Anda di sini

Miliki wang secara tidak sah, wanita warga emas didenda RM500

Advertisement
 

MIRI: Seorang wanita warga emas didenda RM500 atau seminggu penjara oleh Mahkamah Majistret, hari ini kerana kesalahan memiliki sejumlah wang yang diperolehi secara tidak sah.

Hukuman itu dijatuhkan Majistret Nazira Adlin Ahmad Khairul Razi setelah Hamidah Daud, 64, dari Taman Merbok, Melaka mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadapnya mengikut Seksyen 37 (1) Ordinan Kesalahan-Kesalahan Kecil 1958 (Sarawak).

Mengikut kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM500, jika sabit kesalahan.

Menurut keterangan kes, tertuduh didapati telah memiliki wang berjumlah RM350 di dalam akaunnya yang diperolehi secara tidak sah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada jam 6.45 petang, 29 Ogos 2015 di sebuah bank di Pusat Komersial Boulevard di sini.

Di hadapan mahkamah, tertuduh merayu agar hukuman ke atasnya diringankan memandangkan ini adalah kesalahan pertamanya dan hendak pulang terus ke Melaka hari ini.

Pendakwaan dilakukan Inspektor Mudzilawati Abdul Rahman, manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

  • oleh
  • Advertisement