Anda di sini

Rusuhan gegar festival Eritrea di Stockholm

Advertisement

52 cedera, 100 ditahan susulan penunjuk perasaan antikerajaan bertempur dengan polis

Gambar menunjukkan khemah yang dirosakkan oleh penunjuk perasaan antikerajaan ketika rusuhan ganas meletus di festival Eritrea-Scandinavia di utara Stockholm kelmarin. — Gambar AFP
Gambar menunjukkan khemah yang dirosakkan oleh penunjuk perasaan antikerajaan ketika rusuhan ganas meletus di festival Eritrea-Scandinavia di utara Stockholm kelmarin. — Gambar AFP

STOCKHOLM: Lebih 50 orang cedera dan 100 lagi ditahan di Stockholm kelmarin ketika rusuhan meletus di festival prokerajaan Eritrea, kata polis dan pegawai kesihatan, selepas penunjuk perasaan antikerajaan memusnahkan harta benda di tapak tersebut.

“Satu lagi perhimpunan umum diadakan berhampiran dengan tapak festival, yang pada masa itu menyaksikan rusuhan ganas meletus,” kata polis, sambil menambah dalam satu kenyataan bahawa mereka telah menahan “kira-kira 100 orang”.

Pihak polis berkata mereka masih berada di lokasi kejadian di subbandar barat laut Stockholm dan “meneruskan usaha untuk mencegah tindakan jenayah serta mengembalikan ketenteraman”.

Pihak polis menyatakan mereka telah membuka siasatan mengenai rusuhan ganas dan pembakaran secara sengaja termasuk menghalang tugas anggota polis dan pasukan penyelamat.

Kira-kira 1,000 penunjuk perasaan antikerajaan yang dibenarkan untuk mengadakan protes berhampiran telah menceroboh melalui penghadang polis untuk menyerbu festival berkenaan, lapor tabloid Expressen.

Mereka telah merobohkan khemah dan menggunakan besinya sebagai senjata untuk menentang anggota polis, kata akhbar itu.

Pihak polis berkata sekurang-kurangnya 52 orang memerlukan rawatan perubatan, sama ada di lokasi kejadian atau di klinik serta hospital.

Pada jam 7 petang waktu tempatan, 15 orang telah dibawa ke hospital, menurut pihak berkuasa penjagaan kesihatan wilayah Stockholm dalam satu kenyataan berasingan.

Lapan daripada mereka mengalami “kecederaan serius”, dengah tujuh lagi mengalami “kecederaan ringan”, menurut pihak berkuasa, yang menambah ia telah menambahkan beberapa unit di lokasi kejadian.

“Ia adalah satu operasi yang sukar dan berlanjutan. Terdapat ramai orang yang berada di kawasan itu dan jumlah keseluruhan yang tercedera masih belum jelas,” kata Patrik Soderberg, ketua perubatan di Stockholm.

Rakaman di tempat kejadian menunjukkan kereta dan sekurang-kurangnya sebuah khemah terbakar, mencetuskan kepulan asap hitam besar.

Pihak polis menutup sebahagian daripada lebuh raya E18 berhampiran dalam kedua-dua arah ketika orang ramai yang melarikan diri dari lokasi kejadian telah menyekat jalan raya.

Festival Eritrea-Scandinavia, yang telah diadakan selama beberapa tahun, menampilkan seminar, perdebatan dan ceramah, termasuk muzik, bazar dan sebuah taman permainan.

Festival itu dijadualkan berlangsung dari Khamis hingga Ahad. — AFP
 

Advertisement