Anda di sini

Inisiatif jana pendapatan penduduk membuahkan hasil

Advertisement

Dennis bersama kakitangan Jabatan Pertanian Baram perkenal, galak penduduk terlibat dalam program penanaman nanas

Dennis (empat kiri) bersama tetamu menunjukkan hasil nanas dari Long Tujang, Baram.
Dennis (empat kiri) bersama tetamu menunjukkan hasil nanas dari Long Tujang, Baram.

"Saya amat gembira kerana mengetahui inisiatif dimulakan bersama Jabatan Pertanian membuahkan kejayaan dan membantu memberi pendapatan kepada penduduk yang serius mengambil bahagian pada program ini."

Dennis Ngau
ADUN Telang Usan 

Oleh Steve Annuar

MIRI: Inisiatif menjana pendapatan penduduk Penan dengan melibatkan mereka dalam program penanaman nanas telah membuahkan hasil. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan Dennis Ngau gembira program melibatkan kerjasama Jabatan Pertanian Baram itu mendapat sokongan penduduk. 

"Saya amat gembira kerana mengetahui inisiatif dimulakan bersama Jabatan Pertanian membuahkan kejayaan dan membantu memberi pendapatan kepada penduduk yang serius mengambil bahagian pada program ini," katanya. 

Dennis berkata, pada 2021 beliau bersama sepasukan kakitangan jabatan itu ke Long Tujang dan Long Buang, Sungai Apoh memperkenal dan menggalakkan penduduk terlibat dalam program penanaman nanas. 

Seramai 60 keluarga dari rumah panjang Penan terlibat dalam program itu turut mendapat sokongan peruntukan kerajaan negeri bagi mendapatkan peralatan penanaman bernilai lebih RM400,000.

Dennis dimaklumkan Ketua Kampung Alung Jok, hasil tanaman nanas berjaya dijual kepada penduduk kampung dan rumah panjang di kawasan berdekatan. 

Dennis menjelaskan perkara itu ketika merasmikan penutupan Kursus Sumber Kekayaan Baru (SKB) anjuran Jabatan Pertanian Sarawak, Miri dan Marudi di Rumah Panjang Long Tujang terletak empat jam perjalanan darat dari bandar raya Miri. 

Kursus disertai lebih 60 orang itu mengajar peserta tentang penanaman nanas, pisang dan durian. 

"Manfaatkan sepenuhnya ilmu dikongsikan ini. Saya yakin Long Tujang dan Long Buang mampu menjadi antara pengeluar nanas dan pisang di negeri ini," jelasnya. 

Dennis berkata, aktiviti ekonomi di Telang Usan turut meningkatkan kuasa beli penduduk pastinya memberi impak positif kepada pengeluar nanas dari Long Tujang dan Long Buang menjual hasil mereka di pekan Long Lama. 

Dennis yakin dengan perhubungan jalan raya lebih baik yang kini dirancang dan dilaksanakan kerajaan negeri, penduduk terlibat dalam pertanian komersil mampu memperluas pasaran produk mereka.

Beliau yang juga pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Baram merancang menubuhkan pusat pengumpulan biji kopi di pekan Bakong. 

Dennis berharap dengan sokongan Jabatan Pertanian Sarawak rancangan itu menggalakkan lebih ramai penduduk terlibat dalam penanaman kopi termasuk di  tanah Hak Adat Bumiputera (NCR).

Hadir sama wakil Kementerian Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah, Jabatan Pertanian Miri dan Stesen Penyelidikan Pertanian Kabuloh Miri
 

Advertisement