Anda di sini

Dwayne Johnson bawa ‘Rampage’ dari arked ke skrin lebih besar

Poster filem Rampage
Poster filem Rampage

Oleh Rollo Ross

BAGI pelakon Dwayne Johnson, ia adalah minat mendalam selama berdekad-dekad pada permainan video arked ‘Rampage’ – dan sekarang bintang aksi yang sasa itu dapat menduduki dunia sains fiksyen bahaya yang dipenuhi raksasa dalam adaptasinya di skrin besar.

“Saya bermain permainan itu di Hawaii ketika saya berusia 13 tahun,” kata Johnson, 45, kepada Reuters sebelum pengeluaran ‘Rampage’ yang diedarkan oleh Warner Bros. di pawagam Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.

“Saya pernah tidak pergi ke sekolah dan pergi ke dewan snuker ini, ia sangat suram dan kotor, dan kami akan bermain snuker dan ‘foosball’ dan kemudian bermain permainan video ‘Rampage’ selama berjam-jam,” ujar Johnson, yang menjadi masyhur sebagai ‘The Rock’ dalam dunia gusti profesional.

‘Rampage’, yang pertama kali dikeluarkan sebagai satu permainan arked pada 1986, menceritakan kisah seorang pakar primatologi, David Okoye, lakonan Johnson, yang menggembleng tenaga dengan seekor gorila albino bernama George dalam usaha untuk mematahkan serangan raksasa.

Keadaan menjadi rumit apabila George membesar menjadi seekor makhluk yang agresif selepas dia menjalani eksperimen penuh misteri yang turut menjejaskan seekor serigala dan buaya yang mengancam untuk memusnahkan kebanyakan tempat di AS.

Filem arahan Brad Peyton itu turut dibintangi aktres British, Naomie Harris, aktres Sweden-Kanada, Malin Akerman, dan pelakon Amerika, Jeffrey Dean Morgan.

‘Rampage’ merupakan satu projek yang amat disukai Johnson, yang juga seorang penerbit eksekutif dan menarik perhatian sewaktu jelajah promosi apabila dia memberitahu dia sering mengalami kemurungan yang bermula ketika dia masih remaja.

Namun Johnson berkata dia tidak boleh membiarkan minat awalnya kepada permainan video untuk mengalih tumpuannya kepada keuntungan filem itu.

“Wang tidak tumbuh atas pokok bagi sesiapa, jadi di sana juga ada tanggungjawab, kami perlu memastikan ia bagus,” kata Johnson.

“Kita mahu berseronok tetapi kita juga menyedari tekanan adalah untuk berjaya terutamanya dalam genre raksasa.”

Filem itu dianggar dapat mengaut kira-kira AS$36.5 juta pada hujung minggu pembukaan di pawagam AS dan Kanada, menurut boxoffice.com.

Morgan, 51, berkata filem itu juga mengembalikannya kepada memori pada zaman kanak-kanak.

“Perkara seperti itu adalah sebab kenapa saya mahu menjadi seorang pelakon ketika saya bermain apa sahaja yang saya main di perkarangan belakang rumah, perisik atau koboi dan Indian atau apa sahaja yang kami main ketika kami berusia lima tahun, mencipta semula filem ‘Godzilla’,” katanya. — Reuters