Anda di sini

Ambang Hari Malaysia ‘menghidupkan’ Pasar Malam Assyakirin

Advertisement
 Talib melihat gambar lama yang turut dipamerkan di tapak niaga mengimbau kembali nostalgia sambil diberi penerangan oleh Kairul (kanan).
NOSTALGIA: Talib melihat gambar lama yang turut dipamerkan di tapak niaga mengimbau kembali nostalgia sambil diberi penerangan oleh Kairul (kanan).
 Talib bersama Rodziah serta tetamu lain meninjau gerai-gerai makanan di tapak niaga Assyakirin.
TINJAU: Talib bersama Rodziah serta tetamu lain meninjau gerai-gerai makanan di tapak niaga Assyakirin.
 Talib serta tetamu yang lain menyaksikan persembahan live band lagu-lagu 60-an.
ACARA LANGSUNG: Talib serta tetamu yang lain menyaksikan persembahan live band lagu-lagu 60-an.
 Talib, Rodziah serta tetamu lain merakam gambar di hadapan gerai yang menang pertandingan gerai tercantik.
MENANG: Talib, Rodziah serta tetamu lain merakam gambar di hadapan gerai yang menang pertandingan gerai tercantik.
 Tapak niaga Pasar Malam Assyakirin ceria dikunjungi orang ramai pada malam ambang Hari Malaysia.
CERIA: Tapak niaga Pasar Malam Assyakirin ceria dikunjungi orang ramai pada malam ambang Hari Malaysia.

SUASANA meriah dengan ramai pengunjung ke tapak niaga Pasar Malam Assyakirin dapat disaksikan pada Malam Citra Rasa Assyakirin sempena sambutan ambang Hari Malaysia pada malam 15 September lepas.

Pelbagai aktiviti menarik berbentuk hiburan serta acara sampingan lain diadakan oleh pihak penganjur termasuk jualan pelbagai sajian makanan dan minuman oleh para peniaga yang sedia ada di kawasan berkenaan.

Tinjauan mendapati kawasan terbabit agak sesak dan suasananya meriah dengan pelbagai aktiviti yang turut diperakui oleh penduduk berdekatan sebagai program yang berjaya menarik lebih ramai pengunjund berbanding sebelumnya.

Ketua Kaum Kampung Assyakirin Fasa 1 Pengiran Hamdan Pengiran Kerta berkata, usaha yang mereka buat ini bertujuan mengembalikan keceriaan Pasar Malam Assyakirin untuk menarik lebih ramai pengunjung ke pasar malam berkenaan yang agak suram sebelum ini.

“Pasar malam ini bukan khusus untuk para peniaga menjual makanan dan minuman pada bulan puasa sahaja sebaliknya mengharapkan peniaga menjalankan perniagaan mereka di tapak niaga ini secara berterusan,” ujarnya semasa ditemui Utusan Borneo pada malam tersebut.

Beliau berkata, kalau boleh para peniaga menjual barang makanan dan minuman pada tiap-tiap malam, atau setidak-tidaknya pada hujung minggu supaya kawasan ini lebih ceria untuk dikunjungi ramai orang.

“Ini tujuan sebenar mengapa tapak niaga ini diwujudkan. Apabila saya melihat keadaan yang suram tanpa ada apa-apa dengan keadaan pengunjung yang kurang maka kami memikirkan mungkin beberapa usaha perlu dilakukan untuk merubah dan menceriakan kembali tapak niaga ini.

“Alhamdulilah Menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Datuk Talib Zulpilip semasa dimaklumkan keadaan tapak niaga ini terus memberi respons segera agar keadaan itu diubah dan mahukan para peniaga dibantu,” katanya.

Mengharapkan usaha peniaga sahaja katanya, mereka tidak berani untuk memgambil risiko menganjurkan pelbagai program seumpamanya di tapak niaga ini dan berkemungkinan juga perhubungan dengan pelbagai pihak dari luar agak terhad.

Justeru katanya, pihaknya memikirkan cara untuk membantu yang pada mulanya merancang untuk menganjur acara sempena sambutan ambang merdeka tetapi atas beberapa sebab ia tidak dapat diteruskan dan akhirnya telah memilih tarikh sesuai untuk merancang dan mengadakannya sambutan Hari Malaysia seperti pada malam tersebut.

“Kami turut mendapat sedikit dana daripada pihak Datuk Talib untuk menjayakan program ini dan syukur program yang kami adakan ini menampakkan kejayaan dan sambutan daripada pihak penjaja sangat menggalakkan sekali gus diharap keadaan yang ceria ini akan berterusan,” katanya.

Begitupun katanya, pihaknya akan cuba mengadakan aktiviti lain pada masa akan datang sekiranya keadaan suram lagi kerana sebelum ini tidak hanya pada setiap malam bahkan pada hujung minggu pun tapak niaga ini sememangnya kurang pengunjung.

“Sambutan pada malam ini cukup baik dan penganjuran ‘live band’ antara pendekatan yang kami buat telah mampu menarik lebih ramai orang datang berbanding karaoke.

“Sebab itu kami mengambil konsep ini dengan mengadakan acara nyanyian live band berkonsep tahun 1960-an, yang bersesuaian dengan minat masyarakat di sini berbanding

tempat awam lain dan kebetulan juga dengan ada sambutan Hari Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, upacara perasmian Malam Citra Rasa Assyakirin itu disempurnakan oleh Talib yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jepak.

Beliau turut melawat gerai-gerai peniaga, menyaksikan nyanyian live band, acara bergendang serta pertunjukan bunga api selain meraikan sambutan hari jadinya yang dikelolakan oleh pihak penganjur.

Turut mengiringi ialah Pengurus Besar Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA) Rodziah Morshidi, Pegawai Daerah Bintulu Mataip Sayu, Temenggung Rosli Kamaruddin, Ketua Kaum (KK) Kampung Assyakirin Fasa 1 Pengiran Hamdan Pengiran Kerta, KK Kampung Assyakirin Fasa 3 Zaini Seli, Pengerusi SPBB Kairulnieza Waynie serta ketua-ketua masyarakat yang lain.

Program itu merupakan anjuran Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Assyakirin, BDA, Skuad Prihatin Berkhidmat Berbakti (SPBB) serta beberapa pihak lain.

Di samping jualan pelbagai makanan dan minuman, aktiviti lain yang diadakan ialah pertandingan basikal kreatif, pertandingan mewarna untuk kategori kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun, untuk kategori ibu bapa serta anak-anak serta pertandingan mengupas pinang, pertandingan membuat kuih donat dan menganyam ketupat khusus untuk wanita warga emas.

Turut diadakan persembahan pentas oleh `Band De’ Antiktika, pertandingan pakaian beragam kanak-kanak, ‘penyak burger challenge’ (pertandingan makan burger), deklamasi puisi, bergendang dan bermukun serta acara kemuncaknya pertunjukan bunga api simbolik meraikan sambutan Hari Malaysia.

  • oleh
  • Advertisement