Anda di sini

Polis tahan penjawat awam curi sarang kelulut

Advertisement
 Noh (kanan) melihat salah satu bongkah sarang kelulut yang dirampas dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah ini dekat Kuala Nerang pada pada 9 dan 15 April lalu. — Gambar Bernama
DIRAMPAS: Noh (kanan) melihat salah satu bongkah sarang kelulut yang dirampas dalam dua operasi berasingan di sekitar daerah ini dekat Kuala Nerang pada pada 9 dan 15 April lalu. — Gambar Bernama

KUALA NERANG: Seorang penjawat awam antara tujuh yang ditahan selepas terbabit kes mencuri bongkah sarang kelulut dalam dua serbuan berasingan di sekitar daerah ini baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Padang Terap, DSP Noh Idria berkata, serbuan pertama pada 9 April lalu, apabila pasukannya menahan enam lelaki berumur 18 hingga 33 tahun di rumah tidak bernombor di Batu 20 1/2 Jalan Kuala Nerang di sini.

Berikutan itu kesemua suspek yang juga penagih dadah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk siasatan lanjut.

Rentetan itu, pihaknya kemudian menyerbu sebuah bengkel jentera berat di Kampung Baru, Kuala Nerang serta menahan seorang penjawat awam berumur 28 tahun.

Katanya, pemeriksaan lanjut menemui sembilan bongkah kayu sarang kelulut yang dilaporkan hilang di premis-premis perusahaan madu kelulut di Kuala Nerang sebelum ini.

Turut ditemui satu beg berzip warna celoreng yang mana terdapat satu straw lutsinar mengandungi serbuk dan ketulan kristal disyaki syabu dengan anggaran berat 1.38 gram dan satu botol plastik yang di dalamnya mengandungi satu peket plastik lutsinar berisi syabu seberat kira-kira 0.58 gram di dalam satu lagi beg berwarna hitam.

“Kita juga merampas seunit generator yang dilaporkan hilang di Kuala Nerang dan kesemua rampasan yang dibuat bernilai kira- kira RM14,000,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Noh berkata, suspek menjadikan premis-premis perusahaan kelulut di daerah ini sebagai sasaran sebelum menjual kepada pihak ketiga untuk membeli dadah.

Katanya, kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula 15 April  mengikut Seksyen 414 Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Pada sidang media yang sama, Noh turut mengingatkan penyokong parti yang bertanding agar tidak menimbulkan provokasi pada hari penamaan calon, Sabtu ini.

Lima belas pegawai dan 97 anggota akan ditempatkan di beberapa lokasi perarakan termasuk di Pejabat Daerah Padang Terap bermula pada jam 8 pagi bagi kerja pemantauan.

“Pada hari itu, kita akan berkawal dengan kekuatan yang ada dan saya harap pihak yang bertanding tidak membuat provokasi yang boleh mencetuskan keadaan tidak selamat kepada ketenteraman awam supaya tiada tindakan diambil,” katanya. — Bernama

Advertisement