Anda di sini

Sarawak digemari pelabur

Advertisement
 Abang Johari memasukkan cip gergasi pada panel khas untuk menyempurnakan Majlis Perasmian LONGi (Kuching) Sdn Bhd. Turut kelihatan (dari kiri) Dr Rundi, Awang Tengah dan Zhong.
SIMBOLIK: Abang Johari memasukkan cip gergasi pada panel khas untuk menyempurnakan Majlis Perasmian LONGi (Kuching) Sdn Bhd. Turut kelihatan (dari kiri) Dr Rundi, Awang Tengah dan Zhong.

KUCHING: Dasar-dasar mesra perniagaan dilaksanakan di Sarawak telah meletakkan negeri ini antara tiga destinasi pelaburan di Malaysia yang paling digemari pelabur sejak lima tahun lalu dengan jumlah pelaburan diluluskan RM46.3 bilion.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata disebabkan itu kerajaan negeri akan meneruskan dasar-dasar mesra perniagaannya ke arah pelaburan iaitu Pelaburan Langsung Asing (FDI) dan Pelaburan Langsung Domestik (DDI).

“Perkembangan pesat LONGi (Kuching) Sdn Bhd dan lain-lain seperti Taiyo Yuden dan X-FAB di sini (Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya) menunjukkan pelabur-pelabur asing mempunyai keyakinan tinggi terhadap kerajaan negeri.

“Kita bukan sahaja mahu menarik pelaburan baharu, kita juga ingin memastikan mereka terus berjaya dan berkembang. Pada masa sama kita mahu syarikat multinasional (MNC) memindahkan teknologi, kepakaran dan pengetahuan mereka kepada rakyat Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian LONGi (Kuching) Sdn Bhd, sebuah syarikat mengeluarkan ‘integrated photo voltaic’ (PV) di Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya di sini semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian, Menteri di Pejabat Ketua Menteri Datuk Talib Zulpilip, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Datuk Amar Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Pengerusi LONGi (Kuching) Sdn Bhd Zhong Baoshen.

Abang Johari berkata, kejayaan pelaksanaan projek solar LONGi yang pantas adalah contoh kejayaan membanggakan.

Menurutnya dalam tempoh dua tahun, LONGi telah berkembang secara agresif untuk memenuhi peningkatan permintaan dalam pasaran global PV dan nilai eksport dijangka meningkat kepada RM1.5 bilion pada 2018.

Beliau berkata, LONGi Sarawak dan Taman Teknologi Tinggi Sama Jaya secara keseluruhannya amat seiring dengan inisiatif ekonomi digital yang bermatlamat mentransformasikan sektor perindustrian negeri kepada Industri 4.0.

Kerajaan negeri juga katanya, serius membangunkan bakat manusia dengan menubuhkan Kampung Digital di Sama Jaya dan inkubator-inkubator di seluruh negeri.

Kampung Digital dan inkubator itu ditubuhkan untuk memupuk kreativiti, inovasi dan usahawan teknologi bagi memacu Sarawak ke arah ekonomi berpendapatan tinggi menerusi platform ekonomi digital, jelasnya.

“Sama Jaya sentiasa dekat di hati saya sebagai Menteri Pembangunan Perindustrian ketika taman ini dilancarkan pada awal 1980-an.

“Selepas itu, ia terus berkembang maju dengan banyak syarikat multinasional memberi pekerjaan kepada 10,800 pekerja dengan 99 peratus adalah rakyat tempatan,” katanya.

Mengenai pengkhususan LONGi dalam pengeluaran PV untuk penghasilan tenaga solar di satu lokasi mengeluarkan rantaian, Abang Johari mencadangkan agar syarikat itu membangunkan sistem solar terapung di  empangan hidroelektrik di negeri ini untuk menjana tenaga elektrik alternatif.

Sebagai permulaan katanya, sistem solar terapung itu boleh dibangunkan di Empangan Hidroelektrik Bakun sebelum ia diperluaskan ke tempat lain.

“Empangan Hidroelektrik Bakun menghasilkan tenaga elektrik menerusi kuasa turbin dan sistem solar terapung ini menghasilkan tenaga menggunakan tenaga matahari.

“Ini cadangan saya, persoalannya adalah kreativiti dan inovasi. Jika sistem ini berjaya, ia boleh diperluaskan ke sungai-sungai,” katanya.

Beliau juga percaya jika konsep baharu itu berjaya dilaksanakan ia dapat memainkan peranan penting dalam menghasilkan tenaga alternatif kepada masyarakat luar bandar.

  • oleh
  • Advertisement