Anda di sini

Polis kejar skuter di Perancis, dua maut

Advertisement
Gambar yang dirakam kelmarin di Limoges, tengah Perancis menunjukkan kesan darah dan tanda X menandakan lokasi salah seorang lelaki yang maut dalam kemalangan skuter dan kereta terbabit. - Gambar AFP
Gambar yang dirakam kelmarin di Limoges, tengah Perancis menunjukkan kesan darah dan tanda X menandakan lokasi salah seorang lelaki yang maut dalam kemalangan skuter dan kereta terbabit. - Gambar AFP

LIMOGES: Seorang remaja menunggang sebuah skuter berserta seorang dewasa yang menumpangnya terkorban selepas satu pertembungan dengan polis di Perancis, kelmarin di mana pihak polis menyatakan kedua-dua mereka melarikan diri daripada pasukan peronda briged antijenayah lalu bertembung dengan sebuah kereta.

Insiden berlaku hanya beberapa minggu selepas Perancis berdepan rusuhan terburuknya sejak beberapa tahun berikutan kejadian polis menembak Nahel, seorang remaja berusia 17 tahun keturunan Arab, semasa penahanan di jalan raya.

Dalam insiden terkini, sumber polis menyatakan dua orang itu melarikan diri setelah melihat pasukan peronda polis bersedia untuk menahan mereka, lalu anggota polis mengejar mereka di Limoges, barat Perancis.

Pihak polis mendakwa kedua-dua mereka kemudian melanggar lampu isyarat merah dan bertembung dengan sebuah kereta, menyebabkan penunggang berusia 16 tahun itu mati serta-merta dan penumpangnya cedera sebelum meninggal dunia akibat kecederaannya di hospital.

Dewan bandar Limoges menyatakan kereta itu membawa seorang bapa dan anak-anaknya yang masih kecil, yang mengalami kejutan dan trauma.

Di dataran General Leclerc di bandar tersebut, sebatang jalan utama yang dibarisi bangunan kediaman, jalan yang dipenuhi dengan habuk kayu dan tanda pangkah menunjukkan kedudukan mayat, menurut kepada seorang wartawan AFP di tempat kejadian.

Salah satu tanda pangkah dikelilingi kesan darah, adalah 30 atau 40 meter dari kawasan pelanggaran dua kenderaan terbabit.

Sumber polis menyatakan kedua-dua mereka menaiki sebuah skuter Yamaha TMAX dan pihak polis segera berhenti mengejar ekoran situasi yang terlalu berbahaya.

Pihak berkuasa wilayah di Haute-Vienne menolak untuk memberikan komen mengenai kes itu, merujuk perkara tersebut kepada  pejabat pendakwa raya Limoges, yang dijangka mengeluarkan satu kenyataan kemudian.

"Kami menyatakan ucapan takziah kepada keluarga kedua-dua mereka,” Datuk Bandar Limoges Emile-Roger Lombertie menyatakan dalam satu kenyataan.

Laman berita Actu17 menyatakan pergaduhan berlaku di bandar tersebut selepas kemalangan itu, namun kemudian keadaan kembali tenang.

Dua kematian itu berlaku hanya lebih sebulan selepas pembunuhan pada Jun lepas membabitkan Nahel, 17, yang ditembak polis selepas dia dikatakan enggan patuh kepada arahan pihak berkuasa Nanterre, subbandar di barat laut tengah Paris.

Kematiannya mencetuskan keganasan di bandar itu selama beberapa malam, selain insiden rompakan ketika perbalahan di antara penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan. – AFP
 

Advertisement