Anda di sini

Kereta api tergelincir di selatan Pakistan

Advertisement

Puluhan cedera dirawat di hospital tatkala pihak berkuasa mengesahkan 28 kematian

Gambar yang dirakam dari udara serahan Pejabat Ketua Menteri Wilayah Sindh kelmarin menunjukkan keadaan di tempat kejadian kereta api tergelicnir di Nawabshah. - Gambar AFP
Gambar yang dirakam dari udara serahan Pejabat Ketua Menteri Wilayah Sindh kelmarin menunjukkan keadaan di tempat kejadian kereta api tergelicnir di Nawabshah. - Gambar AFP

KARACHI: Sekurang-kurangnya 28 orang disahkan terbunuh apabila sebuah kereta api tergelincir dari landasan di selatan Pakistan kelmarin, menurut menteri perkhidmatan kereta api negara semalam.

“Ini adalah satu kemalangan yang agak besar.

"Pasukan  penyelamat telah sampai ke kawasan kejadian dan sekurang-kurangnya 15 penumpang telah terkorban dan 45 lagi tercedera,” Khawaja Saad Rafique terdahulu memberitahu wartawan.

“Lebih banyak pasukan penyelamat telah dikerahkan ke kawasan itu.”

Kejadian itu berlaku berhampiran stesen kereta api Sahara di bandar Nawabshah di selatan wilayah Sindh, lapor media tempatan.

"Hazara Express telah bergerak dari Karachi ke Abbottabad sebelum lapan gerabaknya tergelincir,” pegawai perkhidmatan kereta api Mohsin Syal memberitahu HUM News.

Ijaz Shah, pegawai perkhidmatan kereta api wilayah, memberitahu AFP bahawa beberapa penumpang terkorban dan sebuah kereta api bantuan telah dikerahkan ke kawasan itu.

Gambar yang dimuat naik media tempatan menunjukkan orang ramai mengerumuni tempat kejadian tatkala beberapa orang memecahkan cermin bagi membantu penumpang keluar dari gerabak yang tumbang serta sekurang-kurangnya sebuah gerabak terbalik.

Kemalangan dan gelinciran kerap berlaku di sistem kereta api usang di Pakistan.

Pada Jun 2021 dua kereta api bertembung berhampiran Daharki di Sindh telah mengorbankan sekurang-kurangnya 65 orang serta mencederakan kira-kira 150 orang.

Dalam kemalangan itu, sebuah kereta api ekspres tergelincir ke atas landasan kereta api bertentangan sebelum kereta api penumpang kedua merempuh ke arah kereta api pertama itu kira-kira seminit kemudian.

Sekurang-kurangnya 75 penumpang rentung dalam kebakaran di atas kereta api ekspres Tezgam pada Oktober 2019, sementara pertembungan dua kereta api di Ghotki pada 2005 membunuh lebih 100 orang. - AFP
 

Advertisement