Anda di sini

Bukan bahan letupan

Advertisement
 Kelihatan anggota dari Unit Pemusnah Bom IPK Sarawak hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. —  Gambar media sosial
CEKAP: Kelihatan anggota dari Unit Pemusnah Bom IPK Sarawak hadir di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan. — Gambar media sosial

KUCHING: Objek seakan-akan ‘bom jangka’ yang ditemui di hadapan sebuah bangunan kedai di MetroCity, Matang disahkan bukan bahan letupan.

Demikian menurut Ketua Polis Daerah ACP Ng Ah Lek yang memberitahu, objek tersebut hanyalah satu bekas plastik yang mengandungi sedikit pendawaian dan diperbuat seakan-akan ‘bom jangka.’

“Objek tersebut bukan bahan letupan, cuma ada sedikit penyambungan wayar di dalamnya dan objek tersebut telah dialihkan selepas disahkan bukan bahan letupan,” kata Ng.

Beliau berkata, objek tersebut diletakkan oleh pihak tidak bertanggungjawab yang dipercayai cuba menakut-nakutkan serta mengugut pihak pemaju di kawasan itu.

“Siasatan awal mendapati objek tersebut diletakkan hanya untuk menakut-nakutkan serta mengugut pihak pemaju kawasan itu.

“Kes ini masih kita siasat di bawah Seksyen 506 kerana melakukan ugutan jenayah,” katanya.

Difahamkan, objek tersebut yang ditemui oleh pekerja Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) telah dimusnahkan di kawasan selamat menggunakan robot pemusnah bom.

Beberapa anggota dari Unit Pemusnah Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja laporan diterima.

Turut hadir ialah anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak sebagai langkah persediaan untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

  • oleh
  • Advertisement