Anda di sini

SUKMA 2018: Skuad boling padang Sarawak dapat suntikan moral

Advertisement
 (Barisan belakang, empat kanan) Emma, Dr Simon, Awang Mahyan, Zuradi (enam kiri) dan Siti Zalina bersama jurulatih dan atlet-atlet boling padang Sarawak semalam.
SUNTIKAN MORAL: (Barisan belakang, empat kanan) Emma, Dr Simon, Awang Mahyan, Zuradi (enam kiri) dan Siti Zalina bersama jurulatih dan atlet-atlet boling padang Sarawak semalam.

KUCHING: Persiapan skuad boling padang Sarawak untuk menghadapi SUKMA Perak 2018 mendapat suntikan moral daripada dua pemenang pingat emas Sukan Komanwel Gold Coast, Emma Firyana Saroji dan Siti Zalina Ahmad.

Kedua-dua atlet negara itu membuat penampilan istimewa pada klinik boling padang yang diadakan di Arena Lawn Bowls, Petra Jaya di sini semalam.

Selain itu, ketua jurulatih kebangsaan, Dr Simon Botha dari Afrika Selatan bersama penolongnya, Zuraidi Puteh turut hadir untuk berkongsi tips kepada atlet-atlet Sarawak.

Presiden Persatuan Boling Padang Sarawak (SALBA), Awang Mahyan Awang Mohamed berkata pihaknya amat berbangga dan berterima kasih kepada Dr Simon Botha dan Zuraidi kerana sudi datang semata-mata untuk kepakaran dan pengetahuan mereka pada klinik boling padang di sini semalam.

“Terima kasih juga kepada Emma Firyana Saroji dan Siti Zalina Ahmad kerana sanggup turun ke Sarawak bagi berkongsi kejayaan mereka pada Sukan Komanwel Gold Coast kepada atlet-atlet kita.

“Kehadiran keempat-empat mereka pasti melonjakkan moral atlet-atlet kita untuk berlatih dengan gigih bagi menghadapi SUKMA di Perak nanti,” katanya ditemui di sini semalam.

Awang Mahyan yang juga Pengerusi Pembangunan dan Latihan Boling Padang Malaysia berkata, atlet-atlet Sarawak amat bertuah kerana menerima tunjuk ajar secara terus daripada Dr Simon, Zuraidi, Emma dan Siti Zalina.

Justeru, beliau berharap atlet-atlet Sarawak khususnya yang bakal bersaing pada SUKMA 2018 di Perak nanti memanfaatkan sepenuhnya sesi latihan ringkas itu untuk memperbaiki kemahiran mereka.

Klinik sehari anjuran bersama Perbadanan Sukan Sarawak (PSS) dan SALBA itu disertai seramai 100 peserta.

Advertisement