Anda di sini

Jangan terperdaya dengan muslihat DAP tentang ‘tsunami Melayu’: Najib

Advertisement
 Najib beramah mesra bersama sebahagian para pelajar Sekolah Menengah Kuen Cheng ketika majlis perasmian bangunan baharu sekolah tersebut semalam. — Gambar Bernama
BERTUAH: Najib beramah mesra bersama sebahagian para pelajar Sekolah Menengah Kuen Cheng ketika majlis perasmian bangunan baharu sekolah tersebut semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak semalam mengingatkan masyarakat Cina supaya tidak terperdaya oleh muslihat DAP berhubung apa yang dikatakan sebagai ‘tsunami Melayu’ iaitu peralihan undi masyarakat Melayu kepada pembangkang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

“Saya ingin beri jaminan kepada anda bahawa tidak akan berlaku tsunami Melayu terhadap kerajaan. Sekiranya strategi itu berjaya, ia akan hanya membawa keburukan kepada masyarakat Cina. Ini kerana, kami memerlukan perwakilan masyarakat Cina yang kukuh dalam kerajaan demi kebaikan masyarakat Cina sendiri.

“Strategi DAP itu (untuk menang pilihan raya) adalah dengan (menyemai) kebencian berlandaskan hipotesis bahawa akan berlaku tsunami Melayu pada pilihan raya kali ini,” kata beliau pada majlis pelancaran pembangunan semula kampus Sekolah Tinggi Kuen Cheng di Jalan Syed Putra di sini.

Najib seterusnya berkata, ketika ini, masyarakat Cina mewakili 23 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia, tetapi mereka hanya mempunyai enam peratus anggota parlimen dalam kerajaan, kedudukan yang tidak mampan dalam jangka panjang dan boleh memberi kesan buruk kepada masyarakat itu.

“MCA dan GERAKAN bekerja keras untuk menyokong masyarakat Cina, bersama-sama kaum lain. Sebenarnya, saya sering menerima permintaan daripada (presiden MCA) Datuk Seri Liow Tiong Lai dan (presiden GERAKAN) Datuk Seri Mah Siew Keong tentang bagaimana kami boleh lakukan lebih banyak lagi demi kebaikan masyarakat Cina,” katanya.

Najib berkata, dari semasa ke semasa, kerajaan menyelesaikan pelbagai isu berkaitan masyarakat Cina dan telah meluluskan penubuhan 10 sekolah rendah Cina baharu, tiga daripadanya dirasmikan di Johor baru-baru ini.

“Apabila sekolah Cina mengalami kekurangan guru, kami selesaikannya. Banyak lagilah … berhubung pengiktirafan bersama ijazah universiti, kerajaan meluluskan penubuhan Xiamen University, yang bakal melakar satu lagi kisah kejayaan.

“Satu lagi kejayaan ialah New Era (kolej), yang kini menjadi kolej universiti. Kami juga melanjutkan tempoh pajakan 99 tahun bagi Chong Hwa Independent High School dan saya ingin mengesahkan bahawa pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) telah dimasukkan ke dalam Manifesto Barisan Nasional,” kata beliau, yang disambut dengan tepukan bergemuruh oleh ibu bapa dan guru pada majlis itu.

Najib berkata kerajaan BN telah melakukan pelbagai usaha bagi mewujudkan transformasi untuk menjamin wujudnya suasana aman, stabil dan harmoni, demi kesejahteraan rakyat pada masa kini dan akan datang.

“Janganlah mencampakkannya. Negara ini adalah tempat tinggal yang penuh dengan kesejahteraan. Pelbagai perkara baik ada di sini. Tetapi, pihak di sebelah sana (pembangkang) mempunyai beberapa persepsi yang sangat tidak bertanggungjawab dan negatif. Paling tidak pun, mereka mahu mengkaji semula kontrak dengan China sekiranya mereka berkuasa. Itu suatu kesilapan besar kerana China merupakan rakan dagang nombor satu kita, dengan jumlah dagangan bernilai AS$100 bilion,” katanya.

Najib berkata, oleh kerana Cina, yang merupakan ekonomi terbesar dunia, juga adalah sahabat baik dan boleh dipercayai oleh Malaysia, maka dakwaan pembangkang yang tidak bertanggungjawab seperti itu boleh dianggap sebagai sesuatu yang bodoh, berpandangan amat cetek dan umpama mengundang keburukan untuk diri sendiri.

“Tolonglah, jangan sokong dan percaya dengan apa yang mereka (DAP) kata itu yang bertujuan agar anda memberi sokongan kepada mereka. Sekiranya anda berbuat begitu, ia akan hanya merosakkan ekonomi kita. Sejak BN melancarkan manifestonya bagi PRU14, kami mendapat ulasan positif daripada agensi penarafan antarabangsa dan malah, Bank Dunia mengunjurkan kadar pertumbuhan yang lebih tinggi bagi negara ini,” katanya. — Bernama

Advertisement