Anda di sini

Telur Paska untuk petugas barisan hadapan di Sibu

Advertisement
 (Dari dua kiri) Lolita, Dr Nor Izzah, Ayuyahti (kelima kiri), Olivia (kanan) serta yang lain ketika sesi penyerahan sumbangan telur Hari Paska di Hospital Sibu, semalam.
IKHLAS: (Dari dua kiri) Lolita, Dr Nor Izzah, Ayuyahti (kelima kiri), Olivia (kanan) serta yang lain ketika sesi penyerahan sumbangan telur Hari Paska di Hospital Sibu, semalam.

SIBU: Pengerusi Pasukan Perlindungan Kanak-Kanak Bahagian Sibu Lolita Jimmy Jalil dan keluarganya menghulurkan sumbangan berupa telur Paska kepada petugas barisan hadapan di Hospital Sibu, kelmarin.

Penolong Pengarah Hospital Sibu Dr Nor Izzah Marzuki serta kakitangan yang lain telah menerima sumbangan itu yang disampaikan Lolita, Ayuyahti Arip dan Olivia Kaminis di hadapan bangunan pentadbiran Hospital Sibu.

Lolita berkata, ini adalah sumbangan peribadinya kepada barisan hadapan dalam berkongsi suasana serta keceriaan sambutan Hari Paska Ahad lalu.

“Ini hanyalah sumbangan kecil untuk berkongsi sambutan Hari Paska dengan barisan hadapan terutama mereka yang tidak dapat meraikan Hari Paska kerana bertugas.

“Kami menyediakan kira-kira 200 biji telur untuk mereka,” katanya di sini.

Beliau memberitahu, ini adalah kali pertama keluarganya membawa kegembiraan yang begitu meriah kepada kakitangan hospital dan menambah bahawa keluarga tersebut telah mendapat kebenaran berbuat demikian (menyumbang telur).

Sementara itu, Dr Nor Izzah turut berterima kasih kepada Lolita dan keluarga atas sumbangan tersebut.

“Kami sangat teruja kerana kami menerima banyak sumbangan terutama pada musim sambutan Paska ini yang telah membawa banyak kegembiraan.

“Ada orang yang tidak dapat meraikan Hari Paska bersama keluarga mereka, saya gembira kerana Lolita dan keluarganya mengambil inisiatif untuk membawa keseronokan ini kepada mereka,” tambahnya.

Advertisement