Anda di sini

Pelbagai pembangunan dibawa ke Sarawak sejak pemerintahan Najib

 Uggah bersama barisan jentera pilihan raya Zon 5 dan Parlimen Betong mengibarkan bendera BN pada majlis itu.
BERKIBAR: Uggah bersama barisan jentera pilihan raya Zon 5 dan Parlimen Betong mengibarkan bendera BN pada majlis itu.

BETONG: Pelbagai pembangunan dibawa ke Sarawak oleh kerajaan sejak pemerintahan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata sejak pemerintahan Najib, beliau berkunjung ke Sarawak lebih 165 kali dengan membawa pembangunan kepada negeri ini.

“Kita menyokong penuh kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan mengekalkan Najib sebagai perdana menteri seterusnya,” katanya pada pelancaran Jentera Pilihan Raya BN Zon 5 dan Parlimen Betong di sini semalam.

Menurutnya, perpaduan wujud di negeri ini hasil dibawa pemimpin BN yang cekal memperjuang perpaduan rakyat dan pembangunan berterusan.

“Ada calon menggunakan isu perkauman untuk meraih sokongan pengundi yang jelas memecahkan perpaduan yang wujud sekian lama.

“Pada masa sama, rakyat harus sedar kedudukan mereka hanya merancakkan musim pilihan raya dan meraih populariti,” ujarnya.

Oleh itu, jentera parti harus berjuang mempertahan kemenangan besar BN dan berusaha bersama memenangi hati rakyat dengan semangat perpaduan kukuh.

Katanya, jentera parti daripada kalangan pemuda, wanita dan kaum bapa harus menggempur dengan perjuangan parti dan jangan bersikap kasar serta menimbulkan kekecohan kerana ia bukan cara kita.

“Jentera juga harus memastikan lawan agar mematuhi undang-undang negeri ini dan menyelesaikan secara halus jika mereka cuba menimbulkan masalah. Ini kerana cara amalan mereka tidak sama dengan perjuangan kita,” jelasnya.

Pada majlis itu, Uggah menyerahkan bendera BN sebagai simbolik perasmian pelancaran 11 DUN mewakili Balai Ringin, Bukit Begunan, Simanggang, Engkilili, Batang Ai, Saribas, Layar, Bukit Saban, Kalaka, Krian dan Kabong.

Turut hadir Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom, ADUN Layar Gerald Rentap Jabu, Penasihat Penyelidikan Sains Negeri Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang, Tan Sri Empiang Jabu, ADUN Saribas Mohd Razi Sitam, ADUN Kabong Chee Kadir, bekas ADUN Bukit Saban Robert Lawson Chuat, setiausaha politik, ketua-ketua cawangan dan masyarakat.