Anda di sini

AirAsia X sambung semula perkhidmatan ke Gold Coast

Advertisement
(Dari kiri) Fam, Amelia, Stirling, Benjamin dan Karen merakamkan kenangan di Lapangan Terbang Gold Coast untuk meraikan penyambungan semula penerbangan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Gold Coast, hari ini.
(Dari kiri) Fam, Amelia, Stirling, Benjamin dan Karen merakamkan kenangan di Lapangan Terbang Gold Coast untuk meraikan penyambungan semula penerbangan AirAsia X dari Kuala Lumpur ke Gold Coast, hari ini.

KUCHING: Syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka di Asia iaitu AirAsia X (AAX) menyambung semula perkhidmatan ke laluan Gold Coast, Australia hari ini selepas lebih dua tahun dihentikan berikutan pandemik.

Penerbangan sulungnya telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (Terminal 2) pada jam 11.25 malam waktu tempatan dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Gold Coast pada jam 9.25 pagi waktu tempatan. 

Gold Coast ialah destinasi keempat syarikat penerbangan itu di Australia dan penyambungan semula perkhidmatan ini memperkukuh kedudukan AAX sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terkemuka yang menghubungkan Australia ke destinasi utama Asia.

AAX juga satu-satunya syarikat penerbangan yang terbang terus antara Malaysia dan negeri Queensland.

Satu sidang media telah diadakan di Lapangan Terbang Gold Coast untuk meraikan acara penting itu yang dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Inovasi dan Sukan Queensland, Stirling Hinchliffe, Ketua Pegawai Eksekutif Queensland Airports Limited Amelia Evans, Ketua Pegawai Eksekutif Interim Destination Gold Coast Karen Bolinger, Lembaga Pengarah AAX Dato Fam Lee Ee dan Ketua Pegawai Eksekutif AAX Benyamin Ismail serta pihak berkepentingan lapangan terbang dan pelancongan utama lain.

Stirling berkata, inisiatif AAX ini bakal menjana AUD45.6 juta untuk ekonomi pelancongan Gold Coast.

"Perkhidmatan terus dari Kuala Lumpur ini telah disokong oleh kerajaan Palaszczuk bernilai AUD200 juta dengan kerjasama Lapangan Terbang Gold Coast.

"Kami menyokong AAX kerana mereka komited untuk meningkatkan jadual penerbangan ke Gold Coastnya kepada lima hari seminggu menjelang akhir tahun ini.

"AAX merupakan pelaburan hebat dalam ekonomi pelancongan Gold Coast dan perkhidmatan ini akan menyokong 450 peluang pekerjaan di Queensland.

"Kami berbesar hati untuk mengalu-alukan pelancong Malaysia kembali ke Queensland untuk menikmati gaya hidup hebat dan pengalaman percutian bertaraf dunia di Gold Coast," tambah Stirling.

Sementara itu, Benyamin berkata hari ini adalah hari yang amat penting untuk AAX kerana ia kembali ke Gold Coast, laluan pertamanya yang telah dilancarkan pada November 2007.

"Gold Coast akan sentiasa menjadi destinasi istimewa di hati kami dan apa yang menjadikan pengumuman ini lebih penting ialah AAX kini satu-satunya syarikat penerbangan yang menghubungkan Kuala Lumpur terus ke Gold Coast dan ke Queensland secara keseluruhan.

"Laluan baharu ini menyediakan pilihan perjalanan udara yang paling berpatutan untuk tetamu yang ingin menerokai salah satu destinasi pelancongan paling popular di Australia," katanya. 

Selain itu jelasnya, ia juga memudahkan warga Australia yang ingin melawat Malaysia atau meneruskan perjalanan ke Asia menerusi rangkaian global kami termasuk Singapura, Thailand, Vietnam, India dan banyak lagi.

"Penyambungan semula laluan ini bukan sahaja akan menarik sebilangan besar pengunjung dari Malaysia dan negara Asia lain tetapi juga mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Australia. 

"Kami berharap dapat bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan lapangan terbang dan pelancongan utama kami, terutamanya Lapangan Terbang Queensland dan Destination Gold Coast untuk menjadikan Gold Coast sebagai destinasi pelancongan pilihan berjuta-juta penduduk di Asia," kata Benyamin.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Queensland Airports Limited Amelia Evans berkata penyambungan semula perkhidmatan penerbangan AAX ke Gold Coast akan menyediakan tiga penerbangan mingguan antara Kuala Lumpur dan Gold Coast.

"Ia menawarkan 58,000 tempat duduk tambahan ke rantau ini pada setiap tahun.

"Sejak penerbangan pertama AAX berlepas dari Kuala Lumpur ke Gold Coast pada tahun 2007 terdapat seramai lebih dua juta pengembara telah terbang antara dua bandar itu.

"Penyambungan perkhidmatan ini mewujudkan semula hubungan penting antara dua hab pelancongan dan ekonomi utama pada tambang kompetitif untuk perjalanan antarabangsa, dan memacu kerjasama penting dengan AAX untuk masa depan.

"Kami teruja untuk mengalu-alukan  AAX kembali ke Terminal Antarabangsa baharu kami, memberikan para pengunjung pengalaman yang lebih baik dari saat mereka mendarat ke Gold Coast dan rantau ini," katanya.
 

Advertisement