar panjang. Kalau nak duit belanja, mesti usahakan sendiri. Aku malu dengan kau. Ada cita-cita yang besar dan berusaha keras untuk mencapainya. Sedangkan aku yang dibesarkan dalam keluarga yang senang tak pernah terfikir nak ada cita-cita macam kau.”

“Tak apalah, Budi. Kau masih belum terlambat untuk mencari hala tuju hidup.” Stevilon cuba menjentik semangat ke hati Budi.

“Entahlah. Keputusan SPM aku pun cukup-cukup makan. Hendak sambung ke peringkat universiti memang tak akan diterima.” Budi melepaskan nafas halus.

“Ada banyak lagi cabang-cabang lain yang boleh kau cuba, terutamanya dalam bidang kemahiran.”

“Apa contohnya?” Budi tergaru-garu kepala sendiri.

“Eh, banyak! Ada kemahiran elektrik dan elektronik, aeroangkasa, bangunan dan binaan, perniagaan, kulinari dan seperti pekerjaan ayah kau, sektor pembuatan asas petroleum dan gas asli. Kau tak pernah tanya ayah kau tentang peluang pekerjaan dalam bidang kemahiran sektor petroleum dan gas asli ke?” Ayah Budi bekerja sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat petroleum dan gas asli gergasi Malaysia. Pastinya dia lebih mengetahui selok-belok dalam industri itu.

Sekali lagi Budi menggaru-garu kepala sendiri seraya menggeleng dengan sengihan.

“Hish, kau ni! Anang jadi manuk mati keberuran di tibang padi!” Stevilon membesarkan mata.

“Jangan jadi ayam yang kebuluran di kepuk padi? Apa maksudnya tu?” Budi panasaran sendiri.

“Maksudnya jangan menjemput miskin dalam kehidupan yang kaya. Jangan jadi pemalas, pokok pangkalnya. Mesti selalu proaktif!”

“Yalah, yalah. Balik nanti aku cuba bertanya dengan ayah aku tentang peluang pekerjaan dalam bidang petroleum dan gas. Aku pasti, ayah aku akan terkejut kalau aku bertanya nanti. Tak pernah-pernah aku tunjukkan minat dalam bidang pekerjaan dia selama ni.”

“Tak apa, kau bertanya tu satu langkah permulaan. Manalah tahu selepas ni, kau dah mengorak langkah ke arah seorang pakar dalam bidang petroleum dan gas.”

“Betul kata kau. Manalah tahu masin mulut kau nanti, kan?” Budi melebarkan sengihan, sudah tenggelam dalam angan-angan.

“Ha, buktikan! Bak kata peribahasa Iban, anang guai manjung di pala wung. Jangan diuar-uarkan dulu kejayaan sebelum dibuktikan dengan kemampuan.” Stevilon pula membakar dengan cabaran.

“Aku sahut cabaran tu. Nanti kita sama-sama usaha ke arah cita-cita kita. Satu hari nanti, aku akan jadi pakar dalam syarikat petroleum dan kau jadi profesor bahasa Iban yang terkenal di dunia.”

“Janji?” Stevilon menghulurkan tangan.

Budi senyum menyambutnya. Menyalam erat, mengikat sebuah perjanjian antara dua teman. “Janji!”

                                                                                                  *******

“Apa ni?” Stevilon terkebil-kebil menerima sebuah bungkusan daripada Budi.

“Bukalah dan tengok.” Budi tersengih-sengih selajur menghirup teh tarik ais.

Panasaran, Stevilon membuka bungkusan kecil yang dihulurkan oleh Budi kepadanya. Dahi Stevilon berkerut seribu. Dia beralih pandang ke arah Budi yang tersenyum-senyum menanti reaksi daripadanya. “Kunci apa pula ni?”

“Ish, takkanlah bakal graduan PhD. tak pandai baca apa yang tertulis pada kunci tu?”

“Yamaha? Takkanlah …”

“Betul, kunci motosikal. Motosikal baharu kau.”

Stevilon membesarkan mata. Kunci motosikal di tangan langsung diletakkannya semula ke atas meja. “Eh, mana kau dapat duit banyak-banyak beli motosikal baharu?”

“Aku curi dan gadai emas mak aku.” Budi bersimpul senyum menyembunyikan tawa.

“Kau jangan main-main. Antu berumah ba baruh dagu! Kau cakap macam tu, nanti jadi betul-betul baru kau tahu!” Tajam renungan Stevilon kepada Budi.

Budi berdekah-dekah ketawa. Tidak lagi tertahan menahan geli hati melihat reaksi temannya itu. Lebih-lebih lagi apabila wajah Stevilon menjadi pucat-pasi. “Aku bergurau. Motosikal tu, motosikal pak cik aku. Dia akan berpindah ke Dubai minggu depan, selepas dapat peluang pekerjaan yang bagus di sana. Dia bercadang nak jual motosikal ni memandangkan dia akan bermastautin lama di Dubai. Aku ada berbincang dengan ayah aku, untuk beli saja motosikal pak cik aku tu dan hadiahkan kepada kau. Kau pun perlukan motosikal baharu. Motosikal datuk kau dah usang benar. Bila aku katakan pada ayah niat aku tu, ayah aku langsung bersetuju. Malahan, pak cik aku berikan secara percuma saja kepada kau apabila aku ceritakan kepada dia tentang kau.”

“Kau biar betul, Budi. Pak cik kau berikan secara percuma aje?”

“Eh, betullah! Kalau kau tak percaya, aku telefon pak cik aku sekarang.” Budi sengaja mengeluarkan telefon bimbit dari saku.

“Yalah! Yalah! Aku percaya. Tapi … besar sangat hadiah ni. Aku tak boleh terima macam tu saja.” Stevilon teragak-agak untuk terus menerima.

“Ambillah, Stevilon. Kau anggaplah ini sedekah yang kelak akan menjadi asbab kepada aku, ayah aku dan pak cik aku untuk mendapat pahala. Dengan memudahkan urusan kau mencari rezeki untuk menyambung pelajaran, mudah jugalah urusan aku, ayah aku dan pak cik aku. Betul tak?”

Stevilon masih merenung kunci di atas meja. Hatinya bercampur-campur.

“Mara jangan dipukat, rezeki jangan ditolak, kawan.” Budi menjeling Stevilon yang tetap ragu-ragu menerima pemberiannya.

“Pandai pula kau berperibahasa, ya?”

“Sejak berkawan dengan kau, peti peribahasa dalam kepala aku ni selalu penuh.” Budi membalas dengan sengihan.

“Terima kasih, Budi. Aku tak tahu macam mana nak balas jasa kau.” Stevilon menahan genangan di mata. Dia berasa sangat terharu. Benar-benar terharu.

“Simpan bila kau dah berjaya nanti. Aku tuntut bila kau dah jadi profesor bahasa.” Budi melebarkan senyuman.

Stevilon dan Budi sama-sama tertawa.

                                                                                                  *******

Air mata yang sebelumnya bergenangan kini tertumpah. Stevilon tidak mampu menahan sayu mengenangkan momen-momen persahabatannya bersama-sama Budi. Sahabatnya itu telah menghembuskan nafas terakhir setelah lama bertarung dengan kecederaan parah yang dialaminya, asbab kemalangan jalan raya ketika menjalankan pekerjaan. Stevilon berjeda lama di pusara sahabatnya. Mengingati kata-kata janji dia dan Budi.

“Aku akan bawa cita-cita kita, Budi. Aku akan merealisasikannya untuk kita berdua. Aku berjanji.”

 
 
Advertisement