Anda di sini

MDLBS bantu selesai isu sekatan jalan di Tanjung Penasu, optimis dapat ditangani dengan baik

Advertisement
(dari kiri) Sempurai dan Romeo
(dari kiri) Sempurai dan Romeo

SIBU: Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) akan berusaha membantu menyelesaikan isu sekatan jalan di Tanjung Penasu di sini dengan menjaga semua kepentingan semua pihak termasuk penduduk rumah panjang.

Pengerusinya, Sempurai Petrus Ngelai berkata, beliau sudah bertemu dan berbincang dengan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Romeo Christopher Tegong mengenai isu ini.

Katanya, beliau sangat perhatin terhadap nasib yang menimpa penduduk Tr Jalak Kusau dan Tr Nita Seman yang terjejas akibat sekatan jalan tersebut.

"Secara umumnya, saya menghormati pendirian pemilik tanah berkenaa dalam isu ini.

"Namun kita kena ambil kira hakikat bahawa lebih 300 penduduk sangat memerlukan jalan berkenaan terutamanya ketika berlaku kecemasan ataupun bencana," katanya semasa dihubungi tadi.

Menurut Sempurai, beberapa cadangan telah dikemukakan untuk diperhalusi dan diyakni dapat menyelesaikan isu berkenaan.

"Namun cadangan itu, saya tidak dapat mendedahkannya di sini (media) kerana kita cuba selesaikan isu ini secara situasi menang-menang," jelas beliau lagi.

Tambahan pula katanya, jalan tersebut sememang sudah ada (dibina) dan telah lama digunakan oleh penduduk dari kedua-dua rumah panjang terbabit.

Sempurai berkata, sekalipun MDLBS kesuntukan masa untuk menyelesaikan dokumen yang diperlukan namun beliau tetap optimis isu itu dapat ditangani secara baik tanpa sebarang persengketaan.

Katanya, adalah menjadi tanggungjawab MDLBS memastikan segala urusan berkaitan dengan rakyat dipermudahkan dan sentiasa mengadakan rundingan bersama penduduk bagi memahami dan menyelesaikan masalah mereka.

Sementara itu, Romeo memberitahu pihak berkuasa memerlukan ruang secukupnya untuk menyelesaikan isu tersebut.

Jelas beliau, ketika ini usaha lebih tertumpu kepada mengambil alih jalan berkenaan dan pemberiaan pampasan kepada pemilik tanah.

"Sekiranya MDLBS bersetuju mengambil alih jalan tersebut, mereka perlu membuat kertas cadangan terlebih dahulu sebelum diserahkan kepada Jabatan Tanah dan Survei bahagian Sibu untuk dinilai pampasan bagi tanah tersebut.

"Setelah jumlah pampasan telah dinilai barulah proses pembayaran yang diluluskan oleh kerajaan negeri dibuat kepada pemilik tanah berkenaan," jelas beliau.

Katanya, hanya dengan cara tersebut jalan tersebut bebas daripada sebarang isu berbangkit.

  • oleh
  • Advertisement