Anda di sini

Ke era ekonomi digital

Advertisement
 Abang Johari (tiga kanan) mengangkat tangan bersama (dari kiri) Awang Tengah, Tiong (Presiden PDP), Masing (Presiden PRS), Dr Sim (Presiden SUPP) dan Uggah selepas sidang media pengumuman calon BN untuk PRU14 di Ibu Pejabat PBB, semalam.
HIDUP BN!: Abang Johari (tiga kanan) mengangkat tangan bersama (dari kiri) Awang Tengah, Tiong (Presiden PDP), Masing (Presiden PRS), Dr Sim (Presiden SUPP) dan Uggah selepas sidang media pengumuman calon BN untuk PRU14 di Ibu Pejabat PBB, semalam.

KUCHING: Calon-calon Barisan Nasional (BN) Sarawak bagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) mencerminkan usaha pembangunan kerajaan terutama ketika negeri ini melangkah ke era ekonomi digital.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, gabungan calon berpengalaman dan baharu amat penting dalam memastikan kesinambungan perancangan pembangunan.

Menurutnya, Manifesto BN Sarawak untuk PRU14 menggariskan antara teras utama ialah Sarawak ke arah ekonomi digital.

“Sebab itulah kita membuat persiapan untuk itu, 15 muka baharu dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) lebih 40 peratus calonnya adalah muka baharu, parti komponen lain turut menampilkan muka baharu.

“Kombinasi calon baharu dan berpengalaman sangat penting, mereka akan membimbing yang muda, kemudian akan ada kesinambungan kerana Sarawak menuju negeri maju menjelang 2030 menerusi ekonomi digital,” katanya pada sidang media pengumuman calon-calon BN Sarawak PRU14 di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan-Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Tan Sri Datuk Amar James Jemut Masing dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Abang Johari berkata, BN harus mempersiapkan pemimpin muda untuk menyatukan Sarawak kerana ketika itu situasi dan persekitaran sudah berubah.

“Kita akan bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin kerana beliau telah melakukan banyak perkara untuk Sarawak, antaranya penyerahan Empangan Hidro Elektrik Bakun kepada kita dan setuju kita terlibat aktif dalam industri minyak dan gas secara berperingkat dalam konteks Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau turut memaklumkan kesemua calon BN itu sudah melepasi saringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Bagi PBB, semua penyandang kita yang tidak mahu mempertahankan kerusi masing-masing kerana mahu memberi laluan kepada muka baharu terutama yang masih muda, sebagai contoh calon Sibuti, Lukanisman, dari sayap Pemuda parti,” jelasnya.

Namun perkara paling penting katanya, setiap pemimpin mesti fokus kepada perpaduan dan memajukan lagi Sarawak dengan mengutamakan kepentingan rakyat bukan kepentingan peribadi.

Abang Johari berkata, daripada 31 calon BN Sarawak yang diumumkan, 15 merupakan muka baharu.

Barisan muka baharu BN, Genot Sinel (Puncak Borneo), Kho Teck Wan (Bandar Kuching), Datuk Dr Sim Kui Hian (Stampin), Robert Pasang Alam (Lubok Antu), Robert Lawson Chuat (Betong), Jagah@Subeng Mula (Saratok), Yusuf Abdul Wahab (Tanjong Manis), Ahmad Johnie Zawawi (Igan) dan Datuk Seri Huang Tiong Sii (Sarikei).

Kerusi Parlimen Lanang Kong Siien Chiu@Kelvin Kong, Datuk Andrew Wong Kee Yew (Sibu), Dato Hanifah Hajar Taib (Mukah), Rita Sarimah Patrick Enso (Selangau), Lukanisman Awang Saudi (Sibuti) dan Datuk Sebastian Ting (Miri).

“Pada PRU14 ini, kita kemukakan 15 muka baharu dan mengekalkan 16 penyandang sedia ada iaitu melibatkan 25 calon lelaki dan enam calon wanita.

“Pecahan setiap parti komponen pula, PBB 14 kerusi parlimen, SUPP tujuh, kerusi, PRS enam kerusi, PDP empat kerusi,” katanya.

Sementara itu, 16 penyandang sedia ada ialah Datuk Anthony Nogeh Gumbek (Mas Gading), (Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar (Santubong), Datuk Seri Fadillah Yusof (Petra Jaya), Rubiah Wang (Kota Samarahan), Datuk Seri Richard Riot Jaem (Serian), Datuk Seri Nancy Syukri (Batang Sadong) dan Datuk Seri Rohani Abdul Karim (Batang Lupar).

Turut dikekalkan ialah Datuk Masir Kujat (Sri Aman), Datuk Joseph Salang Gandum (Julau), Datuk Aaron Ago Dagang (Kanowit), Datuk Alexander Nanta Linggi (Kapit), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rajang), Datuk Seri Tiong King Sing (Bintulu), Anyi Ngau (Baram), Hasbi Habibbollah (Limbang) dan Henry Sum Agung (Lawas).

  • oleh
  • Advertisement