Anda di sini

Krik Krik Klik

Advertisement
 
 

Oleh: Intan Zubaidah

MAKMAL komputer yang dingin ini menjadi tempat tersunyi untuk Jesslyn. Ruangan yang dilengkapi oleh 15 buah komputer dengan perisian terbaharu itu, lebih sering sepi daripada dimeriahkan oleh kehadiran manusia.

     Ibarat sebuah komputer riba dengan tiga port USB tetapi yang digunakan cuma satu lubang, iaitu untuk menyambung pemacu USB yang dipasang sekejap dan akan dicabut semula. Lubang-lubang lain terus berdebu. Dipakai cuma sekali-sekala hingga rosak kerana berkarat, bukan kerana menjalankan fungsi.

     Wajah pensyarah Program Kemahiran Komputer itu mengarang surat tampak tekun. Banyak perancangan untuk menghidupkan fungsi tempat ini sudah disusunnya. Bermacam-macam kursus jangka pendek dijadualkan hingga ke hujung tahun. Setiap satunya pasti akan mewujudkan keterujaan kepada mereka yang menganggap ilmu sebagai harta karun.

     Makmal yang selama ini cuma digunakan untuk menjalankan kelas asas penggunaan komputer untuk para pelatih pusat latihan itu, harus diperluas fungsinya. Jadual kelas yang tidak padat, dia mahu penuhi dengan lebih banyak pelaksanaan kursus jangka pendek buat masyarakat luar.

     Sejujurnya, niatnya itu diraguinya sendiri. Mana tidak ragu, mereka yang sudah sedia ada di dalam sahaja sering bermalas-malasan. Jadi, respons baik seperti apa yang boleh dia harapkan daripada orang di luar sana?

     “Soalan tu boleh dijawab dengan formula. Kenapa nak pening-pening lagi?” marah Jesslyn, garang.

     Sepuluh orang pelatih yang berusia 18 hingga 20 tahun itu terdiam. Markah kuiz Microsoft Excel mereka sangat rendah. Mungkin kerana kerja kira-kira adalah musuh kebanyakan anak muda. Mereka menjadi tidak berminat untuk benar-benar mendalami kegunaan aplikasi ini.

     “Saya bagi masa selama dua jam tapi kamu semua cuma buat dalam masa satu jam. Berkali-kali saya suruh kamu semak dulu tapi kamu tunjuk muka yakin setinggi langit dan inilah hasilnya!” bebel Jesslyn sedikit emosi.

     Suasana tegang dalam kelas petang itu diisi dengan kerja pembetulan. Jesslyn cukup pantang dengan sikap sambalewa dalam menimba ilmu. Dia percaya hanya usaha yang dapat memajukan seseorang. Kesungguhan ialah kunci kejayaan.

     “Seronok layan YouTube! Pembetulan dah siap?” jerkah Jesslyn dari belakang salah seorang pelatihnya.

     “Dah siap,” sahut pelatih lelaki itu, selamba.

     “Lain kali, belajar betul-betul supaya markah tak teruk lagi. Jikalau markah kamu tak ada peningkatan, macam mana nak lulus?” pesan Jesslyn, tegas.

     “Tak apa, Encik Hamizan cakap nanti dia akan tolong atur markah saya. Subjek ni subjek tambahan saja. Yang penting saya lulus subjek Encik Hamizan,” kata pelatih itu, perlahan.

     Suara pelatih itu memang kecil tetapi tetap sampai ke telinga Jesslyn. Istilah subjek tambahan yang digunakan tidaklah salah. Hanya saja terkesan, tidak perlu diutamakan. Tidakkah subjek teras atau subjek tambahan itu masih sama-sama bidang ilmu?

     Mata Jesslyn tertumpu pada layar komputer pelatih itu. Dia tersenyum sinis. Video kartun yang sedang ditonton oleh pelatih itu agak menjengkelkan. Grafiknya tidaklah kabur atau pecah tetapi tidak begitu memuaskan.

     “Kartun ni dah dibuat dalam bentuk tiga dimensi dengan definisi tinggi. Tak geram ke tengok video guna resolusi standard?” tanya Jesslyn, ingin tahu.

     “Boleh tukar ke?” jawab pelatih itu dengan soalan.

     “Kamu klik pada ikon skru ni, klik kualiti, pilih higher picture quality. Sambungan Internet kat sini lancar. Jadi, kamu boleh guna resolusi HD atau HD penuh tanpa masalah …,” ajar Jesslyn seraya pelatih itu menggerakkan tetikus.

     “Wah, ini baru lawa!” puji pelatih itu bernada takjub.

     “Kamu tahu, sebuah komputer riba tu dulunya hanya dibekalkan dengan 2GB RAM sahaja? Seiring perkembangan teknologi, kapasiti RAM pun semakin besar. Ada yang 4GB, 8GB, 12GB sampai yang paling besar, 128GB. Semakin besar kapasiti memorinya semakin lancar pergerakan kita dalam komputer tu. Buka banyak-banyak aplikasi serentak pun tak jadi masalah …,” beritahu Jesslyn, berkias.

     Pelatih berambut ikal itu terpinga-pinga. Seingatnya RAM ialah singkatan untuk Random Access Memory. Fungsi utama RAM adalah untuk menyimpan fail-fail di dalam komputer. Ia juga boleh dianggap sebagai penyokong pemproses yang membantu sistem operasi dengan mengurangkan jangka masa untuk sesuatu maklumat itu sampai ke pemproses. Lalu apa kena-mengenanya dengan resolusi video?

     “Kamu bayangkan kapasiti RAM tu macam banyaknya ilmu kamu. Semakin banyak kamu menggali ilmu maka semakin lancar kamu menjalani hidup. Pergi ke laut, kamu tahu berenang. Pergi ke hutan, kamu tahu memburu. Pergi ke gunung, kamu tahu mendaki. Jikalau kamu tak ada ilmunya macam mana? Pergi ke pasar pun boleh sesat …,” jelas Jesslyn, berjela-jela.

     Di pusat latihan kemahiran ini, para pelatih daripada semua jurusan diwajibkan untuk mengambil subjek Kemahiran Komputer. Tujuannya agar para pelatih mampu menguasai sekurang-kurangnya asas penggunaan komputer.

     Para pelatih dari mana-mana jurusan pun boleh memanfaatkannya. Mereka dapat menggunakan Microsoft Excel untuk rekod kewangan. Pengenalan produk atau perkhidmatan dapat mereka ceritakan dengan menggunakan kreativiti di Microsoft PowerPoint. Urusan surat-menyurat pula mudah diselesaikan menggunakan Microsoft Word.

     Sekiranya mereka mahukan pemasaran yang lebih luas, asas menyunting poster dengan aplikasi Canva, menyunting video melalui Windows Movie Maker serta cara menyiarkan iklan di platform perniagaan dalam talian juga boleh dibuat dengan menguasai aplikasi dan kemahiran pelayaran Internet. Senang cerita, kemahiran asas yang diperlukan sebenarnya sudah dibekalkan.

     Kata-kata pelatih daripada Kursus Pemesinan Kayu itu masih terngiang-ngiang hingga sekarang. Hati Jesslyn ingin mengubah cara fikir seperti itu. Cukuplah sudah dianggap remeh. Sayang jika dunia yang luas ini dipandang dengan fikiran yang sempit.

     Surat jemputan untuk Kelab Komputer sekolah-sekolah sekitar, dia rangka penuh teliti. Cuti sekolah yang akan tiba sebulan dari sekarang boleh dimanfaatkan untuk menganjurkan kursus asas kemahiran komputer jangka pendek di sini. Fokus utamanya adalah kepada pelajar-pelajar yang kurang pendedahan dengan penggunaan komputer. Tidak semua ibu bapa mampu untuk menyediakan peranti seperti komputer riba untuk anak-anak. Jadi, Jesslyn ingin menjadikan makmal komputer di pusat latihan ini sebagai ruang eksplorasi untuk mereka.

     “Budak-budak zaman sekarang, tak payah diajar pun semua dah pandai. Anak-anak zaman mileniumlah katakan,” komen Hamizan semasa mendengar pembentangan Jesslyn pada mesyuarat bulan lalu.

     Jesslyn tidak punya hujah balas tapi hatinya tetap terkilan. Benarkah semua orang sudah sebegitu hebatnya menguasai teknologi? Sejauh manakah anak-anak yang dimaksudkan itu menggunakan literasi teknologi mereka?

     Yang pasti dan yang sudah umum terlihat, anak-anak zaman sekarang semuanya berkawan baik dengan gajet. Mengisi masa dengan bermain permainan mudah alih atau melayari media sosial ialah hobi mereka.

     Mereka begitu bangga mempamerkan gajet jenama terbaharu dan tercanggih yang dimiliki mereka. Saling mengejar ranking tertinggi dan tahap terhebat dalam permainan mudah alih. Berlumba-lumba untuk memperoleh seberapa ramai pengikut di media sosial. Melakukan apa-apa jua yang sedang tular.

     Pun begitu, teknologi bukanlah terbatas kepada media sosial semata-mata. Cakupan dunia teknologi itu terlalu luas untuk hanya dimampatkan dalam kemahiran menaik taraf aplikasi di telefon pintar.

     Sayangnya, dia terperangkap di sini. Suatu ruangan yang sepatutnya membuka mata manusia untuk melihat dunia yang sangat luas. Namun seolah-olah menjadi pulau kecil yang tidak ada pun tidak merugikan sesiapa.

     “Mana tak budak-budak sekarang celik teknologi semua. Apa-apa yang tak tahu, tinggal cari di Internet. Nak belajar apa-apa, boleh tengok video tutorial. Dunia di hujung jari …,” ulas Hamizan terdengar bijak.

     Jesslyn memasang tampang keliru. Pujian pensyarah Program Pertukangan Kayu itu terdengar seperti sebuah penolakan akan ideanya. Seandainya benar begitu, bukankah ia akan memakan dirinya sendiri. Dia juga tenaga pengajar. Jikalau semua orang hanya perlu bergantung kepada teknologi untuk belajar, untuk apa lagi wujud profesi tenaga pengajar di dunia ini?

     Tidak Jesslyn nafikan yang perkongsian di Internet memang banyak membantu. Dia sendiri pun merujuk banyak sumber di laman sosial untuk menyelesaikan pelbagai urusan. Daripada kemahiran harian seperti cara memasak suatu juadah hingga kemahiran teknologi seperti menyelesaikan masalah peranti digital.

     Soalnya sekarang, dengan semua kemudahan yang ada, apakah fungsi seorang pembimbing itu hilang? Mampukah murid-murid sekolah menyelesaikan kerja sekolah mereka dengan hanya melayari Internet? Sebelum mereka benar-benar tahu meneruskan hidup dengan terus bergantung semuanya pada perkembangan teknologi, tidakkah mereka perlu mendapatkan bimbingan daripada seorang tenaga pengajar terlebih dahulu?

     Soalan-soalan itu terus bermain di kepala. Entah untuk memastikan ilmu benar-benar sampai kepada anak-anak muda atau sebenarnya dia hanya mempersoalkan kehadiran dirinya sendiri di sini. Mungkin esok atau lusa, fungsinya sebagai tenaga pengajar akan benar-benar terkubur oleh perkembangan teknologi yang dia ajarkan sendiri.

     Dia sedikit berdeham. Setiap ayat yang ditulis di dalam surat jemputan itu, Jesslyn susun baik-baik. Dia mahu objektif kursus dapat difahami dengan jelas oleh pihak pengurusan sekolah. Dia bahkan sudah bersedia dengan modul pengajaran khas untuk para pesertanya itu nanti.

     Setelah menyemak surat jemputan itu berulang-ulang kali, Jesslyn menghantar surat itu kepada pihak pentadbiran melalui aplikasi WhatsApp untuk diproses. Selang beberapa jam kemudian, surat itu dikembalikan untuk disemak semula.

     Bibir Jesslyn yang diwarnai dengan gincu merah jambu, mengukir senyum tipis. Surat yang dikembalikan sudah lengkap dengan kepala surat dan tandatangan digital pengarah pusat latihan. Sungguh, perkembangan teknologi mampu mempercepat semua urusan.

     Masalah menunggu pengarah ada di pejabat untuk mendapatkan tandatangannya, tidak memberatkan lagi. Biar di mana-mana pun pengarah berada, dia dapat menurunkan tandatangannya secara digital dengan lebih mudah. Masa dan tenaga boleh dijimatkan.

     “Hari ini boleh digitalkan tandatangan. Mungkin atau tak suatu hari nanti, tuan pengarah tu yang didigitalkan?” soal Jesslyn lalu terbayang akan suatu situasi.

     “Jesslyn, tempat ni dulu jadi tempat kita cari makan. Sekarang, tempat ni yang makan kita …,” kata Hamizan sambil menatap sayu ke arah pusat latihan yang sudah dipenuhi dengan robot-robot AI.

     “Maklumlah, zaman anak-anak milenium. Anak-anak milenium, takkan cikgu-cikgunya tak milenium. Dunia anak-anak milenium tu di hujung jari, dunia kita yang tak berapa nak milenium ni pula di hujung tanduk …,” sindir Jesslyn dalam gurauan.

     Pensyarah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat itu terhibur. Bayangannya sedikit lucu tetapi juga seram. Lucunya kerana fungsi dia di sana yang dia persoalkan selama ini telah dilenyapkan juga akhirnya.

     Seram pula kerana para pelatih di pusat latihan itu mengikuti kelas yang dikendalikan oleh robot buatan manusia. AI atau Artificial Intelligence, iaitu teknologi kecerdasan buatan merupakan salah satu cabang sains dalam menjadikan sesuatu benda mempunyai kepintaran seperti manusia. Cara kerjanya mungkin lebih daripada manusia biasa kerana dilengkapi dengan segala macam maklumat daripada seluruh cabang keilmuan. Sebagai makhluk paling mulia ciptaan Tuhan, tidakkah harga diri mereka tercabar?

     Logiknya, sewaktu seseorang disuruh memilih hard disk untuk komputer riba, siapakah yang akan memilih Hard Disk Drive (HDD) yang memproses maklumat pada tahap biasa apabila ada Solid State Drive (SSD) yang boleh memproses maklumat tiga kali ganda lebih laju?

     Imaginasi aneh Jesslyn itu terhenti ketika pintu makmal komputer diketuk oleh seseorang. Tanpa mahu menunggu izin daripada Jesslyn, pintu makmal terus dibuka. Hamizan masuk membawa hajat.

     “Anak sulung saya disuruh cikgu dia buat video pembentangan guna Microsoft PowerPoint. Dia dah buat slaid tu tapi dia tak pandai nak jadikan slaid tu sebagai video …,” beritahu Hamizan, bermukadimah.

     Mata Jesslyn masih tertumpu ke layar komputer ribanya. Cerita Hamizan dia cerna dulu di minda. Serentak dengan itu, dia menghantar pesan kepada pihak pentadbiran untuk terus meng-e-melkan surat tadi ke alamat e-mel sekolah-sekolah berhampiran.

     “Saya nak minta tolong awak ajar dia caranya. Jikalau awak tak keberatan, nanti saya bawa dia berjumpa dengan awak …,” sambung Hamizan dengan pengharapan.

     Tangan Jesslyn menyambar botol minuman yang ada di sebelah komputer ribanya. Beberapa teguk air masuk ke kerongkong. Dia masih mengumpulkan kekuatan sebelum memberi respons. Bukan kerana permintaan Hamizan terlalu berat tetapi hatinya sedikit janggal.

     “Anak Encik Hamizan bukan anak zaman milenium ke?” pertikai Jesslyn di dalam hati.

     “Dia kata dia dah tengok tutorial di Internet tapi ada yang ajar terlalu laju, ada yang main tunjuk-tunjuk saja tanpa penjelasan, ada juga yang penjelasannya terlalu berbelit-belit sampai dia tak faham. Awak mungkin boleh sesuaikan cara mengajar awak dengan tahap kefahaman dia …,” kata Hamizan seolah-olah menjawab sindiran Jesslyn.

     Jesslyn tersenyum lebar. Rasa syukur terbit di hati. Persoalan yang selama ini terbuku, menampakkan titik terang. Ternyata jawapan akan kepentingan tugasnya di sini, sudah ditemui.

     Otak manusia tidak sama seperti Central Processing Unit atau CPU, iaitu otak komputer. Otak komputer bekerja dengan satu penyelarasan. Biarpun kelajuan kerjanya berbeza-beza bergantung kepada kualiti cip pemproses namun gerak kerjanya semuanya sama.

     Otak manusia pula berbeza-beza kemahirannya. Ada yang bekerja dengan didominasi oleh otak kiri dan ada yang bekerja lebih dengan otak kanan. Ada yang belajar dengan mendengar, ada yang dengan memerhati dan ada juga yang perlu melakukan amali.

     Tugas seorang tenaga pengajar adalah untuk memastikan anak-anak didiknya berkembang dengan kemahiran mereka masing-masing. Pendekatan seorang tenaga pengajar pun perlu tepat kepada setiap seorang pelajarnya. Suatu kemahiran yang sulit diselesaikan oleh sistem AI yang gerak kerjanya tetap pada satu kod program sahaja.

     “Macam mana? Awak boleh tolong?” tanya Hamizan, minta kepastian.

     “Boleh, tak ada masalah,” jawab Jesslyn, tenang.

Glosari

hard disk                                cakera keras

higher picture quality          kualiti gambar yang lebih tinggi

ranking                                   kedudukan

Central Processing Unit      Unit Pemprosesan Pusat

 
 
Advertisement