Anda di sini

Irfan Bakti ketua jurulatih Kuching City FC musim 2021

Advertisement
 

KUCHING: Kuching FA yang diberi nama baharu, Kuching City FC, akan diterajui jurulatih berpengalaman luas dalam arena bola sepak negara, Irfan Bakti (gambar) selaku ketua jurulatih baharu bagi musim 2021.

Pengerusi Kuching City FC, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, pihaknya amat berbangga dan teruja untuk bekerjasama dengan Irfan memandangkan beliau adalah antara jurulatih yang berpengalaman.

"Kita yakin beliau boleh membawa kelebihan dan meningkatkan lagi mutu permainan Kuching City FC. Malahan, kita telah berbincang dengan beliau dan menerangkan falsafah dan budaya Kuching  City FC termasuk kelebihan, kelemahan, kekangan dan sasaran kita untuk musim hadapan.

"(Dan) Irfan memaklumkan beliau bersetuju dan yakin dengan perancangan, hala tuju dan sasaran kita," katanya pada sidang media berkenaan Kuching City FC di sini, hari ini.

Fazzrudin berkata, pada mulanya Kuching City FC merancang untuk mengekalkan Akira Higashiyama sebagai ketua jurulatih untuk musim 2021.

"Namun, Akira telah menolak tawaran ini dan oleh itu kita merancang untuk mencari pengganti beliau. Beberapa nama dan telah dibincangkan dan dipertimbangkan oleh Lembaga Pengarah dan akhirnya, kita telah membuat keputusan untuk memilih Irfan Bakti," kata beliau.

Mengulas mengenai pembangunan bola sepak, Fazzrudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong berkata, pihaknya akan sentiasa berusaha untuk meningkatkan lagi mutu  para jurulatih mereka.

"Kita juga akan memastikan jurulatih-jurulatih ini layak untuk mendapatkan lesen B dan A agar mereka boleh terlibat secara langsung dengan budaya dan falsafah yang sama dengan  pasukan senior. 

"Untuk itu, kita sedang berusaha untuk membawa Wan Jamak Wan Hassan  sebagai Pengarah Teknikal Kuching City FC. Dengan pengalaman dan kepakaran beliau,  kita yakin boleh membangunkan sukan bola sepak  bukan sahaja untuk Kuching  City FC tetapi untuk negeri Sarawak  amnya," jelas  beliau.

Fazzrudin berkata, Wan Jamak adalah antara pengajar bertauliah untuk mengadakan kursus Jurulatih C, B dan A.

"Dengan kerjasama bersama Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), kita boleh merancang untuk mengadakan kursus-kursus tersebut di Sarawak selain mempermudahkan jurulatih-jurulatih kita menyertainya," ujarnya.

Dalam pada itu, Fazzrudin memberitahu pasukan Kuching FC akan menjalankan kerjasama bersama Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dalam menyertai Liga B19 Malaysia.

Menurutnya, SCC mempunyai beberapa Pusat Pembangunan dan Pusat Cemerlang bawah 19 tahun  tetapi para pemain tiada berpeluang untuk  bermain di peringkat tinggi.

"Kerjasama bersama SSC akan melihat pemain-pemain ini dipilih untuk menyertai pasukan Kuching City FC/SSC dan jurulatih-jurulatih akan disedikan oleh SSC dan juga Kuching  City FC. 

"Dengan kerjasama sebegini, kita mengharapkan agar pemain-pemain ini boleh menetapkan halatuju dalam karier bola sepak mereka," katanya.
 

  • oleh
  • Advertisement