Anda di sini

Mercedes-Benz lancar GLC serba baharu, umum kerjasama kad kredit logam dengan Maybank

Advertisement
Sagree memperkenalkan Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC baharu.
Sagree memperkenalkan Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC baharu.

Oleh Yovinka Devi

KUALA LUMPUR: Mercedes-Benz Malaysia memperkenalkan Mercedes-Benz GLC serba baharu pada Jumaat, sekali gus mencatatkan kejayaan sebagai peneraju segmennya.

Semasa majlis pelancaran rasmi di DesaPark City, Mercedes-Benz Malaysia turut mengumumkan perkongsian eksklusif dengan Maybank untuk memperkenalkan kad kredit logam yang pertama dalam industri di seluruh negara.

GLC baharu ini dilengkapi dengan rel bumbung aluminium yang digilap dan papan larian aluminium dengan stud getah.

Penggayaan badan AMG terdiri daripada apron hadapan AMG dengan salur masuk udara sporty dan elemen kemasan krom dan apron belakang AMG rupa peresap.

Ciri-ciri lain penampilan sporty GLC ini ialah trek lebar dan tayar aloi ringan berbilang jejari AMG 20 inci dan gril radiator dengan corak Mercedes-Benz.

Lampu belakang dua bahagian baharu mempunyai bahagian dalam dengan rupa tiga dimensi dan menekankan kelebaran hujung belakang. Ia juga mempunyai pelindung bawah krom simulasi yang membungkus paip ekor rupa krom simulasi.

(Dari kiri) Ravintharan, Sagree dan Anamika melancarkan Kad Mercedes-Benz pertama di DesaPark City.
(Dari kiri) Ravintharan, Sagree dan Anamika melancarkan Kad Mercedes-Benz pertama di DesaPark City.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Mercedes-Benz Malaysia Sagree Sardien berkata, “Kami mengalu-alukan GLC serba baharu ke Malaysia dan kami sangat teruja untuk meneruskan kisah kejayaan ikoniknya pada masa hadapan.

“Sebagai SUV terlaris Mercedes-Benz, GLC telah pun mendapat sambutan yang kukuh di Malaysia dengan lebih 12,000 unit terjual sejak 2016.

“Gabungan keseronokan pemanduan dinamik, reka bentuk moden dan ciri-ciri canggih seperti kokpit luar jalan dan navigasi Realiti Terimbuh (AR) MBUX Augmented Reality, GLC menjanjikan pengalaman mengujakan bagi pengembara dan keluarga di Malaysia.

“Dengan kawalan yang tiada tandingan ke atas rupa bumi yang mencabar, GLC baharu menetapkan standard baharu dalam SUV mewah, memberikan pengalaman pemanduan yang lancar.”

Tersedia sebagai varian tunggal, GLC 300 4MATIC menampilkan bahagian dalam AMG Line yang menyumbang kepada rasa sporty kenderaan yang lebih jelas dan nyata.

Pelbagai sorotan AMG Line termasuk upholsteri kulit buatan manusia ARTICO dalam warna hitam sebagai standard, fiber mikro MICROCUT dan pedal sukan AMG. Upholsteri dua tona kulit ARTICO dalam warna hitam coklat sienna juga tersedia untuk unit CBU terhad.

GLC 300 4MATIC boleh didapati sebagai hibrid ringan dengan teknologi 48 volt dan penjana pemula bersepadu generasi kedua. Enjin ini mempunyai unit empat silinder daripada keluarga enjin Mercedes-Benz FAME (Family of Modular Engines) semasa.

Dari segi keselamatan, GLC baharu ini dilengkapi dengan perlindungan kenderaan GUARD 360 darjah yang menawarkan pemantauan menyeluruh terhadap persekitaran kenderaan, contohnya dengan sistem penggera pecah masuk dan antikecurian dengan perlindungan tunda.

Manakala, bantuan ‘The Active Lane Keeping Assist’ ialah pemerhati yang sentiasa memerhatikan panduan lorong.

GLC 300 4MATIC baharu berharga RM429,888, termasuk 10 peratus cukai jualan.

Sementara itu, bercakap mengenai pengenalan kad Mercedes-Benz, Pengarah Urusan Mercedes-Benz Services Malaysia Anamika Talwar berkata: “Kad Mercedes-Benz direka untuk memperkaya pengalaman pemegang kad yang merupakan peminat gaya hidup aktif.

“Pelanggan kami kini boleh memiliki bintang berbucu tiga yang berharga, bukan sahaja di garaj, tetapi juga dalam dompet mereka.”

Kad Mercedes-Benz akan menjadi yang pertama seumpamanya, kad jenama bersama logam dalam landskap automotif Malaysia dengan semua eksklusiviti, gaya dan kemudahan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan perbankan pengguna.

Mengulas lanjut mengenai perkongsian Maybank dengan Mercedes-Benz, B. Ravintharan iaitu Naib Presiden Eksekutif Kanan Maybank dan Ketua, Kad, Perkhidmatan Kewangan Komuniti Kumpulan berkata, “Maybank berbesar hati untuk bekerjasama dengan Mercedes-Benz Services Malaysia dan menjadi yang pertama di Malaysia dalam sejarah automotif untuk memperkenalkan kad logam yang menawarkan faedah eksklusif dan mewah kepada pelanggannya.”

Kad Mercedes-Benz membolehkan pelanggan memperoleh mata bagi pembelian terpilih di mana-mana Mercedes-Benz Autohaus di seluruh negara apabila pembayaran dibuat menggunakan kad Mercedes-Benz.

Pemegang kad berhak mendapat diskaun 10 peratus untuk alat ganti Mercedes-Benz, barangan ‘merchandise’ dan aksesori selain mengumpul 10x TreatsPoints dengan setiap RM1 yang dibelanja setiap lawatan.

Kad ini juga menawarkan diskaun sehingga lapan peratus untuk Program Waranti Terhad Lanjutan Mercedes-Benz yang komprehensif dan sehingga 20 peratus diskaun MobilityPlus, program penggantian kereta Mercedes-Benz.

Selain itu, pemegang kad juga boleh menikmati ganjaran menarik seperti pulangan tunai tiga peratus untuk perbelanjaan petrol (terhad pada RM50 sebulan), keahlian Accor Plus Explorer percuma, diskaun makan sehingga 40 peratus di tempat makan premium di Marriott Bonvoy Hotels di Malaysia, yuran hijau percuma di 100 padang golf di seluruh dunia dan banyak lagi.

Pemohon kad Mercedes-Benz yang berjaya akan menikmati pengecualian yuran tahunan selama dua tahun, manakala yuran tahunan tahun berikutnya akan diketepikan dengan perbelanjaan kad terkumpul sebanyak RM80,000 setahun.
 

Advertisement