Anda di sini

Program pembangunan bola sepak di Sarawak di landasan yang tepat

Advertisement
 Hakimi memberi arahan taktikal kepada anak-anak buahnya semasa mengadakan perlawanan persahabatan.
UBAH TAKTIK: Hakimi memberi arahan taktikal kepada anak-anak buahnya semasa mengadakan perlawanan persahabatan.
__alt__
 Hakimi menemani dua pemainnya yang menjalani latihan bersama Skuad Bola Sepak JDT-Valencia di Johor.
BANGGA: Hakimi menemani dua pemainnya yang menjalani latihan bersama Skuad Bola Sepak JDT-Valencia di Johor.
 Hakimi melihat salah seorang pemain dari PP MSNS Miri diberi teknik betul mengangkat beban berat semasa menjalani latihan bersama Skuad Bola Sepak JDT-Valencia.
KONGSI ILMU: Hakimi melihat salah seorang pemain dari PP MSNS Miri diberi teknik betul mengangkat beban berat semasa menjalani latihan bersama Skuad Bola Sepak JDT-Valencia.
 Pemain-pemain PP MSNS Miri menjalani latihan fizikal sambil dipantau jurulatih Hakimi.
TEKUN: Pemain-pemain PP MSNS Miri menjalani latihan fizikal sambil dipantau jurulatih Hakimi.

PROGRAM Pembangunan Bola Sepak (FDP) Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) di Sarawak berada di landasan tepat dalam melahirkan pemain-pemain berbakat.

Program seumpama itu antara tanggungjawab berat yang digalas oleh Ketua Jurulatih Pasukan Pusat Pembangunan (PP) Sukan Bola Sepak MSNS Miri, Mohamad Hakimi Man.

Beliau berkata, inisiatif demikian antara kaedah terbaik bagi melahirkan pemain-pemain bola sepak yang berbakat bukan hanya di bandar tetapi di luar bandar juga.

“Saya merasakan bahawa kerjasama SSC dan MSNS dalam pembangunan bola sepak mampu mengangkat martabat pemain-pemain bola sepak tempatan khasnya kalangan belia,” katanya.

Malah, MSNS turut menjalinkan kerjasama erat bersama Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) merangka perancangan selama lima tahun.

Tiga elemen penting yang diberi tumpuan bagi pembangunan bola sepak peringkat akar umbi iaitu kejurulatihan, pembangunan teknikal dan melahirkan atlet masa hadapan.

Hakimi berkata, Sarawak khasnya di Wilayah Utara mempunyai ramai pemain bola sepak yang berpotensi namun bakat mereka tidak dihidu dari awal.

Beliau juga melahirkan nada kekecewaan dengan sikap segelintir pihak tidak memandang kebolehan pemain-pemain dan jurulatih kerana Miri sebelum ini tiada program pembangunan bola sepak.

Namun, selepas dua tahun mengalas tugas jurulatih PP MSNS Miri, ramai pemain dari utara itu menarik perhatian pasukan-pasukan liga tempatan, Piala Sarawak serta Liga Malaysia.

“Ramai pemain kita yang berbakat mula dihidu pasukan bola sepak dari liga tempatan termasuk dari Semenanjung Malaysia untuk menyarung jersi pasukan terbabit,” katanya.

CABARAN

Usaha untuk membentuk pemain bola sepak agar menjadi profesional dan berpengalaman tidak mudah sebaliknya memerlukan fokus dan komitmen yang tinggi.

Hakimi berkata, masa untuk bersama dengan keluarga juga terhad kerana lebih memberi tumpuan kepada sesi latihan bersama pasukan lebih-lebih lagi apabila menghadapi kejohanan bola sepak.

Bukan itu sahaja, pencarian pemain-pemain di luar bandar juga kadangkala sukar disebabkan faktor geografi dan jarak dari pusat latihan.

Menurutnya, terdapat pemain-pemain luar bandar berpotensi untuk diketengahkan namun mereka sukar ke pusat latihan kerana jarak jauh serta masih bersekolah.

Bagi mengatasi masalah itu, pihaknya memperkenal sistem pangkalan data pemain-pemain luar bandar yang akan dipanggil menjalani latihan bersama.

Menurutnya, pencarian pemain-pemain bukan hanya pandai mengelecek atau mengawal bola dengan baik tetapi peka dengan taktik permainan pasukan lawan serta arahan jurulatih.

Katanya, bola sepak bukan memerlukan kemahiran individu tinggi tetapi kerjasama dalam satu pasukan mengukuhkan kekuatan dari segenap segi.

“Paling penting pemain-pemain mampu menyerap tekanan sama ada bermain di tempat sendiri atau gelanggang lawan serta memahami peranan masing-masing semasa di atas padang,” ujarnya.

KEJAYAAN

Jurulatih berusia 43 tahun itu pernah meraih beberapa kejuaraan iaitu Kejohanan Piala Tun Sharifah Rodziah 2017, Kejohanan Piala Belia Bawah 19 2016, Kejohanan Karvotek Sarawak 2018, Kejohanan MSS Bawah 18 Tahun Sarawak 2018.

Beliau juga membantu PP MSNS Bawah 19 naib juara Liga Super Miri serta memainkan peranan penting memastikan MSSM Sarawak naib juara kejohanan bola sepak bawah 18 tahun kebangsaan di Pulau Pinang (2018).

PEMAIN KELUARAN PP MSNS MIRI

Ammar Muaz Zamri (mewakili pasukan Piala Presiden Sarawak 2017 dan 2018 serta SUKMA Sarawak 2018, mewakili pasukan Liga Perdana Sarawak 2019).

Filemon Anyie Standly (mewakili pasukan Piala Presiden Sarawak 2017 serta Piala Presiden Perak PKNP dan pasukan SUKMA Perak 2018, mewakili Perak PKNP ke Liga Super 2019).

Qaiman Rizqi Joffri (mewakili pasukan Piala Presiden Sarawak 2018 dan menyarung jersi pasukan Piala Presiden 2019).

Bagi 2019, Hakimi komited lebih ramai pemain dari PP MSNS Miri akan menjadi buruan pasukan dari liga tempatan hasil pembangunan lebih fokus pusat itu nanti.

HARAPAN TERHADAP PP MSNS MIRI

Beliau amat PP MSNS Miri mendapat pengiktirafan dan penghargaan dengan menjadikan pusat itu sebagai Pusat Kecemerlangan Bola Sepak di utara Sarawak.

Hal ini kerana PP MSNS Miri telah mengeluarkan ramai pemain baharu yang mencapai kualiti dan standard sehingga menjadi buruan pasukan luar Sarawak.

Hakimi juga berharap pemain-pemain di bawah bimbingannya  menjadi pemain bola sepak yang berjaya dan menjadi seorang  insan yang baik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Di samping itu, kerjasama semua pihak penting untuk memastikan projek itu bukan sahaja berjaya tetapi memartabatkan sukan bola sepak di Sarawak.

Hakimi mengakui kejayaan program pembangunan bola sepak di Miri itu dalam mengilap bakat baharu dan sewajarnya projek itu diteruskan.

Bagaimanapun, beberapa perkara juga perlu diambil perhatian termasuk menaik taraf kemudahan sukan serta padang di Bahagian Miri.

“Pemain kita juga pernah beraksi di padang rumput tiruan yang kemudahan itu tiada di Miri berbanding di Bintulu, sewajarnya kita juga perlu padang seumpama itu di sini,” katanya.

Sehubungan itu, dengan menaik taraf kemudahan padang di Miri maka siri latihan pasukan bola sepak di Miri akan lebih fokus dan terancang.

“Bukan hanya Miri, kita juga mampu mencari pemain dari Baram, Limbang dan Lawas supaya bakat mereka ini tidak disia-siakan begitu sahaja,” jelasnya.

  • oleh
  • Advertisement