Anda di sini

Fulham sentak Leicester 2-1 sekaligus melangkah keluar dari zon penyingkiran

Advertisement
 Barnes (dua kiri) bersaing dengan penyerang  Fulham Bobby Decordova-Reid (dua kanan) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Leicester City dan Fulham di Stadium King Power, Leicester, England kelmarin. — Gambar AFP
KEKAL BERTENAGA: Barnes (dua kiri) bersaing dengan penyerang Fulham Bobby Decordova-Reid (dua kanan) pada perlawanan Liga Perdana Inggeris antara Leicester City dan Fulham di Stadium King Power, Leicester, England kelmarin. — Gambar AFP

LONDON: Fulham melangkah keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris pada Isnin selepas akhirnya menyelesaikan badi penalti mereka ketika mencipta kemenangan mengejut 2-1 di Leicester City sementara West Ham bernasib baik untuk melonjak ke tangga  kelima selepas menewaskan Aston Villa 2-1.

Fulham, yang dibimbing Scott Parker, meraih kemenangan kedua mereka dalam liga musim ini selepas gol pembukaan Ademola Lookman pada minit ke-30 dan penalti Ivan Cavaleiro lapan minit kemudian.

Fulham gagal menyempurnakan tiga dari empat penalti mereka musim ini tetapi Cavaleiro mengawal debaran untuk menyempurnakan gol kedua yang akhirnya menjadi gol kemenangan.

Harvey Barnes merapatkan kedudukan buat Leicester pada minit ke-86 tetapi Fulham berjaya bertahan sehingga ke wisel penamat untuk berada satu mata di atas zon penyingkiran.

“Cav tergelincir minggu lepas dan saya tidak mempunyai Twitter atau Instagram tetapi saya boleh membayangkan apa yang diperkatakan, sindiran dan gurauan tentang kegagalannya dan Cav boleh membayangkannya,” kata Parker ketika merujuk kegagalan Cavaleiro menyempurnakan penalti ketika menentang Everton.

“Saya  berkata kepada beliau: ‘Adakah kami bersedia mengambil penalti sekali lagi?’ Beliau melihat saya dengan serius dan berkata: ‘Saya bersedia’.

“Keberanian untuk membuat keputusan seperti ini adalah apa yang kami perlukan. Tiada keraguan bahawa ia satu kelegaan besar. Saya sudah bercakap kepada mereka tentang tidak membiarkan kekalahan melemahkan semangat kami.”

Ia adalah kemenangan penuh emosi untuk Fulham, dengan Lookman meraikan gol dengan menunjukkan salah satu jersi Senegal miliki Papa Bouba Diop selepas bekas pemain Fulham itu meninggal dunia pada usia 42 tahun pada hujung minggu lepas.

“Ia adalah satu keputusan yang kami buat sebagai sebuah kelab dan pemain juga gembira dengan keputusan ini. Bagi seseorang yang  kehilangan nyawa di usia muda, ia sangat tragis,” kata Parker.

Leicester boleh melonjak ke tangga kedua liga jika menang tetapi sebaliknya, mereka kekal di tangga keempat – tiga mata di belakang pendahulu liga, Tottenham – selepas mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam liga.

Di Stadium London, West Ham United meraih kemenangan ketiga berturut-turut selepas penyerang Villa, Ollie Watkins gagal menyempurnakan penalti lewat dan kemudian menyaksikan gol penyamaan pada minit kecederaan tidak dibenarkan oleh panel video bantuan pengadil (VAR).

West Ham bermula garang apabila Angelo Ogbonna membuka jaringan pada minit kedua.

Villa berjaya mengikat kedudukan pada minit ke-25 menerusi jaringan Jack Grealish tetapi West Ham kembali di hadapan pada minit ke-46 selepas pertukaran pemain oleh pengurusnya, David Moyes.

Moyes memasukkan Said Benrahma pada masa rehat dan sentuhan pertama Benrahma kepada Jarrod Bowen menghasilkan gol kedua West Ham.

Pemain sayap Villa, Trezeguet, memperolehi penalti pada minit ke-74 tetapi Watkins, yang beraksi memberangsangkan musim ini, melihat rembatannya terkena palang.

West Ham sekali lagi bernasib baik apabila Watkins melihat gol beliau pada minit kecederaan tidak dibenarkan pengadil kerana ofsaid.

“Kami bernasib baik dalam beberapa keputusan. Saya fikir kami boleh bermain lebih bagus lagi tetapi saya akan menerima keputusan malam ini,” kata Moyes.

Pengurus Villa, Dean Smith, dengan rasa kecewa menambah: “Kami gagal menyempurnakan penalti dan satu gol tidak dibenarkan kerana ofsaid yang sukar diterima.

“Satu-satu sebab lengan Ollie Watkins (penyebab ofsaid) adalah kerana beliau dikasari. Beliau sama ada menjaringkan atau diberikan penalti kedua.” — AFP

Advertisement