Anda di sini

‘Mr Kenyalang Strongman Competition’ dicadang jadi acara tahunan

Advertisement
 Salah seorang peserta berusaha untuk mengangkat tayar dalam acara Tyre Flip.
ANGKAT TAYAR: Salah seorang peserta berusaha untuk mengangkat tayar dalam acara Tyre Flip.

RESIDEN Bahagian Sibu, Charles Siaw menyambut baik hasrat untuk menjadikan ‘Mr Kenyalang Strongman Competition’ sebagai salah satu acara tahunan di Sibu.

Menurutnya, acara tersebut merupakan salah satu cara terbaik untuk mempromosikan Sibu sebagai salah sebuah destinasi pelancongan menarik di negeri ini.

“Ini adalah julung kalinya kita anjurkan Mr Kenyalang Strongman Competition sempena ulang tahun ke-10 Sibu International Base Jump.

“Kita menyambut baik cadangan untuk menjadikan ia sebagai acara tahunan. Ini kerana saya berpendapat ia promosi yang terbaik untuk Sibu kerana peserta datang dari luar Sarawak termasuk Brunei, Sabah dan Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

 Aksi salah seorang peserta menunjukkan kekuatannya menarik lori treler dalam acara Truck Pull.
KUAT: Aksi salah seorang peserta menunjukkan kekuatannya menarik lori treler dalam acara Truck Pull.

Charles berkata demikian ketika ditemui pemberita di lokasi penganjuran pertandingan di Dataran Bandar Sibu Fasa II baru-baru ini.

Sementara itu, Pengerusi Malaysia Strongman Association (Sarawak) ASP Ricky Poh berkata, peserta yang mengambil bahagian adalah dari seluruh Sarawak, dua peserta dari Brunei dan masing-masing seorang peserta dari Sabah dan Selangor.

Menurutnya, lima acara cabaran iaitu ‘Tyre Flip: U90Kgs/90.1 kgs Above & Open’, ‘Yoke Walk: U90 Kgs/90.1 kgs Above & Open’, ‘Car Deadlift: U90Kgs/90.1 kgs Above & Open’, ‘Farmers Walk:U90Kgs/90.1 kgs Above & Open’ dan ‘Truck Pull:U90Kgs/90.1 kgs Above & Open’.

“Selain itu, kita juga akan mengadakan pertandingan untuk mencari peserta yang layak untuk dinobatkan gelaran Mr Kenyalang Strongman Competition 2018.

“Kita akan mengadakan rutin misteri di mana peserta yang terbaik dari setiap kategori akan dipilih untuk menerima gelaran tersebut.

“Peserta yang menerima gelaran Mr Sarawak akan dimasukkan ke dalam senarai Malaysia bagi pemilihan untuk pertandingan peringkat Asia Pasifik yang akan diadakan di Perth, Australia pada hujung tahun ini,” jelasnya.

 Semua peserta Mr Kenyalang Strongman Competition 2018 merakam kenangan di Dataran Perbandaran Sibu Fasa II. Turut kelihatan ialah Ricky (berdiri belakang, kiri ke-13), Chia (berdiri belakang, lapan kanan) serta barisan jawatankuasa penganjur.
KENANGAN: Semua peserta Mr Kenyalang Strongman Competition 2018 merakam kenangan di Dataran Perbandaran Sibu Fasa II. Turut kelihatan ialah Ricky (berdiri belakang, kiri ke-13), Chia (berdiri belakang, lapan kanan) serta barisan jawatankuasa penganjur.

Menurutnya, acara tersebut sebelum ini pernah diadakan di Kuching, Sri Aman dan Sarikei serta berharap dapat menarik lebih ramai penyertaan pada edisi akan datang.

“Dengan sokongan Tuan Residen, kita berharap program hari ini dapat dijadikan sebagai acara tahunan di Sibu,” katanya.

Hadir sama ialah Presiden Persatuan Bina Badan dan Angkat Berat Bahagian Sibu (SDBWA), Chia Soon Cheong.

Acara sukan orang kuat, Mr Kenyalang Strongman Competition 2018 yang julung kalinya diadakan di Sibu sempena ulang tahun ke-10 Sibu International Base Jump 2018 mendapat sambutan baik dengan penyertaan seramai 33 peserta.

Mr Kenyalang Strongman Competition 2018 dianjur oleh Pejabat Residen Bahagian Sibu dan SDBWA dengan kerjasama Malaysia Strongman Association (Sarawak).

Sementara itu, Andy Gerard peserta dari Sabah telah dinobatkan dengan gelaran Mr Kenyalang Strongman Competition 2018 dan layak membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000.

Andy turut menjuarai kategori Men Open Challenges membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000, medal, trofi dan sijil.

Manakala, Dato Ahmad Zaki yang memenangi tempat kedua membawa pulang hadiah RM500, medal, trofi dan sijil.

Tempat ketiga menjadi milik peserta dari Brunei, Sazuwan Ali yang membawa pulang hadiah RM300, medal, trofi dan sijil.

Sementara itu, johan kategori Men Below 90kg menjadi milik peserta dari Sibu, Jutri Tiong yang membawa pulang hadiah RM2,000, medal, trofi serta sijil.

Naib johan dimenangi oleh Hamdan Johnny yang mendapat RM1,500 bersama medal, trofi serta sijil dan Muhd Hadiah memenangi tempat ketiga dan membawa pulang hadiah RM1,000 bersama medal, trofi serta sijil.

Manakala johan bagi kategori Men Above 90kg disandang oleh peserta dari Sarikei, Marcos Enggai yang membawa pulang hadiah RM2,000, medal, trofi serta sijil.

Diikuti naib johan juga menjadi milik seorang lagi peserta dari Sarikei, Yong Chee Hang membawa pulang hadiah RM1,500 bersama medal, trofi serta sijil.

Tempat ketiga menjadi milik peserta dari Kuching, Muhd Ali Najibullah yang membawa pulang hadiah RM1,000 bersama medal, trofi serta sijil.

  • oleh
  • Advertisement