Anda di sini

120 motosikal jayakan Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0

Advertisement
 

KUCHING: Sebanyak 120 motosikal dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut telah menjayakan aktiviti Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 di sini, semalam.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut Dr Hazland Abang Hipni, Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 diadakan semalam di DUN Demak Laut sempena sambutan Hari Malaysia yang disambut pada setiap 16 September.

“Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 ini merupakan kesinambungan aktiviti yang sama pernah kita anjurkan sejak empat tahun selepas penganjuran kali pertama diadakan pada 2014.

 

“Sejak dilaksanakan empat tahun lepas, penglibatan peserta khususnya golongan pemuda di setiap ranting di DUN Demak Laut amat menggalakkan.

“Selain pemuda di peringkat ranting, turut serta dalam Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 adalah 20 peserta yang terdiri daripada penunggang motosikal berkuasa tinggi yang berpangkalan di Kuching,” katanya pada Majlis Pelepasan Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 di pekarangan Terminal Bako di sini, semalam.

Turut sama menyertai Konvoi Jelajah Merdeka Demak Laut 4.0 ialah Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai.

Turut hadir Penghulu Kampung Bako Janibah Hazemi, Penghulu Kampung Bako Hijrah Lair Salleh dan Ketua Kaum Kampung Bako Tengah Wahid Sani.

Terdahulu, pihaknya turut mengadakan satu taklimat khas berhubung laluan yang akan dilalui peserta selain langkah-langkah keselamatan yang perlu dipatuhi dan diiringi bacaan doa.

Setiap peserta membawa bersama Jalur Gemilang, bendera Sarawak dan bendera Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

 

Para peserta melalui Kampung Selabat, Kampung Muara Tebas, Kampung Gobeilt, Kampung Senari, Terminal Kampung Semilang atau Beradek, Kampung Sejingkat, Taman Sepakat Jaya, Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), Kampung Tabuan Melayu dan Kampung Tabuan Lot.

Kehadiran peserta konvoi di setiap kampung dan taman yang dilalui telah mendapat sambutan baik sehingga ada antara mereka yang merakam video dan gambar dengan menggunakan telefon pintar untuk dimuat naik di media sosial milik masing-masing.

Advertisement