Anda di sini

UMS ambil maklum isu pencemaran tangki air di salah sebuah kolej kediaman

Advertisement
 Suasana di sekitar KKTPAR.
PERMAI: Suasana di sekitar KKTPAR.

KOTA KINABALU: Pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) mengambil maklum berkenaan isu berkaitan pencemaran tangki air di salah satu kolej kediaman pelajar di kampus UMS melalui satu klip video yang dimuat naik di media sosial baru-baru ini.

Pusat Komunikasi Korporat dalam satu kenyataan berkata pihak pengurusan UMS melalui Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan (JPP) menjalankan siasatan terhadap kesahihan dakwaan seperti yang dinyatakan dalam video terbabit.

“Pihak JPP mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku membabitkan salah satu tangki air di Kolej Kediaman Tun Pengiran Ahmad Raffae (KKTPAR) UMS.

“Tangki yang terjejas bagaimanapun tangki dari sumber air melalui sistem telaga tiub (tubewell) dan tidak menjejaskan sumber air yang disalurkan dari Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) yang menjadi sumber utama kegunaan harian pelajar,” katanya.

Menurutnya, susulan kejadian ini, JPP sudah mengarahkan kontraktor penyelenggaraan untuk mengosongkan tangki terjejas.

“Pihak JPP juga mengarahkan kontraktor penyelenggaraan agar sentiasa memantau setiap fasiliti bangunan di UMS bagi mengelakkan sebarang risiko keselamatan dan kesihatan khususnya kepada pelajar UMS.

“Pihak pengurusan UMS juga akan terus memantau perkembangan pelajar di KKTPAR bagi memastikan kesihatan pelajar tidak terjejas dan tidak mengganggu pembelajaran serta kehidupan seharian pelajar sepanjang berada di kolej kediaman ini,” katanya.

  • oleh
  • Advertisement