Anda di sini

Santuari penyu di Talang Satang kini diterangi tenaga solar

Advertisement
 Taman Negara Talang Satang merupakan lokasi penyu bertelur.
HABITAT: Taman Negara Talang Satang merupakan lokasi penyu bertelur.
 Abang Johari melakukan simbolik Majlis Penyerahan Sistem Solar Berpusat SEB di Taman Negara Talang Satang.
RASMI: Abang Johari melakukan simbolik Majlis Penyerahan Sistem Solar Berpusat SEB di Taman Negara Talang Satang.
 
 Abang Johari semasa melawat tapak penetasan telur penyu di Taman Negara Talang Satang.
TINJAU: Abang Johari semasa melawat tapak penetasan telur penyu di Taman Negara Talang Satang.
 Sistem solar yang dipasang di Taman Negara Talang Satang.
ALTERNATIF: Sistem solar yang dipasang di Taman Negara Talang Satang.
__alt__

JIKA sebelum ini terganggu dengan bunyi bising, kini penyu-penyu betina yang naik ke Pulau Talang Satang sudah dapat bertelur dengan lebih selesa dan tenteram pada setiap malam.

Ini disebabkan taman negara yang menjadi lokasi penyu bertelur itu kini sudah mendapat bekalan elektrik 24 jam dengan menggunakan solar.

Inilah hasil inisiatif Sarawak Energy Berhad (SEB) untuk menggantikan penjana tenaga diesel yang digunakan sejak sekian lama di situ dan mengganggu penyu yang naik ke pantai untuk bertelur.

Projek solar bernilai RM1.5 juta ini yang merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEB ditauliahkan pada 2017 dan membekalkan 21 kilowattpeak (kWp) ke Taman Negara Tanjung Datu, 10.7kWp ke Talang-Talang Besar dan 7kWp ke Talang-Talang Kechil.

Projek ini direalisasikan menerusi kerjasama antara SEB dan Sarawak Forestry Corporation (SFC) susulan daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 2016 untuk meningkatkan lagi program pemuliharaan penyu selain menggalakkan ekopelancongan di lokasi penyu bertelur ini.

Naib Presiden (Penyelidikan dan Pembangunan) SEB Dr Chen Shiun menyifatkan projek tersebut telah memberi manfaat yang besar kepada kegiatan pemuliharaan di santuari penyu yang terkenal sehingga ke peringkat antarabangsa itu.

“SEB terlibat dalam projek ini menerusi Skim Elektrik Luar Bandar Alternatif Sarawak (SARES) untuk menggalakkan penggunaan tenaga diperbaharui dan menyokong pengurusan inisiatif penetasan penyu di kawasan tersebut,” katanya semasa menyampaikan taklimat mengenai Projek Solar CSR SEB itu.

Penyerahan projek solar tersebut daripada SEB kepada SFC disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg di Taman Negara Talang Satang baru-baru ini dengan turut disaksikan Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom dan Menteri Muda Elektrik Luar Bandar Dr Abdul Rahman Junaidi.

Hadir sama Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datu Len Talif Salleh yang juga pengerusi SFC, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu Datuk Amar Jamilah Anu, Ketua Pegawai Eksekutif SFC Zolkipli Mohamad Aton, Ketua Pegawai Operasi Kumpulan SEB Lu Yew Hung dan Naib Presiden Eksekutif (Khidmat Korporat) SEB Aisah Eden.

Chen menambah, program itu juga merupakan sebahagian daripada kempen kesukarelaan kakitangan SEB di mana jurutera daripada Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan secara sukarela memulakan skim solar ini di tiga lokasi penyu bertelur itu.

“Mereka sendiri menjalankan kerja asas di lapangan, mencari dana dan melaksanakan projek dalam usaha memupuk minda warga yang bertanggungjawab dari segi sosial selain menggalakkan kesukarelaan dalam organisasi tersebut,” katanya.

Abang Johari berharap apa yang dilaksanakan itu akan membuka mata masyarakat yang menunjukkan Kerajaan Sarawak menerusi agensi dan kementerian berkaitan telah memberi penekanan serius dalam usaha pemuliharaan penyu.

“Baru-baru ini, kira-kira 600 unit tukun tiruan telah diturunkan ke perairan pesisir Belawai untuk pemuliharaan dan perlindungan hidupan serta habitat marin di sana.

“Ini merupakan usaha berterusan kita yang dimulakan sejak tahun 1998 lagi di setiap perairan termasuk di Taman Negara Talang Satang.

“Kita akan meneruskan ini ke seluruh pantai Sarawak dari Tanjong Datu sehingga ke Lawas dengan peruntukan sebanyak RM80 juta,” katanya.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga merancang menjadikan sekitar Pulau Sampadi sebagai pembesaran Taman Negara Talang Satang, di mana cadangan tersebut sudah dirangka oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada Julai 2016.

Manakala Len Talif berkata sistem solar berpusat SEB itu telah memberi pemuliharaan penyu di Taman Negara Talang Satang lebih kondusif.

“Bekalan elektrik merupakan isu utama di taman negara ini. Namun sekarang saya yakin inisiatif SEB membawa sistem solar ini akan menarik lebih banyak penyu betina naik untuk bertelur di sini setiap hari,” katanya.

Sementara itu, kakitangan SFC, Valentine Risel James optimis projek solar SEB itu akan memastikan habitat dan ekosistem penyu di Taman Negara Talang Satang terpelihara.

“Penyu bertelur amat sensitif kepada gangguan dan dengan adanya sistem solar SEB ini, dijangka pendaratan penyu ke Taman Negara Talang Satang akan terjamin dan berkekalan,” katanya.

Untuk meningkatkan lagi kesedaran pemuliharaan penyu, SFC turut menjalankan Program Sukarelawan Penyu Sarawak di Taman Negara Talang Satang.

Dibuka dari Mei hingga September, program pemuliharaan ini membolehkan sukarelawan untuk secara aktif mengambil bahagian dalam usaha pemuliharaan penyu Sarawak dalam tempoh empat hari di Stesen Pemuliharaan Penyu di situ.

  • oleh
  • Advertisement